Thursday, January 13, 2011

KARISMA sedia berubah namun kesatuan diutamakan

KUALA LUMPUR – Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) membayangkan ia bakal melalui tempoh transisi bermula sekarang, namun menegaskan agenda kesatuan khususnya yang melibatkan seluruh persatuan mahasiswa Islam di negara ini akan diteruskan malah wajar diperkasa lagi.

Presiden KARISMA sesi 2010, Abdullah Omar Muhamad Fuad dalam Ucapan Dasar Presiden bersempena Perhimpunan KARISMA Nasional 2010 (PKN ’10) berkata, KARISMA yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) pada 2 Mei 1999 mengambil keputusan untuk melangkah seiringan dengan JIM dalam mendepani perubahan semasa.

JIM yang dilihat sedang melalui proses transisi dari sudut organisasi dijangka akan memindahkan segala aktivisme dan asetnya ke sebuah ‘rumah baru’ yang dinamakan IKRAM (Pertubuhan IKRAM Malaysia).
Katanya lagi, jawatankuasa pusat JIM dalam Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN), 18 Disember 2010 telah mencadangkan bahawa status akhir JIM adalah pembubaran. Sebelum itu, dalam PPN Khas pada 24 Julai tahun lepas, JIM turut meminta ahli-ahlinya menganggotai IKRAM, namun aktiviti semua institusi JIM dan yang melibatkan pihak luar perlu diteruskan hinggalah IKRAM mengambil peranan JIM dengan baik.
KARISMA mengambil pendirian untuk bersama-sama JIM menjayakan IKRAM. Sehubungan perkara itu, jawatankuasa KARISMA Nasional mencadangkan agar KARISMA dibubarkan dan sebuah pertubuhan mahasiswa baru ditubuhkan di bawah IKRAM. Segala pengalaman dan aset maknawi KARISMA juga dipindahkan dan diteruskan dalam wadah baru tersebut.

Menurut Abdullah, apa yang berlaku kini adalah proses perubahan ke arah kebaikan. Mengambil contoh hijrah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dari Makkah ke Madinah, tempat yang lebih kondusif untuk perkembangan dakwah, sejarah menyaksikan peribadi para sahabat yang dibentuk di Makkah terus mendukung perjuangan Rasulullah di Madinah.

“Harapan yang sama kita dambakan daripada ahli-ahli KARISMA agar berganding bahu menjayakan wadah baru mahasiswa nanti dengan lebih cemerlang,” katanya.

Memperkukuh kesatuan, menurut beliau lagi, bermakna membuka ruang kesatuan antara mahasiswa, mengelakkan perbezaan yang mungkin wujud dan mencari titik-titik persamaan demi kebaikan bersama. Wadah baru itu nanti perlu berperanan menjadi persatuan mahasiswa utama untuk membela kebajikan warga siswa dan anggota masyarakat seluruhnya.

Abdullah Omar turut menyentuh tidak kurang daripada enam perkara penting sama ada yang berkait langsung dengan KARISMA mahupun yang menyangkut kepentingan umat secara keseluruhan.

Mengenai ‘survival’ umat Islam seluruh dunia, khususnya di Palestin, beliau mengingatkan bahawa isu Palestin adalah isu perjuangan bagi seluruh umat Islam. Sejak dahulu lagi KARISMA telah bekerjasama dengan institusi-institusi yang memperjuangkan isu Palestin secara khusus seperti Aqsa Syarif dan Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE). Justeru, beliau berharap ahli-ahli KARISMA dan wadah mahasiswa yang baru nanti akan terus aktif menyokong perjuangan membebaskan bumi Palestin.

Beliau juga meluahkan rasa bimbang dengan tindakan kerajaan persekutuan yang ketika melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 25 Oktober 2010 lalu hebat menggariskan langkah-langkah positif bagi memulihkan ekonomi negara, namun menyelitkan juga satu ‘langkah ke belakang’ apabila mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan. Langkah ini termasuklah menyasarkan kewujudan sekurang-kurangnya 10 kelab malam baru menjelang 2014, yang mana setiap kelab malam itu pula dikatakan dapat menampung sehingga 900 pengunjung dalam satu masa. Perkara ini sudah pasti mengundang masalah sosial dan mahasiswa, katanya, tidak akan teragak-agak untuk menyatakan bantahan sekiranya masa depan negara bakal tergadai oleh anasir-anasir negatif sebegini.

Selain itu, pengumuman kerajaan menstruktur semula subsidi ke atas barangan seperti petrol, diesel, gas dan gula menyebabkan harga barang-barang keperluan naik. Meskipun matlamatnya dikatakan untuk membantu golongan miskin, namun mereka turut menerima kesan kenaikan ini secara langsung kerana ramai rakyat berpendapatan rendah masih bergantung kepada diesel dan petrol. Golongan ini tidak lagi sekadar menggunakan basikal atau berjalan kaki sahaja. Mahasiswa yang hanya bergantung kepada pinjaman turut terkena tempiasnya. Penjimatan yang dimaksudkan oleh kerajaan masih kecil jika dibandingkan dengan perbelanjaannya yang besar dan cuma menguntungkan sesetengah pihak. Isu yang lebih utama ialah kerajaan perlu memerangi rasuah habis-habisan dan pembaziran dihentikan.

Mengenai larangan berpolitik kepada mahasiswa, KARISMA berpendapat kerajaan perlu adil dalam menangani isu ini. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang mahasiswa berpolitik dilihat lebih ‘keras’ kepada kumpulan propembangkang, sebaliknya lebih ‘lunak’ kepada kumpulan prokerajaan.
“Bagi KARISMA, menjadi anggota sebuah parti, menjadi calon dalam pilihanraya, terlibat dalam kempen atau menyatakan sokongan terhadap suatu parti itu merupakan soalan kedua. KARISMA tidaklah terlalu obses untuk memperjuangkan kebenaran mahasiswa berpolitik. Isu mahasiswa menganggotai sesebuah parti itu tidak menjadi keutamaan KARISMA. Apa yang penting adalah mahasiswa tidak harus dikongkong dan diperkotak-katikkan dengan kenyataan, undang-undang dan tindakan yang kabur,” tegas Abdullah.
Sebagaimana ucapan dasarnya pada perhimpunan lepas, rancangan FIDAK (Fikrah Islam Dominan Alam Kampus) yang dilancarkan KARISMA sejak 2007 terus diberi penekanan istimewa. Tahun ini, FIDAK melangkah ke tahap kedua (RF2) sehingga 2013. Kalau RF1 memberi fokus kepada tarbiah ahli dan pejanaann dana, RF2 memberi tumpuan kepada kebajikan ahli dan masyarakat kampus, meningkatkan hubungan dengan semua pihak serta melaksanakan pengambilan disasar (targeted tajnid). RF3 yang disasarkan sehingga 2015 pula akan memimpin pandangan umum (POL) dan melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya kampus.

Impian KARISMA untuk menyaksikan syariah terlaksana di Malaysia pada 2020 selari dengan mesej Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dalam satu penulisannya bahawa kepentingan melahirkan graduan berkualiti bukan sekadar memenuhi tuntutan pekerjaan semata-mata, tetapi perlu menyumbang kepada kekuatan modal insan, berintegriti, amanah, beretika dan peduli akan dosa pahala, memiliki nilai kerohanian seperti pemaaf, berkasih sayang dan tolong-menolong serta berjiwa besar yang bukan sahaja berilmu tetapi tinggi dengan keluhuran budi.

