Friday, November 19, 2010

Sukarelawan IKRAM Terus Membantu Mangsa Banjir Kedah



16 November 2010, Jitra, Telah masuk minggu kedua sukarelawan IKRAM turun padang disamping beberapa NGO lain bagi kerja-kerja bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir di negeri Kedah tahun ini. Mereka telah datang dari pelusuk tanah air kata Tn Haji Suberi Salleh pengarah misi bantuan banjir IKRAM Kedah. Katanya lagi kedatangan mereka dengan niat untuk meringankan kesusahan mangsa banjir, walaupun kebanyakkan kerja-kerja pembersihan dalam bangunan telah dijalankan. Beliau menyarankan supaya bantuan seterusnya dihulurkan dalam bentuk wang tunai kerana mudah untuk disesuaikan dengan keperluan seterusnya.

Menurut sumber bilik gerakan misi bantuan IKRAM Kedah hampir 120 orang sukarelawan IKRAM telah tiba dengan menaiki bas sewa khas dan kenderaan lain seawal 3.00pagi pada hari sabtu yang lalu, yang menariknya misi hujung minggu ini turut disertai oleh oleh rakya Malaysia lain yang perihatin terdiri dari pelbagai bangsa di bawah kendalian misi bantuan IKRAM.Beberapa taman telah menjadi fokus bantuan kali ini adalah seperti Taman Tabung Haji, Bukit Tinggi dan juga Taman Seri Utama, Disamping hampir 80 buah rumah telah dapat diberikan khidmat para sukarelawan IKRAM juga telah dapat memberikan khidmat pembersihan di Sekolah Teluk Malik, Jitra bersama pelajar Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS)

Sementara itu pada hari Isnin pula beberapa aktiviti sumabangan telah dapat digerakkan dengan menyampaikan pek bantuan yang berupa pakaian dan pek ibadah serta wang tunai kepada seramai lebih 200 orang penerima yang terdiri dari orang kampung dan Taman kos rendah disekitar changlon dan Jitra.

Sebelum penyampaian sedikit tazkirah telah disampaikan kepada yang hadir. Tazkirah bersekitar memperingatkan tentang kesabaran, keredhaan, serta keinsafan sebagai pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa banjir kali ini. Sumbangan telah disampaikan oleh Ust Rosli Yusof, YDP IKRAM Kedah dan Ust Sayuti Haji Ramli TYDP IKRAM Kedah di lokasi yang berbeza.  Pihak penganjur mengharapkan sedikit sebanyak sumbangan ini dapat meringankan kesedihan terutamaketika ummat Islam hampir menyambut hari raya korban pada tahun ini kata pengurus sumbangan Dr Asmat Nizam Abd Mutalib merangkap SU IKRAM Kubang Pasu.

AKTIVITI IKRAM PETALING JAYA

Sukacita dimaklumkan program anjuran IKRAM PJ & kerjasama dengan pihak lain seperti berikut :-

1. Prgm Qurban anjuran bersama IKRAM PJ, WAMY & Pejabat ADUN Taman Medan
Tarikh: 20 Nov 2010(Sabtu)
Masa : Pagi
Tempat : Perkarangan Pejbt ADUN Taman Medan di PJS 3.



2. Prgm Qurban anjuran bersama IKRAM PJ, WAMY, RS S'gor & JK Kampung
Tarikh: 17 Nov 2010(Rabu)
Masa : Selepas Solat Sunat Aidil Adha
Tempat : Rumah Perlindungan RS S'gor di Kg Kubu Gajah, Sg Buloh

3. Sunathon anjuran JK Masjid Masjid Muhtadin, Damansara Damai dgn kerjasama IKRAM PJ & Hospital Pakar An Nur, Bdr Baru Bangi
Tarikh : 28 Nov 2010 (Ahad)
Masa : 9.00pg
Tempat : Masjid Muhtadin, Damansara Damai

Dijemput semua ahli IKRAM PJ hadir ke program2 yg dinyatakan di atas.

Thursday, November 11, 2010

DERU IKRAM: PENYERTAAN SUKARELAWAN AWAM MENINGKAT


Aidilakbar Mohd Yasin, Koordinator DERU IKRAM yang berada dilapangan memaklumkan bahawa penyertaan awam untuk bersama dengan Tim DERU IKRAM dijangkakan meningkat setelah Pengerusi Khidmat Masyarakat IKRAM Malaysia mendapat ruang untuk mengongsikan perkembangan aktiviti sukarelawan IKRAM yang sedang berjalan lancar di lokasi banjir di Kedah dan Perlis. 
 
Perkembangan terkini dimaklumkan DERU IKRAM Misi-6 dalam proses penyediaan ke lokasi pada hujung minggu ini mereka adalah terdiri daripada Sdr Hafiz dan Sdr Nasir mewakili kontigen DERU IKRAM Pusat manakala Tim Pahang akan bersama dengan konvoi bantuan yang diketuai oleh SdrIbrahim.  Turut serta konvoi juga akan disertai oleh Tim IKRAM Kajang  Sdr Hasbullah dan IKRAM Hulu Selangor Sdr Ariffin. 
 
Dengan diligasi yang ramai ini diharapkan dapat menghasilkan banyak lagi sumbangan tenaga boleh dihulurkan kepada para mangsa banjir di Kedah dan Perlis nanti.  Untuk keterangan lanjut bolehlah menalifon terus dengan

Hasbullah bin Ismail
SU IKRAM Kajang
019-3728145

Aidilakbar Mohd Yasin
Aidil +60133314389

KORBAN MENGAJAR KITA UNTUK MENGURUSKAN ISMAIL-ISMAIL KITA


Alhamdulillah, kita bersyukur di atas nikmat dan kebahagiaan yang tidak terhingga kepada Allah swt bahwa dalam masa lebih kurang seminggu lagi kita akan merayakan hari raya Aidil Adha, hari raya terbesar bagi umat Islam yang bersifat antarabangsa setelah dua bulan sebelumnya kita merayakan hari raya Aidil Fitri. Pada hari tersebut, sekitar dua hingga tiga juta umat Islam dari berbagai suku, bangsa dan keturunan serta dari berbagai tingkatan sosial dan penjuru dunia berkumpul dan bercampur baur di kota suci Makkah Al-Mukarramah untuk memenuhi panggilan Allah swt untuk menunaikan ibadah haji.