Abdullah turut mengajak hadirin merenungi dan berasa bimbang dengan laporan Exit Survey: Generic Student Attributes (GSA) mengenai elemen moral dan profesional mahasiswa Malaysia yang rendah (lelaki 57.7%; wanita 73.3%), apatah lagi negara kerap dibanjiri dengan berita-berita khalwat, pembuangan bayi, pelacuran dan penyalahgunaan dadah yang melibatkan pelajar IPT.

Walau apa pun senarionya, KARISMA percaya satu daripada takrifan negara maju adalah maju aspek rohaninya. Pembangunan fizikal sebuah negara perlulah selari dengan pembangunan rohani masyarakat negara tersebut.

“Meletakkan impian pelaksanaan syariah menjelang 2020 adalah suatu impian optimis yang perlu diyakini oleh ahli KARISMA kerana kita mengharapkan negara ini maju dalam menterjemahkan perlembagaannya ‘Islam sebagai agama Persekutuan’. Hal ini bermakna Islam bukan sahaja menjadi agama dalam majlis rasmi, tetapi diterjemahkan menjadi agama yang boleh membawa negara ke arah kemajuan yang hakiki seperti yang diinginkan oleh Islam,” ujarnya.

Beliau berharap rancangan FIDAK akan diteruskan pertubuhan mahasiswa baru di bawah IKRAM nanti.
Sebelum berundur, Abdullah Omar berpesan agar ahli-ahli KARISMA yang kental semangat mudanya tidak lupa untuk bergandingan dengan ‘orang-orang lama’ yang sarat pengalaman. Sikap paling utama yang perlu dipupuk oleh ahli KARISMA adalah meraikan kerja yang telah dilaksanakan oleh orang lain, khususnya para senior dalam jamaah.

“Bangkitlah menggarap perubahan, memperkukuh kesatuan dan memastikan pengalaman, peranan serta pendedahan yang diperoleh KARISMA selama ini dibawa ke medan baru dalam IKRAM,” demikian beliau menutup bicara.
IKRAM MALAYSIA Last Updated ( Wednesday, 12 January 2011 11:47 )

MPSJ diarah tarik larangan kerja di tempat jual arak

Kerajaan negeri Selangor hari ini mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk menarik balik garis panduannya yang melarang orang Islam bekerja di tempat-tempat yang menyajikan minuman keras, selepas didedahkan oleh Komunitkini.

NONEExco perumahaan dan kerajaan tempatan, Ronnie Liu (kiri) mengesahkan pekeliling berhubung perkara itu telah dikeluarkan kepada presiden MPSJ, Md Adnan Ikhsan pagi ini untuk menarik semula syarat itu kerana kerajaan negeri tidak menyedarinya.

"Kami tidak dirujuk (berhubung larangan itu). Sebab itu, kita minta mereka tarik dulu,” kata Liu.

Menyedari tindakan MPSJ tersebut akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang ramai, khususnya masyarakat bukan Melayu, ADUN Pandamaran itu berkata syarat baru berkenaan juga ditimbulkan pada mesyauarat exco semalam.

Namun, Liu tidak mahu mengulas sama ada MPSJ mempunyai kuasa mengubal garis panduan seumpama itu, berdasarkan undang-undang Syariah Selangor dalam syarat-syarat perlesenannya.

NONE“(Garis panduan itu ) tidak pratikal. Kalau semua diberhentikan, siapa yang akan mencari pekerjaan untuk mereka?” katanya.

Semalam, Komunitikini, melaporkan bahawa syarat baru itu perlu dipatuhi sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kerana pengambilan pekerja beragama Islam di premis-premis berkenaan dikatakan bertentangan dan melanggar Seksyen 18 (2), Enakmen Jenayah Syariah.

Syarat itu dikatakan dibuat atas “inisiatif sendiri majlis itu demi menuju kebaikan” dan mana-mana syarikat yang gagal mematuhinya akan dikompaun atau menghadapi kemungkinan lesen mereka ditarik balik.

Petitkan sumber dari : malaysiakini
Leven Woon Zheng Yang
Jan 13, 2011, 4:31pm

Wednesday, January 12, 2011

MPSJ larang umat Islam kerja di tempat jual arak

Garis panduan terbaru Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang orang Islam bekerja di tempat-tempat yang menyediakan minuman keras menimbulkan pelbagai reaksi.

Syarat baru itu disertakan sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kerana pengambilan pekerja beragama Islam di premis-premis berkenaan dikatakan bertentangan dan melanggar Seksyen 18 (2), Enakmen Jenayah Syariah.

Menurut pegawai, Jabatan Perhubungan Awam MPSJ, Azfarizal Abd Rashid syarat itu dibentangkan tahun lalu atas “inisiatif sendiri majlis itu demi menuju kebaikan”.

Mana-mana syarikat yang gagal mematuhi syarat itu akan dikompaun atau menghadapi kemungkinan lesen mereka ditarik balik, katanya.

Namun, garis panduan itu mendapat bantahan daripada sebahagian besar daripada pengusaha sektor hiburan di Subang kerana sebahagaian besar tenaga kerja mereka adalah orang Islam.

Seorang pegawai kanan di sebuah pub, @live, di Sunway Pyramid, yang hanya mahu dikenali sebagai Johari mendakwa 50 peratus pusat hiburan di Subang akan ditutup jika pihak berkuasa benar-benar bertindak.

“Majoriti kakitangan kami adalah pekerja tempatan beragama Islam, dan ini adalah sesuatu yang biasa dalam industri ini,” kata Johari yang mempunyai pengalaman 10 tahun dalam bidang berkenaan.

Beliau berpendapat pihak berkuasa sengaja mensasarkan sektor hiburan, sedangkan pusat-pusat industri yang lebih besar tidak tertakluk mematuhi garis panduan yang sama.

“Jika mereka ingin mengharamkan pekerja Islam (daripada bekerja di tempat yang menyediakan alkohol), bagaimana pula dengan orang Islam yang bekerja di Guinness Anchor dan Carlsberg?

“Bagaimana pula dengan pramugari MAS (Penerbangan Malaysia)? Mereka menghidangkan lebih banyak minuman keras daripada apa yang kami hidangkan di sini,” katanya.

Petitkan berita: Leven Woon Zheng Yang, Jan 13, 11, 8:56am Malaysiakini.

SRI Al Amin KT ditutup kerana banjir.

Ahad, 9 Januari, SRI Al Amin Kuala Terengganu (SRIAAKT) terpaksa ditutup kerana jalan masuk ke sekolah ditenggelami air sedalam hampir setengah meter. Guru besar SRIAAKT, Ust Hj Munawwar Mohamad mengistiharkan hari Ahad sebagai hari cuti.

Hari ini, SRIAAKT dibuka semula memandangkan air sudah surut berbanding semalam. Guru guru seawal 6.50 pagi sudah berada di jalan masuk ke SRIAAKT untuk mengangkut pelajar dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda dan MPV.
Walaubagaimanapun, cuaca pagi ini masih lagi mendung dan dibimbangi sekiranya hujan lebat berterusan, SRIAAKT terpaksa ditutup.
“Pihak sekolah masih risau kerana awan masih mendung dan gerimis siang berlarutan. Jika hujan lebat, pihak sekolah akan menilai keadaan, dibimbangi air naik lagi” Ust Hj Munawwar.