"Dan serulah manusia untuk menunaikan ibadah haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh". (QS Al-Hajj : 27)
Hari raya Aidil Adha merupakan hari raya yang istimewa kerana dua ibadah agung dilaksanakan pada hari raya ini yang jatuhnya di penghujung tahun hijriyah, iaitu Ibadah haji dan Ibadah kurban. Kedua-duanya disebut oleh Al-Qur'an sebagai salah satu dari syi'ar-syi'ar Allah swt yang mesti dihormati dan diagungkan oleh hamba-hambaNya. Bahkan mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah merupakan petanda dan bukti akan ketakwaan seseorang seperti yang ditegaskan dalam firmanNya :

"Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati". (QS Al-Hajj : 33)
Begitu juga ia menjadi jaminan akan kebaikan seseorang disisi Allah swt seperti yang diungkapkan secara korelatif pada ayat sebelumnya,

"Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya". (QS Al-Hajj : 30)
Kedua ibadah agung ini iaitu ibadah haji dan ibadah kurban tentunya hanya mampu dilaksanakan dengan baik oleh mereka yang memiliki kedekatan dengan Allah swt yang merupakan makna ketiga dari hari raya ini di mana "Qurban" berasal dari kata "qaruba – qaribun" yang bererti dekat.
Jika kedudukan seseorang jauh dari Allah, maka dia akan mengatakan lebih baik bersenang-senang untuk mengelilingi dunia dengan hartanya daripada pergi ke Makkah melaksanakan ibadah haji.  Namun bagi hamba Allah yang memiliki kedekatan dengan Rabbnya, dia akan mengatakan "Labbaik Allahumma Labbaik" (Aku memenuhi seruanMu ya Allah).  Demikian juga dengan ibadah kurban. Seseorang yang jauh dari Allah swt tentu akan merasa berat mengeluarkan hartanya untuk tujuan ini. Namun mereka yang kedudukannya dekat dengan Allah akan terasa mudah untuk mengorbankan segala yang dimilikinya semata-mata memenuhi perintah Allah swt. Mencapai posisi dekat "Al-Qurban/Al- Qurbah" dengan Allah tentunya bukan merupakan pembawaan sejak dari kelahirannya melainkan ianya sebagai hasil dari latihan atau mujahadah dalam melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah swt kerana seringkali berlaku pertentangan antara keinginan diri (hawa nafsu) dengan kehendak Allah (ibadah). Di sinilah akan tersingkap sikap berpihak seseorang, samada kepada Allah atau kepada selainNya sehingga pertanyaan dalam bentuk "muhasabah” (penilaian diri) dalam konteks ini adalah :

"Mampukah kita mengorbankan keinginan dan kesenangan kita yang akan membuktikan kita sudah berpihak kepada Allah?
Sekali lagi, ibadah haji dan ibadah kurban merupakan gerbang untuk mencapai kedekatan kita dengan Allah swt.  Contoh manusia yang begitu dekat dengan Allah yang kerananya diberi gelaran "Khalilullah" (kekasih Allah) adalah Nabi Ibrahim.  Peribadi Nabi Ibrahim dengan kedekatan dan kepatuhannya secara sempurna kepada Allah tampil sekaligus dalam dua ibadah di hari raya Aidil Adha, iaitu ibadah haji dan ibadah kurban.

A. IBADAH HAJI
Dalam ibadah haji, peranan Nabi Ibrahim tidak boleh dilupakan. Tercatat bahwa syariat ibadah ini sesungguhnya bermula dari panggilan Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah swt dalam firmanNya :

"Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di Baitullah (dengan mengatakan): "Janganlah kamu mempersekutukan sesuatupun dengan Aku dan sucikanlah rumahKu ini bagi orang-orang yang tawaf, orang-orang yang beribadah dan orang-orang yang ruku' serta sujud. Dan kemudian serulah manusia untuk menunaikan ibadah haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh". (QS Al-Hajj : 26-27)
Ibadah ini mesti bermula dengan sikap bersiap sedia seseorang untuk menanggalkan seluruh sifat dan penampilan luaran yang mencerminkan kedudukan dan status sosialnya dengan hanya mengenakan dua helai kain `ihram' yang mencerminkan sikap tawadu' dan persamaan antara seluruh manusia.  Dengan pakaian yang sederhana ini, seseorang akan lebih mudah mengenal Allah kerana dia sudah mengenal dirinya sendiri melalui ibadah wuquf di Arafah. Dengan penuh kekhusyukan dan ketundukan, seseorang akan larut dalam zikir, munajat dan taqarrub kepada Allah sehingga ia akan lebih bersedia untuk melaksanakan seluruh perintahNya selepas itu.
Dalam proses bimbingan kerohanian yang cukup panjang ini, seseorang akan diuji pada hari berikutnya dengan melontar jumrah sebagai simbol perlawanan terhadap syaitan dan terhadap setiap yang menghalangi kedekatan dengan Rabbnya. Kemudian segala aktiviti kehidupannya akan diarahkan untuk Allah, menuju Allah dan bersama Allah dalam ibadah tawaf mengelilingi satu titik fokus yang bernama ka'bah. Titik kesatuan ini penting untuk mengingatkan arah dan tujuan hidup manusia :

"Katakanlah: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan seru sekelian alam". (QS Al-An'am : 162)
Akhirnya dengan modal keyakinan ini, seseorang akan giat berusaha dan berikhtiar untuk mencapai segala cita-cita dalam naungan ridha Allah swt dalam bentuk sa'ie antara bukit Shafa dan bukit Marwah.  Demikianlah ibadah haji yang sarat dengan pelajaran yang kembali ditampilkan oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya.

B. IBADAH KURBAN
Dalam ibadah kurban, Nabi Ibrahim kembali tampil sebagai manusia pertama yang mendapat ujian pengorbanan dari Allah swt. Ia menunjukkan ketaatannya yang tidak berbelah bagi dengan menyembelih putera kesayangannya yang dinanti kelahirannya sekian lama.

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar." (QS Ash-Shaffaat: 102)
Begitulah bagaimana manusia akan diuji dengan apa yang paling ia cintai dalam hidupnya.  Andaikata Nabi Ibrahim seorang manusia yang dha'if, tentulah agak sukar baginya untuk membuat pilihan di mana salah satu di antara kedua pilihan itu memiliki keterikatan yang besar dalam hidupnya iaitu Allah atau Isma'il.

Berdasarkan akal rasional, boleh jadi Nabi Ibrahim akan lebih memilih Isma'il dengan menyelamatkannya dan tanpa menghiraukan perintah Allah tersebut. Namun ternyata Nabi Ibrahim adalah peribadi hamba pilihan Allah yang bersedia memenuhi segala perintahNya dalam bentuk apapun.  Ia tidak ingin cintanya kepada Allah menjadi pudar semata-mata lebih mencintai puteranya. Akhirnya ia memilih Allah dan mengorbankan Isma'il yang akhirnya menjadi syariat ibadah kurban bagi umat Nabi Muhammad saw.

Seorang penulis mengatakan bahwa Isma'il adalah sekadar simbol dari segala yang kita miliki dan cintai dalam hidup ini.  Jika "Isma'ilnya" Nabi Ibrahim adalah puteranya sendiri, lantas siapakah "Isma'il" kita?
Boleh jadi ianya adalah : Diri kita sendiri, Keluarga kita, Anak kita,  Isteri kita,  Harta kita, Pangkat kita, Jawatan kita.  Yang jelas, semua apa yang kita miliki boleh menjadi "Isma'il" kita yang kerananya akan diuji dengan itu. Kecintaan kepada "Isma'il" itulah yang kerap membuatkan iman kita goyah atau lemah untuk mendengar dan melaksanakan perintah Allah.  Kecintaan kepada "Isma'il" yang berlebihan juga akan membuatkan kita menjadi : Ego, mementingkan diri sendiri, bernafsu serakah dengan tidak mengenal batas kemanusiaan. Allah swt mengingatkan kenyataan ini dalam firmanNya :

"Katakanlah: jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. " Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik". (QS At-Taubah : 24)
Oleh kerana itu, dengan melihat keteladanan berkurban yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim, walauapapun "Isma'il" kita, walauapapun yang kita cintai, kurbankanlah apabila Allah menghendaki.  Janganlah kecintaan terhadap "Isma'il-Isma'il" itu membuatkan kita lupa kepada Allah. Tentunya, masyarakat kita sangat memerlukan hadirnya peribadi seperti Nabi Ibrahim yang sentiasa bersedia berbuat sesuatu untuk kemaslahatan orang ramai meskipun harus mengorbankan apa yang dicintainya. Ketaatan yang tidak kurang teguhnya dalam menjalankan perintah Allah adalah ketaatan Isma'il untuk memenuhi tugas bapanya. Persoalannya adalah,
  1. Kenapa Isma'il, seorang anak yang masih belia rela menyerahkan jiwanya?
  2. Bagaimanakah Isma'il memiliki kepatuhan yang begitu tinggi?
Nabi Ibrahim sentiasa berdoa :

"Tuhanku, anugerahkan kepadaku anak yang soleh." (QS Ash-Shaffaat: 100).
Maka Allah mengabulkan doanya :

"Maka Kami beri dia khabar gembira dengan "Ghulamun Halim" - seorang anak yang amat sabar dan santun". (QS Ash-Shaffaat : 101).
Inilah rahsia kepatuhan Isma'il yang tidak terlepas dari peranan ibu bapanya dalam proses bimbingan dan pendidikan.   Peribadi "Ghulamun Halim" dalam ertikata seorang yang sabar dan santun yang memiliki kemampuan untuk menggabungkan antara sikap rasional dengan akal budi tidak mungkin lahir begitu sahaja tanpa melalui proses pembinaan yang panjang sehingga dengan semangat waja, Isma'il berkata kepada ayahandanya dengan satu kalimah yang indah : 
"Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan Allah, nescaya insyaAllah, ayah akan mendapatiku seorang yang tabah hati". (QS Ash-Shaffaat : 102)
Ibu bapa mana yang tidak terharu dengan jawaban seorang anak yang ringan melaksanakan perintah Allah yang dibebankan kepada bahu ayahandanya.

Ayah mana yang tidak terharu melihat peribadi dan perilaku anaknya yang begitu lembut hati dan prihatin.

Di sinilah peri pentingnya pendidikan keagamaan bagi seseorang anak semenjak mereka masih kecil lagi, jangan menunggu ketika mereka sudah remaja apalagi dewasa.

Sungguh keteladanan Nabi Ibrahim boleh dicontohi sejak dari bagaimana ia mendidik anaknya sehingga menjadi seorang yang berstatus “Ghulamun Halim”.
Setelah meneliti dua pelajaran kehidupan beragama yang sangat berharga di atas, Dr. Mustafa As Siba'i pernah mengajukan pertanyaan yang menarik yang menggugah hati :
  1. "Adakah seorang muslim di hari raya ini akan menjadi peribadi ego yang mencintai dirinya sendiri dan mementingkan kepentingan dirinya sendiri di atas kepentingan orang lain?"
  2. "Apakah ia akan menjadi peribadi yang mementingkan orang lain di bandingkan dirinya, lalu mendahulukan kepentingan orang lain atas kepentingan dirinya tersebut?"
Memang secara fitrah, manusia cenderung bersikap ego dan mementingkan diri sendiri. Ia melihat kepentingan orang lain melalui kepentingan dirinya.  Namun demikian, di samping itu semua, manusia pada dasarnya adalah makhluk yang cenderung untuk saling bekerjasama, memilih untuk bermasyarakat dibandingkan menyendiri dan pada kebiasaannya akan mendorong dirinya untuk merelakan sebahagian haknya untuk orang lain sehingga hasil dari kerjasama tersebut, ia akan dapat mengambil manfaat berupa kewujudan kehormatan dan kepentingannya.

Oleh kerana itu, beberapa jenis pengorbanan dan pendahuluan kepentingan orang lain, menjadi sebahagian dari kemestian dalam bangunan masyarakat yang tanpa keberadaannya, masyarakat tidak akan dapat hidup dengan bahagia. Dalam hal ini, tentulah kita bersepakat bahwa kita sangat terhutang budi dalam setiap kenikmatan hidup material mahupun "non-material" terhadap orang-orang yang telah berkurban dan mendahulukan kepentingan orang lain.

Kita terhutang budi dalam bidang ilmu pengetahuan kepada para pengarang termasuk ulama, muhadditsin, mufassirin dan lain-lain yang dengan tekun menghabiskan usia mereka untuk menulis dan memenuhi lembaran-lembaran kertas dengan hikmah dan ilmu pengetahuan sementara orang lain sedang nyenyak tidur atau sedang sibuk dengan syahwat mereka. Ungkapan Imam Az Zamakhsyari berikut ini menggambarkan apa yang mereka lakukan untuk ilmu pengetahuan :

"Aku bersekang mata untuk mempelajari dan meneliti ilmu pengetahuan, itu lebih nikmat bagiku dibandingkan dengan bersenda gurau dan bersenang-lenang dengan wanita yang cantik".
  