WACANA “INDUSTRI LAKONAN DAN DUNIA ARTIS MENURUT ISLAM”

WACANA “INDUSTRI LAKONAN DAN DUNIA ARTIS MENURUT ISLAM” Pada 20 JANUARI 2011 bertempat di DEWAN MASJID SAIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ, BANGSAR

Sekretariat Pemuda, Persatuan Ulama’ Malaysia akan menganjurkan satu Wacana Ilmiah “Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Islam”. Wacana ini akan membariskan panelis terdiri daripada karyawan antaranya:
1.       Dr. Muhaimin Sulam
2.       Ustaz Fadlan Mohd Othman
3.       Pn. Erma Fatima
4.        
Wacana ini akan berlangsung pada waktu berikut:
Tarikh   : 20 Januari 2011 (Khamis)
Masa    : 9.00 malam
Tempat : Dewan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur

Untuk keterangan lanjut hubungi  013-2968703 begin_of_the_skype_highlighting              013-2968703      end_of_the_skype_highlighting. Masuk percuma. Terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Isteri Boleh Maaf Tapi Tak Boleh Lupa Suami Boleh Lupa Tapi Tak Boleh Sebut

Ramai dikalangan isteri merungut akan sikap suami mereka yang susah untuk menyatakan atau mengungkapkan perkataan “maaf” walaupun dengan jelas kesalahan dan kesilapan berpunca daripada suami. Akhirnya ramai dikalangan wanita melebelkan orang lelaki ini sebagai EGO.

Untuk memahami sikap lelaki begini, mari kita imbas kembali peranan lelaki zaman dahulu. Lelaki adalah penjaga keluarganya daripada serangan binatang buas, musuh dan menangkap binatang buruan untuk makanan keluarganya. Dia keluar meninggalkan keluarga untuk ke hutan menangkap binatang. Dia berfikir sendirian. Dia keluar dengan penuh yakin untuk kembali membawa binatang buruan. Dia tidak akan menunjukkan muka yang takut atau lemah agar isteri dan keluarganya tidak risau akan pemergiannya. Malah dia ingin dirasai diperlukan oleh keluarganya untuk mendapatkan makanan.
Sikap “rasa-tidak-dilihat-sebagai-GAGAL” telah menebal di kepala orang lelaki. Sememangnya inilah binaan sel-sel rangkaian otak orang lelaki yang suka kompetitif, kuasa dan agresif. Tidak boleh menerima kegagalan.

Kalau lelaki ini bersendiran memandu kereta dan dia sesat jalan, dia akan turun bertanya pada orang untuk mendapatkan panduan. Tetapi kalau isteri atau ada orang lain yang bersamanya ketika itu, dia tidak akan turun bertanya pada orang lain. Kerana perbuatan ini menyebabkan dirinya dipandang sebagai GAGAL.
Kalau isterinya bersuara menyuruh dia minta pertolongan orang lain, ini menyebabkan dirinya rasa GAGAL. Pantang dirinya menerima keadaan begini. Seolah-olah dia “tidak berguna”. Kalau dia sedang membaiki paip yang bocor, isterinya suruh dia panggil saja tukang paip, tindakan isterinya ini merendahkan martabatnya sebagai dia GAGAL. Pantang dirinya menerima keadaan begini.

Penyebab lain yang menyukarkan suami menyebut “saya minta maaf” ialah binaan otak “monotrek”nya ini iaitu:

1.  Kurang perhubungan diantara sel emosinya di sebelah otak kanan dengan sel lisan di sebelah otak kirinya. Oleh itu amat sukar untuk dia menyuarakan kesilapannya.

2. Minda lelaki seperti di dalam kotak-kotak. Semua kesilapan diri sendiri disimpan di dalam kotak-kotaknya itu dan disimpan hingga dia sendiri lupa di mana dia letak kotak-kotak itu. Dia hanya ingat akan kotak-kotak yang berisi kejayaan dan kemenangannya sahaja. Itu sebabnya orang lelaki lebih mudah menceritakan kejayaannya daripada kegagalannya kepada orang lain.

Sebaliknya isteri amat mudah menyuarakan semua perasaan, emosi, pandangan, kemaafan dan nasihat kerana binaan sel otak mereka yang “multitasking” ini mampu melakukan pelbagai perkara serentak. Disebabkan hubungan jaringan sel sebeginilah, maka amat mudah bagi seorang isteri mengingat semua peristewa dan dengan cekap pula mengaitkan peristewa itu dengan isu dan emosinya. 

Itu sebabnya seorang isteri sangat memerlukan unggapan “Abang minta maaf” daripada suaminya kerana dengan pernyataan ini menyebabkan dirinya dihormati dan terhubung jiwa dan raganya dengan suami itu.  

Dua orang lelaki peninju kelihatan berpelukan di akhir pertandingan. Tanggapan orang perempuan ialah mereka sedang bermaaf-maafan. Hakikat sebenar ialah pemenang berkata, “Aku menang” dan disambut oleh yang kalah, “Ok, aku tunggu kamu tahun depan pulak.”

Oleh itu, bagi isteri, cukuplah dengan perbuatan suami seperti membasuh keretanya atau mengambil kain di penyidai sebagai ungkapan yang dia sedang meminta maaf kepada anda.

Bagi suami pula, belajarlah menyebut, “Abang minta maaf” setiap kali isteri berkata, “Abang yang silap” kerana dengan ucapan azimat ini akan bertambah sayang dia kepada anda, walaupun anda tidak tahu apa kesalahan anda.

Selamat mencuba

ditulis oleh: Pak Utih (Ahmad Shafiai Uda Jaafar), Pengerusi Dana SRAZ RM2Juta

Tuesday, January 11, 2011

Rundingan Damai Israel-Palestin: membazirkan masa atau hanya sekadar sebuah lakunan.

‘Peace talk’ atau rundingan damai Israel-Palestine menemui kegagalan lagi. Sejarah lebih 100 tahun konflik antara Israel dan Palestine memperlihatkan memang perdamaian tidak pernah dicapai. Semenjak orang Yahudi merampas bumi Palestine dengan bantuan British kemudian AS (Amerika Syarikat), bumi ini tidak pernah aman.
 
Begitulah hakikatnya orang Yahudi dan Nasrani tidak akan membiarkan bumi Palestin dikuasai kembali oleh Islam. Mereka akan melakukan apa saja demi mempertahankan bumi Palestin ini. Damai bagi mereka bila orang Islam sanggup tunduk dan ikut cara mereka, itu saja.
 
Oleh itu apa yang berlaku sekarang dalam rundingan Israel-Palestin tak lebih dari cakap-cakap kosong. Mugkin lebih tepat lagi sekadar lakunan semata –mata sepertimana dalam filem-filem hebat Hollywood bagi tujuan memenuhi kehendak sesuatu pihak dan juga untuk mengaburkan pandangan dunia terhadap apa yang berlaku dibumi Palestin.
 
Untuk menunjukkan  bahawa rundingan damai ini sebagai lakunan sahaja dan tiada niat langsung untuk menegakkan keadilan dan membawa keamanan,  kita mesti lihat pihak-pihak yang terlibat dalam rudingan damai ini. Pihak tersebut ialah rejim Zionis, AS dan PA yang di pimpin oleh Mahmud Abbas.
 
Mulanya tentu sekali rejim Zionis. Mereka merupakan puak Yahudi yang berfahaman Zionis. Mereka bukanlah puak yang layak langsung diajak berunding. Mereka tidak mempunyai hak walaupun seinci dari tanah Palestin. Mereka ini merupakan pendatang-pendatang Yahudi yang kebanyakan datang dari Eropah. Mereka terpaksa datang ke Palestine kerana mereka dibenci oleh masyarakat Eropah.
 
Mereka ini kemudian menjadi perompak dan penganas (contoh kumpulan Irgun dan Hagana) yang zalim yang merompak sedikit demi sedikit tanah rakyat Palestin. Merekalah juga yang memyembelih rakyat Palestin dan membawa malapetaka ke bumi yang suci ini.
 
Mereka hanya berselindung di sebalik selogan agama untuk mendapat sokongan orang Yahudi. Mereka kemudian menjadi penjajah yang menjajah Palestin dengan zalim dan tak berperikemanusian. Ratusan ribu nyawa rakyat Palestin telah dikorban semenjak mereka menjajah bumi Palestin. Tanyalah pada semua bangsa di dunia ini, adakah mereka sanggup berdamai dengan manusia jenis ini.
 
Lebih penting dari itu, sifat orang Yahudi itu sendiri yang terkenal dengan tipu-daya. Memang inilah sifat terkeji mereka semenjak dahulu lagi sepertimana tercatat dalam Injil dan al-Qur’an,  khususnya semasa nabi Musa dan nabi Isa memimpin mereka. Orang Yahudi jenis inilah yang sedang  memerintah negara haram Israel. Mereka ini penuh dengan  tipu dah helah dalam setiap urusan.
 
Bolehkah mereka diajak  berjanji untuk berdamai? Jawapan, tentu sekali tidak. Mereka bukan sekadar mungkir janji dengan rakyat Palestin, malah dengan sesiapa saja termasuklah PBB. Mereka tanpa rasa bersalah telah melanggar banyak piagam PBB dalam isu Palestin.
 
Malah antara punca sebenarnya kegagalan kepada rundingan damai kali ini ialah keengganan rejim Zionis untuk mematuhi piagam PBB 242 (1967) iaitu rejim Zionis mesti keluar dari tebing barat ( iaitu sempadan sebelum tahun 1967).
 
PA pimpinan Mahmud Abbas hatta Hamas sekalipun (dengan beberapa syarat yang lain) sedia untuk berunding  sekiranya rejim Zionis bersetuju mematuhi piagam PBB 242 ini. Namun sampai saat ini rejim Zionis masih tidak   mematuhi Piagam PBB  242, malah terus membina penempatan haram orang Yahudi di Jerusalem Timur yang sepatut diberikan kepada rakyat Palestin.
 
Oleh itu rundingan damai secara terus atau tidak terus yang diadakan antara rejim Zionis-PA hanya sia-sia saja kerana ianya akan berakhir dengan rejim Zionis melanggari segala yang dijanjikan. Kesanggupan rejim Zionis untuk duduk dalam rundingan damai hanya sebagai suatu muslihat.
 
Ataupun sebagai lakunan untuk menunjuk kepada dunia bahawa mereka adalah manusia yang cintakan keamanan. Ironiknya jika rundingan damai ini menemui jalan buntu, Hamas pula dipersalahkan bukan Fatah atau PA. Dan akan dihukum sepertimana berlaku dalam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan dalam operasi Cast Lead di jalur Gaza pada penghujung tahun 2008 selama 17 hari.
 
Seterusnya persoalan kredibiliti AS sebagai orang tengah dalam rundingan damai Israel-Palestin ini.  Dalam perkembangan terbaru, disebabkan kedegilan rejim Zionis untuk menghentikan pembinaan haram di Jerusalem timur  rundingan damai Israel-Palestin telah terhenti.
 
Dalam keadaan terdesak untuk meneruskan rundingan damai ini juga kerajaan AS pimpinan Obama  terpaksa  memujuk rejim Zionis dengan menawarkan untuk  membekalkan 20 buah jet pejuang F-35 yang bernilai USD 3 Billion secara percuma sebagai ganjaran sekiranya rejim Zionis dapat membekukan kerja-kerja pembinaan  ini untuk selama 90 hari dan kembali meja rundingan.
 
Tindakan  ini sebenarnya mendapat kritikan hebat dari  sebagaian rakyat AS. Antaranya termasuklah bekas Setiausaha Negara AS, Collin Powell. Beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak faham hubungan antara pembekuan pembinaan (selama 90 hari) di tebing barat dengan pemberian 20 buah jet pejuang F-35 (kepada Israel).
Lebih menarik lagi, bekas duta AS ke Israel, Daniel Kurtzer, sepertimana yang dilapurkan dalam  Washinton Post (Disember 2010),  juga turut mengritik kerajaan AS dengan mengatakan bahawa tawaran  20 buah jet pejuang F-35 kepada Israel sebagai:  “ … a reward for Israel’s bad behaviuor…”

Semua ini sebenarnya membuktikan bahwa AS  tidak layak langsung berada dalam rundingan damai ini sebagai orang tengah kerana kerajaan AS itu sendiri di kuasai oleh orang Yahudi melalui pelobi-pelobi mereka. Oleh itu dalam setiap rundingan atau perjanjian damai AS terpaksa memastikan kedudukan dan kepentingan rejim Zionis di Palestin tidak tergugat tanpa mengambil-kira langsung tentang keadilan kepada rakyat Palestin. 
 
Lebih dari itu Obama sendiri, sebagai Presiden AS,  juga menyedari bahwa antara isu pokok kepada rundingan damai ialah masalah tuntutan rejim Zionis  terhadap keseluruhan bandar Jerusalem termasuklah Baitulmaqdis yang terletak dalam bahagian timur Jerusalem yang menjadi hak kepada  rakyat Palestin sepertimana dalam piagam PBB 242.
 
Namun rejim Zionis juga tidak lupa akan janji-janji Obama untuk menjadikan keseluruhan bandar Jerusalem sebagai ibukota Israel iaitu sebelum menjadi President AS sepertimana diucapkannya dalam perhimpunan AIPAC(pelobi-pelobi Yahudi)  pada 5 Jun 2008 seperti berikut:
 
 “ Any agreement with the Palestinian people must preserve Israel’s identity as a Jewish state, with secure, recognized, defensible borders. And Jerusalem will remain the capital of Israel and must remain undivided.”
Obama memahami semua isu penting ini dan ketidak-mampuannya untuk menolak segala tuntutan dari rejim Zionis. Oleh itu sekiranya rundingan damai Israel-Palestin diteruskan juga,  ianya juga hanya sekadar lakunan  Obama sehebat lakunan Denztel Washington dalam filem ‘Malcom X’.