"Aku bergerak ke sana ke mari untuk memecahkan satu masalah ilmu pengetahuan, itu lebih enak dan lebih menarik seleraku dibandingkan dengan hidangan makanan yang lazat".

Ya Allah, bangunkanlah semangat berkurban dalam diri dan jiwa kami sebagaimana ianya dimanifestasikan dalam ibadah haji dan kurban. Jadikanlah Nabi Ibrahim dan Isma'il sebagai contoh tauladan kami dalam pendidikan anak dan pengorbanan serta kesiapan dalam melaksanakan perintahMu. 

LAYARI QURBAN DAN AQIQAH 

Wednesday, November 10, 2010

RENUNGAN UNTUK KITA

 Marilah kita bangkit! Inilah tanggung jawab yang menuntut banyak kreativiti dan kecerdasan. Inilah ruang gerakerja yang tidak pernah mengenal perkataan selesai.  
1.      Lakukanlah apa yang boleh kita sumbangkan untuk mengisi ruang besar gerakan dakwah ini.
2.      Jangan sekali-kali kita menganggap kecil, walau sekecil apapun sumbang­an kita dalam dakwah ini.
3.      Sesunggunnya Allah swt tidak mengukur pada besar kecilnya amal, melainkan sejauh mana keikhlasan dan kesempurnaan dalam kita menyele­saikannya.

Medan perjuangan adalah :
 a.       Wilayah panjang tanpa akhir, kecuali berakhir pada titik kemenangan atau kematian.
b.      Jalan penuh rintangan di samping berhiaskan onak, duri dan ujian.

Arena panjang yang penuh ujian bukanlah tempat bagi para pencari pengalaman atau bahkan sekadar mengisi waktu terluang.  Di sini diperlukan para pejuang yang memberikan seluruh hidupnya demi agenda perjuangan kerana pada kenyataannya, kadang-kadang medan perjuangan dijadikan sebagai tempat mencari :
 1.      Keuntungan.
2.      Kemasyhuran.
3.      Wang demi kelangsungan kehidupan.

Semakin hari semakin kemenangan perjuangan mulai menampakkan kesannya ke permukaan dan segala keperitan perjuangan akan segera terbayar, maka di saat itulah banyak ujian kesenangan yang akan melalaikan para pejuang seperti dalam peristiwa Perang Uhud yang pada mulanya memperolehi kemenangan.   Ketika ini, tunas kemenangan mulai menggeliat dan mengembang manakala gerakanpun mulai menampakkan pengaruhnya.   Namun, sesuatu yang kadang-kadang membuatkan hati kita tidak tenang adalah ketika ada yang terlena dengan riak-riak kemenangan.

Kalaulah yang dilupakan adalah masalah-masalah keduniaan, itu sudah menjadi sebuah kemestian.  Tapi pada realitinya, kadang-kadang kuantiti dan kualiti ibadahpun sudah menjadi agenda yang dilupakan.  Ketika ini, walaupun riak-riak kemenangan sudah menampakkan wajahnya di permukaan, namun, jangan terlalu sering mengucapkan kemenangan selagi mana masih banyak manusia yang jauh dengan pemilik dan yang memberikan kemenangan iaitu Allah swt.

Ini adalah kerana cita-cita kita bukanlah
“Bagaimana menikmati kemenangan.”

Tapi yang lebih penting adalah :
 “Bagaimana nilai-nilai kalimah syahadah mampu menjadi aqidah semua manusia sehingga ketundukan sepenuhnya kepada Allah swt di setiap lapangan dapat direalisasikan.”

Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.

Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.

Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.

Teruslah bertahan, hingga kelemahan itu lemah menyertaimu.

Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Tahu bahwa di setiap ruang waktu, terlalu banyak seruan dan ajakan untuk meninggalkan jalan hidup RasulMu dan di sela-sela ruangan waktu itulah kami berharap akan tetap istiqamah di jalanMu. Kami juga memohon agar Engkau memelihara harapan itu di hati kami sehingga ke akhir hayat kami dan menguatkan barisan kami, umat NabiMu saw.


KEPENTINGAN AMANAH TARBIYAH

Persepsi yang salah terhadap amanah biasanya lahir dari peralihan orientasi hidup (ittijah) kepada material atau urusan-urusan duniawi.  Ini memberi kesan terhadap kelemahan keyakinan akan rezeki Allah swt dan akibatnya keterikatan terhadap agenda gerakan menjadi lemah kerana sebahagian aktivis disibuk­kan dengan urusan ma’isyah (mata pencarian).   Pergerakan yang hebat menuntut penggunaan tenaga yang tidak sedikit. Aktivis dakwah terkesan berada di mana-mana, namun satu fenomena umum yang menyer­tainya adalah lemahnya amaliah ubudiyah yaumiyah (amal-amal ibadah harian).

Ramai aktivis yang kemudiannya menyelesaikan amal ibadah hariannya pada tingkatan biasa-biasa sahaja. Agenda-agenda peningkatan ruhiyah yang disediakan sebagai backup atau ‘charger’ mula menjadi tidak  popular di mata para aktivis di samping tenaga yang ada memang sudah terserap habis.   Akhirnya semangat pencapaian muwashafat (sasaran kualiti diri) seperti yang pernah bergema kuat sebelum ini mula mengalami penurunan.

Lalu, apalagi yang membuatkan kita dapat bertahan menghadapi fitnah dan mihnah ini jika ibadah kita menjadi perkara yang seharusnya diperbetulkan Satu lagi gambaran yang juga sebelumnya terpendam adalah cara pandang kita terhadap pembinaan diri. Dalam beberapa situasi, akti­viti yang menuntut waktu dan perhatian seringkali mengalah­kan agenda-agenda pembinaan diri.  
1.      Ada yang minta izin untuk tidak menghadiri ‘liqa’’ mingguan kerana amanah di tempat tertentu.
2.      Ada yang terlantar kerana murabbi dan pengelolanya sibuk dengan agendanya masing-masing.

Semua ini menyebabkan banyak aktiviti yang terkorban.  Profil dan gaya aktivis dakwah yang sudah sedemikian rapuhnya itu ditambah lagi dengan kelemahan dalam penguasaan manhaj gerakan.   Inilah kelemahan yang cukup besar bagi aktivis dakwah di mana kesannya benar-benar mengancam kelangsungan proses ‘takwin’ (membina dan membentuk).   Kelemahan-kelemahan tersebut bahkan membuatkan sebahagian aktivis dakwah tidak berani menjadi ‘murabbi’ atau pembina generasi penerusnya.