Semuanya dilakukan oleh Obama semata-mata ingin menunjukkan kepada dunia (khusus pemimpin-pemimpin dunia Islam yang malas berfikir) bahawa  rundingan damai Israel-Palestin masih berlaku walaupun pada hakikatnya bukan begitu. Pihak atau watak ketiga dalam drama rundingan damai ini tentu sekali PA dibawah pimpinan Mahmud Abbas. Mahmud Abbas (pemimpin Fatah) dan PA merupakan watak yang diwujudkan oleh rejim Zionis dan AS kononnya mewakili rakyat Palestin. Hakikatnya Mahmud Abbas dan PA (secara sedar atau tidak)  hanya  sekadar boneka kepada rejim Zionis dan AS

Fatah (parti yang diwakili oleh Mahmud Abbas) sebenarnya telah kalah dalam pilihanraya pertama di Palestin pada Januari 2006.  Hamas yang  telah memenangi pilihanraya ini  sepatutnya memimpin PA bukan Fatah.  Namun Hamas, sebuah parti Islam,  yang di gelar sebagai pengganas  oleh rejim Zionis dan AS,  tidak diiktiraf sebagai pemerintah yang sah untuk rakyat Palestin di tebing barat dan jalur Gaza.

Jelas disini  Mahmud Abbas dan PA sekarang juga tidak layak langsung  mewakili rakyat Palestin dalam mana-mana rundingan ataupun perjanjian damai dengan sesiapa pun. Oleh itu mana-mana rundingan atau perjanjian damai tidak akan mempunyai apa-apa makna kalau tidak diwakili Hamas.

Hamas sebenarnya sanggup melakukan gencatan senjata atau ‘hudna’ dan hidup berjiran dengan rejim Zionis (tetapi tidak akan mengiktiraf negara Israel) sekiranya  rejim Zionis sanggup mematuhi piagam PBB 242 (1967) iaitu rejim Zionis mesti keluar dari tebing barat ( iaitu sempadan sebelum 1967) dan menghentikan segala kepungan dan sekatan ekonomi terhadap  jalur Gaza.
 
Namun begitulah  hakikatnya sepertimana firman Allah s.w.t : “Orang-orang  Yahudi dan Nasrani sekali-kali tidak akan dapat bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad ) sehingga engkau menurut agama (budaya hidup) mereka.” al- Baqarah: 120
 
Oleh itu rundingan damai (peace talk) antara rejim Zionis , AS dan  Mahmud Abbas  hanya membazirkan masa dan  tidak lebih dari sebuah lakunan saja.
 
ditulis oleh: Megat Shariffudin Ibrahim, PACE ,dari Ipoh Untuk Gaza, 8 January 2011.

RS: Menerima kunjungan Yayasan Sime Darby

Baru-baru in 2 orang pegawai eksektufi daripada Yayasan Sime Darby di RS Selangor pagi ini. Mereka hadir sebagai usaha mengenali rumah perlindungan RS. Mereka akan bawa maklumat  yang diperoleh untuk dibentangkan kepada Yayasan Sime Darby untuk tindakan susulan berupa bantuan.
 
Baru berjumpa dengan beberapa pegawai eksekutif daripada Sime Darby. Mereka ada mempromosikan sebuah kursus asas kesihatan dibayai oleh Yayasan Sime Darby. Jadi ana rasa mcm elok kalau promo pada semua sebab mereka sedang mencari lagi peserta kursus & tarikh tutup utk januari adalah sebelum 20 Jan.

Kalau apply selepas 20 Jan, akan masuk dalam kursus yg seterusnya (April rasanya).  Berikut ana copy paste daripada website Yayasan Sime Darby: Basic Healthcare Skills Course Program, Yayasan Sime Darby continues to support the community by creating an opportunity for those in need by enhancing their skills and knowledge and broadening their opportunity to improve their standard of living.

In line with that, we invites those who are interested to join the Basic Healthcare Skill Programme with Sime Darby Nursing and Health Sciences College that will commence in 2011. The details are:

Duration : 6 Months
Status : Full Time
Entry Requirement : Pass in SPM
Mode of Delivery : Theory and Practical

Mereka akan tanggung sesiapa yg berminat (terutamanya siapa yg tidak ada kerja/lepasan SPM yang tidak cemeralang tetapi berminat utk mempelajari tentang ilmu kesihatan/lepasan SPM yg tidak mendapat tempat, dsb). Program ini ditaja sepenuhnya (tempat tinggal, transport, sara diri, pengajian, ect). Boleh tanya maklumat lanjut pada yg menguruskan (no phone di bawah)

Mungkin pada pelajar-pelajar MHi juga boleh promote. Atau sesiapa boleh promosikan kepada adik2, sedara mara yang mungkin tidak mendapat keputusan yg cemerlang dalam SPM tetapi masih berminat utk mendalami ilmu2 sebegini supaya dapat pekerjaan. Boleh buka brochure di: http://www.yayasansimedarby.com/upload/general%20brochure-eng.pdf

Sekiranya berminat, boleh hubungi terus Siti Nor bt Abd Hamid, Executive Corporate Social & Responsibility di talian 012-9141082

ditulis oleh: ABDULLAH OMAR BIN MUHAMAD FUAD, Lembaga Pengarah RS Induk, Pemuda IKRAM Kajang

Konvensyen Pertama IKRAMHealth


Alhamdulillah Konvensyen sulung IKRAMHealth yang bertemakan "Halatuju Ke Hadapan" atau " The Way Forward" telah berlangsung dengan jayanya pada 8hb Januari 2011 bertempat di Institut Pengurusan Kesihatan Jalan Bangsar, Bangsar Kuala Lumpur. Seramai 106 peserta dari kalangan ahli IKRAM rumpun kesihatan dari seluruh Malaysia telah menghadiri Konvensyen tersebut.

Konvensyen IKRAMHealth ini telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden IKRAM, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom. Ceramah satu telah disampaikan oleh Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman bertajuk "Dakwah Dalam Perkhidmatan Kesihatan". Dr Abd Rahim Mohamad berkongsi pengalaman beliau yang luas dalam topik " Masa Depan Perkhidmatan Kesihatan". Forum yang bertema "Dakwah dalam Transformasi Perkhidmatan Kesihatan. Di mana dan Ke mana?"yang di kendalikan oleh Dr Norazizah Tahir menampilkan 3 ahli panel iaitu Dr Zainal Fitri Zakaria yang membicarakan topik primary care, Dr Dinsuhaimi Sidek ,sudut academic & volunteerism, sementara Tn Hj Shaharom Md Shariff sebagai ahli panel ketiga membicarakan dari sudut private practice.

Manakala sebelah petang, 5 topik penting dibengkel dan dibentangkan:
1. Akademia-Dr Asmadi Yusof
2. Kkm/goverment-clinical- Dr Asma Abdullah
3. Private hospital & Administrative--Hj Shaharom Md Shariff
4. Allied Health&Primary care-goverment-Dr Ruziaton Hasim
5. Allied Health&primary care-private-Dr Hafizah Mustakim


Hasil bengkel yang telah dibentangkan akan menjadi asas kepada Exco IKRAMHealth dalam menentukan halatuju dan aktiviti IKRAMHealth. Presiden IKRAM, Dr Ahmad Parid telah menyampaikan amanat penting kepada semua peserta Konvensyen di sesi penutup. Pehak Sekretariat menngucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para tetamu jemputan,penceramah, ahli panel, para peserta dan semua ahli yang terlibat dalam menjayakan Konvensyen kali ini.


ditulis oleh: Hamisah Abdul Mubin, Sekretariat IKRAMHealth

Dari Laman Web DPMM: Usahawan, Hartawan dan Kasih Sayang

Usahawan adalah bidang yang dimuliakan Islam. Nabi SAW bersabda, “9/10 rezeki dari daripada perniagaan.” Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda, “Sebaik-baik rezeki yang dimakan oleh seseorang ialah dari apa yang diusahakan oleh tangannya sendiri.”