Bahkan ianya boleh menimbulkan perasaan rendah diri yang membuatkan aktivis dakwah tidak dapat berkembang dalam mengikuti agenda pentarbiyahan.   Kita berharap agar fenomena terakhir ini hanya bersifat sementara kerana akibat besarnya mungkin akan ada aktivis dakwah yang meminta untuk ‘pencen’ atau ‘berehat terus’ dari aktiviti dakwah dan tarbiyah.

MASA UNTUK BERAMAL

 Kita sudah lama membincangkan berbagai tema dan agenda dalam gerakan dakwah ini. Kini :
1.      Tiba saatnya kita meng­amalkan semua kefahaman tersebut.
2.      Setiap detik yang kita miliki adalah masa untuk menerapkan semua konsep gerakan yang telah lama kita letakkan dalam suatu sistem.
3.      Di hadapan kita ada hamparan ruangan amal yang sangat luas.

Hamparan amal tersebut memerlukan :

a.       Peranan kita semua.
b.      Corakan wama yang menyejukkan pandangan.
c.       Sentuhan rasa yang kental.
d.      Semangat penghambaan yang membara kepada Allah swt.

Inilah ketikanya kita masuk ke dalam fasa seterusnya tanpa melupakan agenda fasa sebelumnyaIni semua kita lakukan bukan semata-mata kita menjadi bahagian dari gerakan dakwah Islam ini, tapi sebagai rasa syukur kita kepada Allah swt kerana ternyata ia masih mem­beri kita kesempatan untuk berada dalam zaman yang penuh dengan berbagai kemudahan ini. Untuk itu, kita mesti menebus kesyukuran tersebut dengan meningkatkan kuantiti amal gerakan dakwah secara sempurna.

BERATNYA AMANAH KEPIMPINAN

Kita perlu menyegarkan kefahaman kita tentang tanggungjawab amal. Tidak ada amanah yang kita rasa enak atau tidak enak.  Amanah yang datang adalah untuk kita tunaikan. Posisi apapun kita dalam gerakan dakwah ini, di setiap bahagian ruangannya terdapat fitnah dan ujiannya masing-masing.   Kita tentu masih ingat akan satu kenyataan yang dibuat oleh Khalifah Islam yang pertama iaitu Abu Bakar ra, ketika upacara perlantik­annya : “Ketahuilah, aku bu­kanlah orang yang terbaik di antara kamu, akan tetapi aku hanyalah seorang laki-laki seperti kamu, namun Allah menjadikan aku sebagai orang yang  paling berat bebanannya di antara kamu.”

Perasaan ini adalah pera­saan yang hanya dimiliki oleh ‘jiwa-jiwa yang bersatu’.  Ketika keistimewaan-keistimewaan amanah yang ketara itu sudah tidak ada lagi, lalu digantikan oleh sifat tawadhu dan per­saudaraan (ukhuwah), maka Tidak ada yang tersisa dari erti kepimpinan kecuali tinggal bebanannya yang berat.

Lalu apa bezanya jenis amanah tersebut di hadapan Allah dengan apa yang ketika ini menjadi tanggungjawab kita?  Ini adalah gambaran yang seharusnya membuatkan kita banyak merenung dan tidak menambah senarai pertanggung­jawaban kita di hadapan Allah swt kerana “Semakin tinggi tingkatan amanah yang kita pikul, ianya hanya akan meninggalkan beban yang juga semakin berat.

Jika kita mampu memberi komitmen dengan lapang dada dan melihat saudara-saudara kita dengan perasaan cinta kerana beratnya bebanan tersebut, maka ge­rakan dakwah ini tidak akan dibatasi oleh apa-apa jenis penghalang.   Tuntutan untuk mengambil peranan nyata dalam gerakan dakwah adalah sebuah kemestian.
Putaran gerakan dakwah dengan segenap perkembangannya meninggalkan tanggungjawab yang tidak ringan.
Jika kita pernah mendengar suatu kenyataan :  Berpindah dari medan kata-kata kepada medan amal”.

Maka sekaranglah ketikanya dan inilah masanya aqad perniagaan dengan Allah diikrarkan.  Siapakah di antara kita yang akan menjawab seruan Allah?

“…..Mahukah engkau Aku tunjukkan kepada perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih(QS As-Shaf :10)

Siapakah di antara kita yang bersungguh-­sungguh menggolongkan dirinya ke dalam jaminan Allah?

“Se­sungguhnya Allah membeli diri dan harta sebahagian dari golongan orang-orang yang beriman dengan bayaran syurga…….” (QS At-Taubah : 111)

Pendakwah Agen Perubah

Satu perkara yang sepatutnya kita maklumi bahwa ruang gerakan dakwah dari masa ke semasa semakin lebar membentang di hadapan kita. Ibarat sebuah bendera di mana kibarannya semakin kencang di mana semakin luas perkembangan dakwah, maka semakin kuat pula fitnah dan halangan.

Kita boleh menetapkan satu dari dua peranan dalam diri kita iaitu :
1.      Menjadi penganalisa situasi yang suka berkomentar.
2.      Menjadi pelaku yang produktif memberikan sumbangan.

Pertanyaan yang paling tepat bagi aktivis dakwah terhadap keadaan yang dihadapi pada ketika  ini bukanlah :
Siapakah yang telah melakukan prestasi yang tinggi sehingga gerakan dakwah berkembang hari ini?”

Tetapi sepatutnya  :
Siapakah yang bertanggung jawab ke atas perkembangan dakwah ketika ini dan di masa hadapan?”.

Dua pertanyaan tersebut menggambarkan persepsi kita dalam memandang diri sendiri.  Ketika gerakan dakwah ini kita pandang sebagai keperluan, maka sepesat manapun perkembangan yang dicapai tidak akan membuatkan kita menuntut ‘penghargaan’ kerana apa yang mesti kita fokuskan adalah bagaimana kita beramal bagi menjawab segala tuntutan di atas perkembangan tersebut.  Mari kita letakkan diri kita supaya berada pada persepsi seperti apakah diri kita?  Inilah saatnya kita diuji dalam memberi kefahaman terhadap amal jamai’e’.