Usahawan yang tidak lalai dari mengingati Allah walaupun penuh kesibukan adalah orang yang terselamat daripada tipu daya syaitan. Sesungguhnya ramai manusia yang sibuk dengan pekerjaan duniawi lantas mereka lupa kepada Allah.

Firman Allah, “Syaitan telah menguasai ke atas diri mereka, sehingga ia melupakan mereka dari mengingati Allah.” (Al-Mujadalah : 19)

Syeikh Ibrahim Adham, seorang Sufi yang terkenal pernah berkata, “Satu saat jujur dalam perniagaan lebih ku kasih dari ibadah sepanjang malam”.

Pernah beliau bertemu dengan sahabatnya yang berada di satu tempat dengan hanya menumpukan ibadah dan mendapat rezeki dari pemberian orang. Lalu Syeikh bertanya kenapa ia berkeadaan begitu, jawab sahabatnya, “Saya pernah berada di padang pasir, saya melihat seekor burung yang patah sayap tetapi ia hidup dan sihat. Saya memerhati bagaimana ia mendapat rezeki, saya melihat seekor burung terbang ke arahnya dan memberi ia makan, lalu aku berkata dalam hatiku, ‘Demi Allah , seekor burung pun dijamin rezekinya oleh Allah SWT, apatah lagi manusia,’ lalu aku duduk begini tanpa menghiraukan rezekiku”. Lalu berkata Syeikh, “Sayang sekali, kenapa kamu menjadi burung yang patah sayap? Kenapa kamu tidak mahu menjadi burung yang terbang mencari dan memberi rezeki”. Lalu sahabatnya pun bangun dan mencium dahinya, “Engkaulah Guruku, demi Allah aku akan meninggalkan tempat ini untuk menjadi burung yang terbang.”

Alangkah mulianya menjadi usahawan jika ia menjadikan niatnya untuk agama, dengan mengagihkan kekayaannya untuk membantu manusia, menyebarkan kasih sayang melalui hartanya, menyejukkan hati manusia dengan hartanya, membantu kaum yang lemah, membantu anak-anak yatim, membantu saudara yang memerlukan, membantu menguatkan agamanya, membantu menyebarkan agamanya, ia bagaikan bank bagi manusia. Ia takut pada Allah kerana ia faham harta bukan miliknya tetapi milik Allah untuk mengujinya.

Wahai para Usahawan,

Sayangilah dirimu, sayangilah kehidupanmu, sayangilah pekerjaanmu. Lihatlah sejarah Islam, demi Allah, Islam berkembang di seluruh pelusuk Asia ini dari tangan para saudagar. Mereka menggunakan segala kepandaian dan kekayaan mereka untuk menyebarkan agamanya. Mereka dihormati bukan kerana kekayaan tetapi kerana kemuliaan yang mereka perolehi atas usaha membawa manusia kepada Islam. Mereka memancarkan wajah kasih sayang. Manusia tertambat hati bila melihat mereka, kerana kerendahan dan kemesraan yang ditunjukkan tanpa sifat sombong dan angkuh. Mereka memiliki jiwa yang mencintai Tuhan dan menjadikan nafsu, hartanya di bawah kaki bukannya di hati.

Wahai para usahawan, wahai para Hartawan,

Allah memerintah kamu mengeluarkan zakat, hakikatnya bukan sahaja Allah menyuruh kamu mengeluarkan harta dari tanganmu tetapi juga mengeluarkan kekotoran dari hatimu iaitu mencintai harta dan sifat bakhil. Kerana ianya juga adalah najis pada pandangan Allah.

Bagaimana kamu mahu menyembah Tuhan jika pada pakaian atau tubuh badan kamu terkena najis? Begitu juga, bagaimana kamu mahu menyembah Tuhan jika dalam batinmu adanya najis sedangkan ia tempat pandangan Tuhan.

Sayangnya Tuhan pada hamba-Nya. Ia mewajibkan kamu membayar zakat, memperbanyakkan sedekah serta infaq supaya hatimu bersih dari kekotoran dunia. Dunia adalah bangkai dalam pandangan Nabi SAW. Sesiapa yang mencintainya bagaikan anjing yang mencintai bangkai.

Allah memuliakan kamu di akhirat sebagai usahawan yang bersyukur. Jagalah dirimu daripada kesombongan, ia pembunuh kasih sayang. Jika kamu gagal, pandanglah hikmahnya dan jangan berputus asa. Jika kamu jatuh, walau beratus atau beribu kali, hendaklah kamu bangun dan terus bangun. Anak-anak yang kecil tidak akan berjaya berjalan jika ia takut untuk jatuh. Allah akan bersama dengan orang yang sabar, orang bertawakal dan orang yang gigih berusaha.

Jika Tuhan memberi kamu kejayaan dan limpahan keuntungan, ingatlah bahawa kejayaan itu dari Allah SWT. Jangan jadi seperti Qarun yang mengatakan kekayaan itu dari kebijaksanaannya semata-mata, lalu Allah hancurkan ia bersama dengan hartanya. Bersyukurlah kamu dengan cara menyebarkan kekayaan kamu agar manusia memperolehi manfaat dari kekayaanmu. Sebarkan kasih sayang dengan melebarkan empayar perniagaanmu agar dapat memberikan manusia peluang pekerjaan. Mereka dapat memberi makan minum, pendidikan kepada anak-anaknya serta keluarganya melalui rezeki pekerjaan itu.

Sebarkan dan bantulah mereka, bukan sahaja di kalangan saudara se-Islammu tetapi sebarkan ia kepada semua agama dan bangsa di seluruh pelusuk dunia. Janganlah kamu berniaga atau berpersatuan dengan niat untuk menjatuhkan kaum atau bangsa tertentu, ia adalah assobiah. Jadilah usahawan yang niatnya untuk ibadah, jadikan ia sebagai ibadah dakwah sebagaimana saudagar Islam dahulu.

Kejayaan dan kekayaan kamu membawa manusia melihat keindahan dan kehebatan Islam. Hati mereka tersentuh dan tertarik dengan Islam. Mereka menghulurkan tangan kepadamu untuk menyerah diri kepada Islam. Mereka melihat keimanan, melihat kasih sayang, melihat kejujuran, melihat kamu tidak tamak mengaut keuntungan untuk dirimu semata-mata. Mereka melihat kamu mengamalkan konsep mencapai kejayaan bersama, tiada yang rugi dan hancur diatas kejayaanmu, tiada yang dikorbankan malah kejayaanmu menjadi obor kejayaan mereka.

Wahai para usahawan dan hartawan, jika kamu berjaya, pandanglah anak bangsamu, saudara se-Islammu dengan pandangan kasih sayang. Bantulah mereka dengan menghimpunkan anak-anak muda untuk diberikan kesedaran, semangat dan curahkan ilmumu kepada mereka. Bantulah mereka menjadi orang yang berjaya agar Islam dipenuhi muslim yang hebat dan berjaya.

Lahirkan seramai mungkin usahawan yang berjaya agar kekayaan dipegang oleh hamba yang soleh, yang memanfaatkan kekayaan itu untuk kebaikan. Bumi akan tersenyum indah, kekayaannya berada ditangan orang-orang yang soleh.