Kenyataan menunjukkan bahwa agenda gerakan dakwah dari masa ke semasa berkembang dengan begitu pantas namun faktor manusia seringkali menjadi jalan masuk kepada syaitan untuk melemahkan kita ter­utama ketika kita melihat aktivis dakwah berubah gaya dan penampilan kerana amanah barunya dan kemudiannya mereka mula :
a.       Mem­bangun kemasyhuran diri.
b.      Menghitung prestasi yang telah dicapai.

Bagi siapa yang masih terjebak dalam kungkungan fitnah ini,  “Berhenti­lah dari kungkungan itu, inilah saatnya membuk­tikan semua komitmen dan kefahaman. Ingatlah, semakin tinggi ke­dudukan, semakin kencang angin menerpa. Sedarlah kita bahwa dalam perkembangan dakwah ketika ini, semua peringkat mengalami tekanan ‘angin’ yang sama kualitinya, dalam bentuknya masing-masing”.

Sunday, November 7, 2010

FOTO: SUKARELAWAN WANITA IKRAM PERLIS TIDAK KETINGGALAN


Pengagihan Makanan kepada mangsa banjir di PERLIS oleh sukarelawan IKRAM

Anak-anak Mangsa Banjir Bantu Keluar Makanan

Sumbang di MSM Beseri
Suasana Kantin yang dijadikan tempat tinggal sementara

Membawa makanan ke lokasi

Mengagih Sumbangan Di Bogor Empiang








SIAPAKAH MUJAHID DAKWAH

Sesungguhnya dakwah menjadi tinggi dan mulia dengan ketinggian dan kemuliaan pendukungnya selain tingkatan kesetiaannya terhadap manhaj yang diikuti. Di dalam Tarbiyah Ikhwanul Muslimin, mereka telah menumpukan usaha untuk melahirkan peribadi-peribadi contoh melalui proses tarbiyah yang akhirnya akan menjadi mujahid dakwah bagi memikul tugas dan tanggungjawab dakwah sehingga dakwah ini akan tersebar ke serata pelusuk dunia untuk merealisasikan perhambaan sepenuhnya kepada pemilik dakwah ini iaitu Allah swt dan dalam masa yang sama menghapuskan kezaliman sesama manusia.  Semua usaha-usaha di atas tidak mampu untuk diwujudkan melainkan mendapat taufiq dari Allah swt dan sebahagian dari ciri-ciri peribadi contoh tersebut adalah seperti berikut :

1. MENJADIKAN DAKWAH SEBAGAI TUMPUANNYA.
Imam Hasan Al-Banna pernah menyebut : "Saya dapat menggambarkan peribadi mujahid adalah seorang yang dalam keadaan :
  • Mempersiapkan dan membekalkan diri.
  • Berfikir tentang keberadaannya pada segenap relung hatinya.
  • Sentiasa berfikir untuk meningkatkan kemampuannya.
  • Berwaspada dan sentiasa dalam keadaan siap siaga.
  • Bila diseru, ia menyambut seruan itu. 
  • Waktu pagi dan petangnya, bicaranya, keseriusannya dan pekerjaannya, tidak melanggar ruangan yang ia persiapkan diri untuknya.  
  • Tidak melakukan sesuatu kecuali memenuhi misinya yang memang telah meletakkan hidup dan kehendaknya di atas misinya iaitu berjihad di jalanNya.
Kita dapat membaca perkara tersebut pada raut wajahnya. Kita dapat melihatnya pada bola matanya. Kita dapat mendengarnya dari ucapan lidahnya yang boleh memberi petunjuk terhadap ;
  • Sesuatu yang bergolak dalam hatinya.
  • Suasana tekadnya.
  • Semangat besar serta tujuan jangka panjang yang telah memuncak dalam jiwanya.
  • Jiwa yang jauh dari unsur menarik keuntungan segera di sebalik perjuangan.
Adapun seorang mujahid yang :
  • Tidur sepenuh kelopak matanya.
  • Makan seluas mulutnya.
  • Tertawa selebar bibirnya.
  • Menggunakan waktunya untuk bermain dalam kesia-siaan.
Maka adalah mustahil ia termasuk orang-orang yang menang, dan mustahil tercatat dalam golongan para mujahidin."

2. BERGERAK KERANA ALLAH SWT.
Keadaan seorang mujahid yang berlari memohon kesyahidan kepada Allah swt di saat melakukan tugas dakwah kepada Allah sebagaimana syahidnya 'Urwah bin Mas'ud ats-Tsaqafi ra yang mendakwahkan kaumnya kepada Islam.

'Urwah adalah seorang dari dua tokoh besar kaum musyrikin yang disebutkan dalam firman Allah tentang perkataan kaum musyrikin :  "Dan mereka berkata, "Mengapa Al-Qur'an tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah satu dua negeri (Makkah dan Thaif) ini?" (QS Az-Zukhruf : 31). Ketika ia menyatakan dirinya masuk Islam, sekaligus mendakwahkan kaumnya kepada Islam, tombak dan anak panah bertubi-tubi datang dari segala arah merobek tubuhnya hingga akhirnya ia syahid.

3. MEMILIKI SEMANGAT YANG TINGGI.
Seorang mujahid dakwah mesti mempunyai semangat yang tinggi sebagaimana semangat Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami ra yang pernah diceritakan oleh Ibnul Qayyim : “Bila kamu ingin melihat tahap semangat, lihatlah semangat Rabi'ah bin Ka'ab al-Aslami ra. Rasulullah saw berkata: "Mintalah kepadaku." Rabi’ah mengatakan: "Aku ingin menjadi pendampingmu di syurga." Sementara orang lain ada yang meminta makanan dan pakaian.

4. MEMEGANG TEGUH JANJINYA.
Seorang mujahid dakwah dibina untuk mengerti dan melaksanakan sikap “shiddiq” sebagai sikap mulia para sahabat ridhwanullahi'alaihim. Seperti kisah Anas bin Nadhr ra yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahwa Anas bin Nadhr tidak hadir dalam peperangan Badar. Beliau mengatakan: "Aku tidak ikut serta dalam perang pertama yang disaksikan olah Rasulullah saw. Bila Rasulullah kembali berperang melawan kaum Quraisy setelah Badar, niscaya Allah 'Azza wa Jalla akan memperlihatkan apa yang akan kuperbuat." Ketika berlakunya perang Uhud, umat Islam menderita kekalahan. Seseorang berkata kepada Anas bin Nadhr radhiallahu'anhu: "Wahai Anas hendak kemana engkau?" "Saya ingin menghampiri bauan syurga di sebalik Uhud.' Anas berangkat hinggalah ia syahid. Di tubuhnya terdapat lebih dari lapan puluh luka akibat tikaman pedang, tombak dan anak panah hingga jasadnya tidak dapat dikenali lagi oleh saudara perempuannya kecuali melalui pakaiannya. Lalu turunlah firman Allah swt : “Di antara orang-orang mu'min ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya.” (QS Al-Ahzab : 23) Demikianlah semestinya sikap teguh terhadap janji.

5. SEIMBANG DALAM SEMUA KEADAAN.
Tarbiyah Ikhwanul Muslimin membina anggotanya agar memiliki sikap berani, namun tidak mengabaikan sikap berhati-hati, jauh dari sikap tergesa-gesa dan emosional. Mungkin sedikit manusia yang mampu bersikap seimbang dalam melakukan perkara ini. Seorang yang membiasakan dirinya bersikap berani akan sentiasa berusaha untuk memutuskan semua rintangan-rintangan yang mengikatnya. Mereka juga memiliki ketaatan yang tinggi yang diikat oleh kesedaran syar'i yang tepat, jelas, tidak mengikut-ngikut dan bukan sikap membabi buta. Di sisi lain, anggota Ikhwan sentiasa memelihara potensi yang Allah anugerahkan kepada dirinya. Seorang Ikhwan secara khusus mengerahkan semua kekuatannnya kepada seluruh yang mendatangkan manfaat kepada dakwah. Penyaluran potensi itu tidak dibiarkan tanpa pengendalian, tanpa arah dan tujuan yang jelas. Mereka sentiasa mengiringinya dengan langkah perancangan yang matang.

6. KOMITMEN YANG TINGGI TERHADAP PETUNJUK NABAWI.
Seorang mujahid dakwah sentiasa : Berjalan di atas jalan syari'at. Tunduk kepada sunnah. Menjauhi diri dari perilaku bid'ah dan semua yang tidak diperintahkan oleh Rasulullah saw. Mengikuti petunjuk Nabawi dalam setiap tindak tanduknya. Mengambil agamanya dari mata air Islam yang jernih dan minum dari sumber keimanan. Bila ditanya : Tentang prinsipnya, ia mengatakan : “Ittiba’” (mengikut petunjuk Nabawi).  Tentang pakaiannya, ia mengatakan : "Taqwa."  Tentang matlamat serta tujuannya, ia mengatakan : "Ridha Allah." Tentang di mana ia menghabiskan waktunya di waktu pagi hingga petang, ia menjawab: "Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang." (QS An-Nur: 36) serta di medan da’wah untuk mengembalikan manusia ke jalan al-haq. Tentang nasabnya, ia mengatakan : “Ibu bapaku adalah Islam. Tidak ada ibu bapa selainnya sementara orang lain bangga dengan keturunan Qais atau Tamim.”

7. SABAR.
Seorang mujahid dakwah terbina dengan akhlak sabar sehingga di awal perjalanannya, mereka telah memahami apa yang diucapkan Ibnul Qayyim rahimahullah : "Sesungguhnya sikap untuk lebih mengutamakan ridha Allah pasti akan berhadapan dengan permusuhan manusia, siksaan bahkan usaha mereka untuk membunuhnya. Yang demikian adalah sunnatullah di antara makhluk-Nya. Jika tidak demikian, lalu apakah dosa para Nabi dan Rasul yang memerintahkan keadilan di antara manusia dan menegakkan agama Allah? Maka barangsiapa yang lebih mengutamakan keridhaan Allah, nescaya ia akan mendapat permusuhan dari :
  • Orang alim yang jahat.  
  • Manusia yang menyimpang.
  • Orang yang jahil.
  • Pelaku bid'ah.
  • Orang yang berdosa.
  • Penguasa yang bathil.
Barangsiapa berpegang teguh pada Islam secara sempurna, ia tidak dapat :
  • Digoyahkan oleh manusia bahkan gunung sekalipun.
  • Dihalangi oleh berbagai ujian, kekerasan dan rasa takut.
Mereka mengetahui bahwa kesabaran dapat diperolehi melalui dua perkara :
  • Tarbiyah di atas sikap zuhud di dunia.
  • Tarbiyah di atas sikap zuhud terhadap pujian.
Tidaklah seseorang itu menjadi lemah atau terlambat di atas jalan ini kecuali kerana kecintaannya yang sedemikian besar pada kehidupan, keabadian serta kecintaannya pada pujian manusia dan usaha menjauhi kecaman mereka.” Jalan ini, bagi mereka, merupakan jalan yang pasti berhadapan dengan pendustaaan, pengusiran dan siksaan seperti ungkapan Ibnul Qayyim al-Jauzi rahimahullah : "Seseorang yang berjalan menuju Allah swt adalah sebagai “uswah” (contoh tauladan). Dan itulah tingkatan yang sangat mulia. Seorang yang berakal cerdas rela meneladani kepada para Rasul Allah, para Anbiya, Aulia, dan orang-orang yang dipilih Allah dari para hamba-Nya. Merekalah kelompok manusia yang paling berat ujiannya. Siksaan manusia terhadap mereka lebih cepat berjalannya daripada air mata. Cukuplah, contoh kisah yang disebutkan tentang perjuangan para Anbiya alaihimus salam bersama umat mereka, juga perjuangan Rasulullah saw. Bagaimana siksaan musuh-musuh terhadap mereka. Siksaan berat yang belum pemah menimpa orang sebelum mereka." Waraqah bin Naufal pemah berkata kepada Nabi saw.,"Engkau pasti akan didustai, diusir dan disiksa." Kemudian beliau bersabda: 'Tidak seorangpun yang datang sebagaimana yang aku perjuangkan kecuali ia akan mengalami keadaan serupa dengan apa yang ku alami." Hukum ini berlaku hingga kepada para pewaris-pewarisnya. Tidakkah seorang hamba ridha menjadikan hamba Allah yang terbaik Allah sebagai contoh tauladannya.