Janganlah kekayaan kamu hanya berlegar di kalangan kamu, janganlah kamu sombong di atas muka bumi ini. Allah membenci orang yang sombong. Banyakkan menangis di malam hari, hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, hadapkan dirimu dengan bayangan ketakutan Abdul Rahman bin Auf, Saidina Osman bin Affan, Saidina Abu Bakar radiaLlahu anhum. Mereka adalah hartawan yang menjadi kebanggaan Allah, para malaikat dan Nabi, kebanggaan langit dan bumi. Sejarah telah mengukir nama mereka sebagai usahawan dan hartawan yang berjaya menyebarkan keimanan dan kasih sayang.

Tuesday, January 4, 2011

PERBINCANGAN DALAM BINGKAI UKHUWAH

Kemestian berbeza pendapat tidaklah mencegah umat Islam untuk mengadakan perbincangan ilmiah dalam berbagai masalah yang mereka perdebatkan. Perkara ini justeru sangat positif kerana dapat mengurangkan sikap fanatik terhadap mazhab atau golongan tertentu.

Dengan kajian yang mendalam terhadap dalil dan analisa ketepatannya, kita mampu membuat perbandingan antara banyak pendapat dan sebagainya, maka setidak-tidaknya kita akan sampai kepada pendapat yang benar atau secara minimanya kepada pendapat yang paling kuat. Yang paling penting dalam perbincangan ini adalah :

1. Keikhlasan untuk mencari kebenaran.
2. Tidak ada kecenderungan atau kepentingan apapun selain dari di atas.
3. Mesti berdasarkan kaedah saling nasiat-menasihati dan musyawarah.
4. Tetap berada di bawah payung ukhuwah serta rasa saling mencintai.

Kalaupun berlaku perdebatan, ia bukanlah debat untuk memenangkan kepentingan peribadi atau golongan kerana perdebatan seperti itu boleh membutakan hati sehingga kita tidak dapat melihat kebenaran.  Perdebatan ini tidak akan membuahkan hasil apalagi menyelesaikan masalah, bahkan akan menjadi masalah itu sendiri dan merumitkan masalah yang telah ada.Ketika perbincangan ilmiah telah sampai kepada sebuah pendapat yang terang kebenarannya, maka semua umat mesti bersatu dalam perkara itu.

Ini adalah kerana Allah swt tidak sekadar melarang berpecah-belah, tetapi juga melarang untuk tetap berselisih pendapat sesudah datangnya keterangan dan perbahasan yang jelas atas pendapat yang benar. Allah swt berfirman :

"Dan janganlah kamu seperti orang yang berpecah-belah dan berselisih, padahal sudah datang kepada mereka keterangan yang nyata." (QS Ali Imran : 105)

Jadi, perbezaan pendapat sebenarnya hanya boleh dalam perkara-perkara ijtihadiyah yang memang belum ada dalil tegas yang menyelesaikan perbezaan yang ada dan kewajiban kaum muslimin ketika itu adalah tetap toleransi dan saling mencintai.  Namun jika dalil telah jelas dan tegas, maka dalam hal ini Allah melarang kita untuk berbeza kerana tidak ada ijtihad dalam perkara yang sudah jelas dan tegas dalilnya. Nubuwwah Rasulullah saw menjelaskan bahwa akan berlaku di tubuh umat ini banyak :

1. Kemaksiatan.
2. Kezaliman.
3. Penyimpangan.
4. Kesesatan.
5. Perpecahan.

Tapi, apakah kita mahu menjadi :

1. Orang yang bermaksiat?
2. Orang yang berbuat zalim?
3. Orang yang menyimpang?
4. Orang yang sesat?
5. Orang yang berpecah belah?

Mengapa kita tidak berusaha untuk :
1. Membersihkan hati kita.
2. Menjalankan ketaatan.
3. Melaksanakan perintah Allah dan RasulNya.
4. Berlaku lurus dan adil.
5. Berusaha menjalankan kewajiban mencintai kaum muslimin.
6. Menjadi orang yang tetap melakukan usaha menyatukan kaum muslimin.

Sungguh, hidup ini :
Terlalu mahal untuk dibayar dengan perpecahan dan perselisihan.
Terlalu sempit untuk dipenuhi oleh rasa saling benci.
Terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perdebatan yang tidak bermanfaat.

Alangkah indahnya jika hidup yang mahal ini kita tebus dengan persatuan yang berlandaskan :
1. Semangat ukhuwah yang tinggi.
2. Saling cinta-mencintai.
3. Manifestasi dengan amalan-amalan yang bermanfaat bagi masa depan dunia dan akhirat.

Ya Allah, satukanlah hati-hati kami di atas DeenMu yang lurus. Tautkanlah ia dengan semangat ukhuwah yang menyala. Janganlah engkau jadikan perbezaan di kalangan kami sebagai sebab kepada perselisihan dan perpecahan . Hindarkanlah hati kami dari perasaan kedengkian sesama saudara kami serta limpahkanlah perasaan saling cinta mencintai antara sesama kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen


WAS

DI MANAKAH KITA MESTI SEKATA DAN DI MANA BOLEH BERBEZA?


Memang benar bahwa perbezaan mesti ditangani dengan sikap toleransi yang tinggi tetapi perbezaan yang dibenarkan adalah perbezaan yang memang boleh ditoleransi. Untuk mengetahui samada sebuah perbezaan boleh ditoleransi atau tidak, perlu ada kejelasan terhadap kedudukan di mana letaknya umat Islam mesti bersatu dan di mana letaknya mereka boleh berbeza. Ada dua wilayah perbezaan yang boleh kita teliti :

PERTAMA : Berbeza pada wilayah yang prinsip atau pokok-pokok agama yang merupakan asas-asas dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` umat. Contohnya seperti : Masalah tauhid, Rukun iman, kewajiban melaksanakan rukun Islam yang lima, keyakinan tentang hari kebangkitan,  dan Hari Akhirat.

Dalam hal ini, tidak boleh ada perbezaan di dalam tubuh Umat Islam kerana perbezaan dalam perkara ini akan menimbulkan perbezaan prinsip dan keyakinan yang mengakibatkan keluarnya seseorang dari jalan Islam. Jika ada orang yang berkeyakinan bahwa rukun Islam yang lima tidak wajib dilaksanakan atau meyakini bahwa hari Akhirat itu tidak ada, keterangan-keterangan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadits tentang hari Akhirat, padang Mahsyar, syurga dan neraka, tidak lain hanyalah kiasan dan tidak dimaksudkan dengan makna hakiki dari lafaz itu, seperti yang diyakini oleh kumpulan-kumpulan sesat seperti Batiniyah, Babiyah dan Bahai’yah, maka keyakinan seperti itu telah jauh terkeluar dari Islam.

Demikian juga dengan orang yang berkeyakinan bahwa ada nabi setelah Nabi Muhammad saw, yang membawa kitab suci baru, seperti keyakinan pengikut Ahmadiyah, maka keyakinan seperti itu juga dapat menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam kerana keyakinan-keyakinan itu bukanlah perbezaan pada perkara furu`atau ranting bahkan ia jelas bertentangan secara langsung dengan asas-asas agama yang sifatnya ‘fundamental’ tersebut.

Bagi menangani perbezaan seperti di atas, setiap muslim mesti menampakkan identiti keyakinan dan keimanan mereka di mana mereka mesti tegas dengan mengatakan : “ Mazhab kami benar, tidak mengandungi kesalahan sama sekali dan mazhab yang lain salah dan tidak mengandungi kebenaran sama sekali."

KEDUA : Perbezaan dalam masalah furu`atau ranting di mana perbezaan dalam perkara ini adalah wajar dan masing-masing mengikut pendapat yang seharusnya saling bertoleransi.  Namun, perbezaan dalam wilayah yang kedua ini tidak boleh membawa umat kepada perpecahan kerana perbezaan yang timbul dalam hal ini boleh jadi sekadar perbezaan ‘variatif’ yang semuanya benar dan saling melengkapi. Bahkan dalam perbezaan kontradiktif sekalipun, selagi mana masih dalam wilayah furu' dan ijtihadiyah dan masing-masing memiliki perbahasan yang cukup kuat, maka para penganut mazhab mesti tetap saling menghormati dan mencintai.

Dalam hal ini mereka seharusnya berkata seperti perkataan Imam Asy-Syafi`ie : “Pendapatku benar tetapi boleh jadi mengandungi kesalahan dan pendapat selainku salah tetapi boleh jadi mengandungi kebenaran.”

Berbeza pendapat adalah perkara yang diperbolehkan, namun perpecahan kerananya tetap tidak diperbolehkan. Ini adalah kerana perpecahan jelas merupakan perkara yang dilarang oleh agama. Sebagai contoh, perbezaan-perbezaan manhaj atau metod dakwah yang digunakan oleh kelompok Islam masing-masing seringkali menjadi penyebab kepada perpecahan di antara mereka padahal mereka tidak berbeza pada asas-asas ‘fundamental’ dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` Umat.

Mereka seharusnya berusaha untuk saling mendekati kerana perbezaan mereka hanya sebatas perbezaan dalam metod berdakwah yang sifatnya ijtihadi.  Ada sebahagian kelompok umat :

1. Yang berdakwah dengan amar makruf nahi mungkar.
2. Yang berdakwah dengan memurnikan ajaran tauhid.
3. Yang berjihad secara langsung melawan musuh-musuh Islam.
4. Yang berjuang dengan mengajar dan memberi pencerahan kepada umat.
5. Yang berjihad dengan lisan dan tulisan.
6. Yang berjihad dengan menuntut ilmu.
7. Yang berjihad dengan hartanya.

Semuanya pada hakikatnya saling melengkapi kerana tidak mungkin satu kelompok dapat menjaga semua pos yang berusaha dijaga oleh kelompok lain. Ukhuwah terlalu besar untuk dirosak dan dimusnahkan oleh masalah khilafiah dan ijtihadiyah. Ukhuwah adalah perkara yang wajib dijaga sedangkan perpecahan terang-terang diharamkan oleh agama. Lantas apakah kita akan meninggalkan perkara yang wajib lalu mengerjakan yang diharamkan?

Setiap mujtahid mendapat pahala ijtihadnya kerana mereka berijtihad untuk menggali suatu hukum, tidak semata-mata untuk mengikuti hawa nafsu belaka tetapi hanya untuk mencari kebenaran. Kemudian, setiap orang yang mengikuti pendapat salah satu imam mazhab, semuanya bermaksud untuk mentaati Allah swt dan mengikuti Rasulullah saw. Mereka juga hanya diwajibkan untuk beramal dengan hasil yang dicapai oleh ijtihad mereka.

Contoh tauladan kita adalah generasi awal umat ini yang dibina secara langsung oleh Rasulullah saw. Sebahagian mereka ada yang berbeza pendapat dalam masalah-masalah fiqh, namun hati mereka tetap satu, tidak saling berpecah atau membenci.

Perbezaan Rahmat, Perpecahan Azab

 "Ikhtilaf" atau berbeza pendapat dalam berbagai masalah agama adalah sesuatu yang wajar bahkan dalam keadaan tertentu menjadi suatu kemestian. Ini adalah kerana manusia memang diciptakan berbeza-beza bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa beberapa "perbezaan" itu memang dimaksudkan atau diinginkan oleh Pembuat Syariat iaitu Allah swt.

Jika Allah swt berkehendak untuk menurunkan Al-Qur’an dengan hanya memiliki satu interpretasi sahaja, maka perkara itu tidak sukar bagiNya. Begitu juga dengan Sunnah Rasulullah saw. Bahkan telah masyhur di kalangan ulama’ bahwa perbezaan dalam umat ini adalah rahmat.  Seorang ulama’ pernah menulis sebuah kitab dengan judul "Kitabul Ikhtilaf" (kitab perbezaan pendapat). Ketika ia menunjukkan kitab itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, beliau berkata :

"Jangan namakan kitab perbezaan pendapat, tapi namakan ia kitab keluasan."

Adalah sesuatu yang mustahil untuk menyatukan seluruh manusia dalam satu pandangan atau pemikiran tertentu kerana masing-masing mereka dianugerahkan oleh Allah swt perbezaan dalam pandangan, ilmu,  tujuan, keperluan, situasi dan keadaan lingkungan yang sangat berpengaruh terhadap paradigma dan cara mereka berfikir. Ini memang suatu kenyataan apabila kita melihat keadaan umat Islam di berbagai negara yang memang berlatarbelakangkan suku, adat istiadat dan bahasa yang berbeza-beza, ditambah pula dengan wujudnya kelompok-kelompok Islam yang berbagai ragam.

Sayangnya, kelompok-kelompok Islam tersebut sangat sukar untuk bersatu dan sangat suka berpecah belah hanya kerana perbezaan dalam perkara-perkara yang bukan termasuk “Tsawabit” agama (ajaran yang mempunyai sifat atau unsur yang tetap dan tidak berubah). Padahal perbezaan-perbezaan tersebut bukanlah menjadi alasan untuk bersengketa atau berpecah-belah.

Allah swt tidak melarang berbeza pendapat sejak dari awal lagi tetapi melarang berpecah-belah gara-gara perbezaan pendapat tersebut. Ulama’-ulama’ terdahulu sejak zaman sahabat, mereka berbeza dalam beberapa masalah namun mereka tetap terikat oleh tali Ukhuwah Islamiyah. Perbezaan-perbezaan tersebut jika tidak ditangani dengan benar, kadang-kadang boleh menyebabkan muslim sesama sendiri :

Saling mencela.
Saling menyesatkan.
Mungkin saling mengkafirkan.

Kita sering lupa bahwa kehormatan kaum muslimin adalah perkara yang amat dimuliakan di dalam Islam bahkan ia merupakan salah satu ‘maqashid’ (tujuan) agama ini iaitu memelihara kehormatan. Ketika haji Wada`, Rasulullah saw bersabda : "Sesunguhnya jiwa kamu, harta kamu dan kehormatan kamu haram (dinodai dan diganggu) seperti haramnya kehormatan hari ini, bulan ini dan tempat ini."  Namun gara-gara perbezaan yang sifatnya ‘ijtihadiyah’, kaum muslimin saling mencela dan menodai kehormatan sesama mereka.  Kita lupa pesanan Allah swt yang memerintahkan untuk berpegang teguh pada tali Allah dan melarang kita berpecah belah.  Allah swt berfirman :

"Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah...." (QS Ali Imran : 103)