8. PEMBERI INFAQ YANG TIDAK KIKIR TERHADAP DAKWAHNYA.
Ciri ini adalah sebagaimana yang disifatkan oleh Imam Hasan Al-Banna : "Mereka tidak kikir terhadap dakwah, meskipun mesti mengeluarkannya dari bahagian makanan anak-anak mereka, mengeluarkan darah mereka dengan harga yang mahal untuk keperluan utama, apatah lagi dari keperluan yang tidak mendesak. Mereka, tatkala menanggung bebanan dakwah ini, benar-benar mengetahui bahwa ia merupakan jalan dakwah yang tidak mungkin dilalui dengan sedikit pengorbanan darah dan harta. Maka mereka keluarkan perkara itu seluruhnya kerana Allah swt. Dari semua ciri-ciri dan sifat-sifat seorang mujahid dakwah di atas, boleh difahami bahwa mereka sebenarnya tengah melakukan perjalanan menuju Allah swt bersama kelompok al-haq dan kafilah tauhid. Mereka adalah orang-orang yang mempunyai keyakinan besar, para pendidik, manusia yang sedar dan berpegang teguh kepada Islam, yang sedang mempersiapkan diri dengan ilmu, keahlian untuk berangkat dan berjihad. Masing-masing berlumba untuk berangkat, dan bila mereka berangkat mereka lakukan dengan penuh “itqan” (tanggungjawab dan amanah). Jika mengalami situasi sulit dalam peperangan, mereka bersabar. Mereka tidak akan rela sehingga dakwah mencapai tujuannya. Meskipun mereka perlu memeras seluruh kemampuan dan pemikiran mereka habis-habisan.
  • Bila mereka memberi perintah, perintah mereka jauh dari sikap memaksa.
  • Bila mereka taat kepada perintah, ketaatan mereka terbebas dari sikap merasa hina.
  • Bila mereka melontarkan kritikan, kritikan mereka jauh dari sifat merosakkan dan menghancurkan.
Mereka :

  • Memiliki disiplin yang tinggi.
  • Teratur urusannya.
  • Para murabbi.
  • Perancang strategi menuju sasaran yang jelas.
  • Orang-orang yang teguh pendirian.
  • Komited
  • Yang apabila diberi amanah sebagai pemimpin mereka lakukan dengan ikhlas.
  • Jika diletakkan sebagai pekerja, mereka lakukan dengan penuh ketaatan.
  • Mampu berfikir untuk terus meningkatkan kemampuannya secara seimbang untuk sentiasa berusaha mengatasi masalah yang dihadapinya.
  • Mengambil hukum suatu pekerjaan dan aktiviti dari fikirannya.
  • Mereka merasa bertanggungjawab untuk membela Islam.
  • Puas dengan jumlah yang sedikit.
Dalam jiwa mereka terdengar sebuah prinsip yang begitu indah, “Pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat." (QS Ash- Shaff : 13).  Betapa mereka bekerja keras di waktu siang, betapa indahnya lantunan "zikir" mereka, yang mereka ambil dari keluarga Daud pada waktu sahur. Kemudian ketika mereka berhadapan dengan orang yang bengis dan keras, perkataan mereka adalah: “Suatu tentera yang besar yang berada di sana dari golongan-golongan yang bersepadu, pasti akan dikalahkan." (QS Shaad : 11). Mereka bertolak ke arah yang jelas, bergerak bersama sikap komitmen dengan ketaqwaan. Sumpah setia mereka adalah sebenar-benarnya, ketaatan mereka bukan dalam keadaan terpaksa tapi penuh kesedaran, pandangan mereka penuh perhitungan, wawasan pemikiran mereka luas dan tidak sempit. Masing-masing berprinsip menjadi pendukung setia terhadap pemimpinnya, cita-cita mereka adalah bertemu dengan Rabb sebagai syuhada’. Mereka memandang tanggungjawab syari'at sebagai :
  • Penyejuk mata.
  • Penyenang hati.
  • Penghidup ruh.
dan mencampakkan sistem thaghut dan undang-undang yang bathil.” Para mujahid dakwah adalah yang sentiasa memerangi kehendak nafsu mereka. Hati mereka rindu pada ketaqwaan, merasa tenang dengan zikir. Mereka mengetahui bahwa jihad adalah aplikasi rahbaniyah Islam. Oleh kerananya mereka persiapkan diri dengan senjata, mereka hunus pedang serta bentangkan busur panah. Mereka mengetahui bahwa roh-roh mereka akan kembali di antara penghuni kubur, mereka tinggalkan bangunan dunia, semangat mereka meninggi dan perilaku mereka menjadi lurus. Mereka adalah junudullah (tentera Allah) di manapun mereka berada. Mereka adalah para imam, pemberi petunjuk dan pemimpin kaum beriman. Mata mereka sering terjaga di waktu malam dan mata mereka kerap mengeluarkan air mata. Berbahagialah orang yang berada dan berpegang teguh bersama mereka.

Para mujahid dakwah sentiasa komited dengan seruan Rasulullah saw secara zahir dan batin. Mereka berpendirian sebagaimana Rasulullah saw berpendirian. Mereka berjalan sebagaimana Rasulullah saw berjalan. Mereka ridha dengan keridhaan Rasulullah saw. Menyambut seruannya bila Rasulullah saw menyeru mereka. Landasan mazhab mereka adalah Al-Qur'an dan As-Sunnah, meninggalkan hawa nafsu, bid'ah, berpegang teguh dengan para imam dan berqudwah pada para salaf. Meninggalkan perbuatan bid'ah, berpendirian di atas apa yang ditempuh para generasi awal dari para sahabat, pembela Islam, sumber keimanan mereka berintikan sikap ihsan.

Pengetahuan mereka murni mengambil dari haruman wahyu dan hadits Rasulullah saw. Para mujahid dakwah yang meyakini bahwa :  
  • Mempelajari ilmu ikhlas kerana Allah dapat melahirkan khasyiah (ketakutan).
  • Menuntut ilmu merupakan ibadah.
  • Muzakarah mereka adalah tasbih.
Pembicaraan mereka adalah tentang "jihad".Mereka menuntut ilmu hingga terbukalah hijab yang menyelimuti hati mereka, hilang kegelapannya yang diganti dengan fajar tauhid dan terpancar di dalamnya matahari keyakinan. Jalan di hadapan mereka menjadi terang benderang, malamnya laksana siang. Hati dan jiwa mereka bangkit memperolehi al-Haq, dan meninggalkan selainNya. Terlepas dari semua kehendak (iradah) mereka. Yang terpatri dalam hati mereka hanya bara khasyiyah (ketakutan) yang membakar. Kerahsiaan mereka berhiaskan al-haq dan keterbukaan mereka terhias oleh akhlaq. Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk kami menghiasi diri dan membina ciri-ciri mujahid dakwah yang akan mewarisi tugas dakwah dan pembentukan serta tugas-tugas yang ditinggal atau diamanahkan oleh Rasulullah saw.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS