Friday, September 16, 2011

Syed Ibrahim GMI: ISA AKAN DIMANSUHKAN TERUS!!

Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Presiden GMI dalam kenyataan akhbarnya pada Jumaat, 16 September 2011  
PM: ISA AKAN DIMANSUHKAN TERUS!!

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, ISA akan dimansuhkan terus, begitulah petikan daripada Perutusan Khas Hari Malaysia oleh Perdana Menteri Malaysia semalam 15 September 2011.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dianggotai lebih daripada 80 buah organisasi terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Parti-parti Poliltik, Badan Hak Asasi Manusia, Wanita, Mahasiswa, Majlis Peguam dan Pertubuhan Pekerja, menyambut baik perkembangan ini dan berpendapat ini sebagai kejayaan di atas kesedaran dan desakan rakyat, usaha mangsa dan keluarga tahanan ISA yang berterusan membela diri mereka, sokongan pelbagai badan bukan kerajaan dalam dan luar negara tidak kira bangsa dan agama, badan peguam, parti politik khususnya Pakatan Rakyat (PR) dengan komitmen buku jingga mereka dan beberapa Usul Mansuh ISA yang telah diluluskan di peringkat Negeri PR; dan pendirian konsisten SUHAKAM untuk ISA dimansuhkan.

Setelah 10 tahun GMI diwujudkan dan berkempen, setelah berpuluh ribu orang menjadi mangsa sejak 1960, setelah begitu ramai keluarga menjadi mangsa, setelah berbagai kempen dilaksanakan dengan pelbagai tema, antaranya ialah ”Bebaskan Tahanan Politik Reformasi”, ”ISA Mala Fide”, ”Malaysia Bebas Dari ISA”, ”Selamatkan Malaysia, Mansuh ISA!” dan ”Bukan Pinda Tapi Mansuh ISA!” maka buat pertama kali rakyat Malaysia mendengar sendiri daripada Perdana Menteri bahawa ISA akan dimansuhkan, sekaligus menandakan kejayaan kempen GMI!

GMI juga melihat perkembangan ini sebagai langkah paling berani Dato’ Sri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri yang tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana Perdana Menteri terdahulu. Namun ini juga sebagai pembuktian dan pengesahan berlakunya kongkongan dan cengkaman ISA ke atas rakyat selama ini. Perdana Menteri menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, dan rakyat mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, Ini tidak boleh berlaku dengan kewujudan dan wewenangan kuasa di bawah ISA. Inilah mesej yang telah dibawa GMI dan badan lain di bawah gabungannya sejak bertahun-tahun lamanya.

Di samping itu, Perdana Menteri juga mengisyaratkan bahawa memang benar ISA telah selama ini digunakan ke atas mereka yang berbeza ideologi politik. Beliau memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Ini jelas mengisyaratkan penahanan aktivis 10 reformasi atas dakwaan ingin menggulingkan kerajaan dengan bahan-bahan letupan merupakan satu kesilapan dan penyalahgunaan kuasa ISA. Begitu juga dengan penahanan ke atas YB Teresa Kok mahupun Raja Petra dan seorang wartawan beberapa tahun lepas.

Cuma perlu diingat, individu juga tidak boleh ditahan di atas “motif politik” sebagaimana yang berlaku ke atas tahanan atas dakwaan Jemaah Islamiah yang menjadi kambing hitam politik antarabangsa Malaysia dan Amerika. Tidak pernah terbukti mereka yang didakwa terlibat dengan keganasan.

Perdana Menteri dan Kerajaan juga secara tersirat akhirnya mengakui pencabulan hak dan kebebasan asasi yang berlaku di samping kuasa melampau polis dan Menteri di bawah ISA. Beliau memberi komitmen untuk mengambil kira hak dan kebebasan hak asasi dalam apa-apa undang-undang manakala apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah (kecuali undang-undang berkaitan keganasan).

Walaupun begitu, GMI ingin menegaskan kembali prinsip utama penentangannya terhadap ISA ialah kerana peruntukan penahanan tanpa bicara dan kuasa wewenangan Polis serta Menteri Dalam Negeri. GMI juga ingin menegaskan tiga objektif utamanya iaitu mansuhkan ISA, bebaskan tahanan dan tutup Kem Kamunting.

Justeru GMI ingin menzahirkan beberapa persoalan dan kekhuatiran:

Adakah pemansuhan ISA ini menghapuskan segala peruntukan di dalamnya khususnya berhubung dengan tahan tanpa bicara dan kuasa wewenangan Polis dan Menteri Dalam Negeri? Atau adakah peruntukan tersebut dipindahkan kepada dua undang-undang baru yang bakal digubal? Kelihatannya perintah mahkamah dikecualikan untuk undang-undang berkenaan. Peruntukan tahan tanpa bicara inilah yang menjadi duri dalam daging dan penyakit. Tanpa semakan mahkamah, ruang salahguna tetap terbuka luas. Jika dipindahkan dari ISA kepada undang-undang baru tersebut maka perubahan dasar tidak berlaku walaupun ISA dimansuhkan. ISA selama ini merupakan tongkat kuasa buat pemerintah. Tidak mudah untuk tongkat ini diangkat begitu sahaja.

Mengapakah dua undang-undang baru tersebut digubal dengan peruntukan tahan tanpa bicara sedangkan sudah wujud undang-undang untuk kesalahan keganasan, umpamanya di bawah Bab VIA Penal Code?

Bilakah tempoh ISA akan dimansuhkan? Jika memakan masa sehingga dua tahun sebagaimana tempoh pertama kali PM sebutkan tentang kajisemula ISA sehingga sekarang, maka jangan salahkan rakyat jika menganggap pengumuman ini sebagai umpan dan sandiwara Pilihan Raya ke-13 serta survival politik BN. Pembentangan Usul pemansuhan ISA sewajarnya dilakukan dalam sesi Parlimen yang akan datang.

Adakah pemansuhan ISA membawa kepada kebebasan semua tahanan ISA? Seharusnya dengan mansuhnya ISA maka semua tahanan harus dibebaskan tanpa bersyarat dan tanpa lengah.

Apakah status kedudukan bekas tahanan ISA yang telah diusir (deported) sedangkan mereka penduduk tetap? Bolehkah mereka dibenarkan kembali?

Apa akan jadi dengan Kem Kamunting? Kem ini mesti ditutup dan dijadikan Warisan Dunia sebagaimana Robben Island di Afrika Selatan sebagai pengajaran kepada kezaliman dan kekejaman yang berlaku di bawah ISA.

GMI berpendapat perkembangan terbaru ini membawa beberapa implikasi dan gesaan:

Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga;

Semua pemuka yang terlibat dalam menyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan;

Kerajaan, Menteri berkenaan dan polis mestilah amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir. Beliau menyarankan untuk kerajaan meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri;

Kerajaan mestilah memansuh lain-lain undang-undang tanpa bicara seperti Akta Dadah Merbahaya (DDA);

Kerajaan untuk melaksanakan kajian semula dengan segera dalam tempoh yang spesifik terhadap undang-undang yang menghadkan kebebasan rakyat dan media seperti Akta Polis dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan;

Kerajaan untuk patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-pengganas dan melakar pelan jangkamasa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan; dan

Kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)

Akhir sekali, ternyata betapa pentingnya wujud suara/gabungan/gerakan berprinsip yang kuat dan berintegriti dalam sistem demokrasi untuk menjamin kesejahteraan rakyat. GMI mengucapkan terima kasih, tahniah dan syabas kepada suara rakyat. Kedudukan GMI akan dibincangkan antara anggota gabungannya dalam masa yang bersesuaian.

Mansuhkan ISA!!
Bebaskan Tahanan !!
Tutup Kemta!!

AQSA SYARIF KUALA SELANGOR - PROGRAM PALESTIN DI MASJID AL-HIDAYAH, KG. SG. TERAP, TANJONG KARANG

Alhamdulillah, semasa pagi/petang Jumaat tadi telah diadakan Program Palestin anjuran bersama Masjid Al Hidayah, Kg. Sg. Terap, Tg Karang dan Aqsa Syarif Kuala Selangor. Tazkirah Jumaat - Tazkirah Palestin telah disampaikan oleh Pengerusi Sekretariat Aqsa Syarif Kuala Selangor Akhi Mazlan Mohdi. Kalau tak silap perkiraan masjid ini merupakan masjid yang ke 20 di lawati oleh AS Kuala Selangor bagi daerah Kuala Selangor. Another 30 or more masjid to go. Still long way to go.

Alhamdulillah program berjalan dengan lancar walaupun Nazir masjid di beri short notice. Alhamdulillah sumbangan sejumlah RM737.70 telah di perolehi.

Sedikit gambar disertakan.

Bagi pihak AS Kuala Selangor, ana ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Nazir Masjid, Tuan Hj. Tohiron bin Dimyati serta AJK Masjid kerana telah memberi lanluan kepada AS Kuala Selangor untuk program ini.

Semoga Allah memberkati dan merahmati sedikit usaha jihad kita ini Insha Allah.

Abu Aiman
Pengerusi Sekretariat Aqsa Syarif Kuala Selangor
Senior Fellow, PACE Klang

Presiden IKRAM: Pemansuhan ISA Langkah awal menuju negara adil, sejahtera dan berlandaskan Islam?


Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
16 September 2011 dalam kenyataan medianya telah berkata.

1. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menerima baik pengumuman YAB Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 serta menamatkan penguatkuasaan tiga proklamasi darurat; juga hasrat untuk mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta seksyen 27 Akta Polis 1967.

2. IKRAM yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya menentang akta-akta yang bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan Islam.

3. IKRAM mengambil maklum tentang pengiktirafan Kerajaan bahawa akta-akta yang mengongkong ini akan menjejaskan pertumbuhan sebuah negara yang maju dan bertamadun.

4. IKRAM juga mengambil maklum akan rujukan Perdana Menteri kepada Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama: agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah serta harta benda serta prinsip Usul Fiqh berkaitan menyekat lebih awal sesuatu kemungkaran,ketika menjustifikasikan tahanan pencegahan yang dicadangkan. IKRAM ingin menegaskan bahawa penggunaan prinsip-prinsip ini hendaklah bertepatan dengan tuntutan syariat.

5. Pada masa yang sama IKRAM amat gusar terhadap cadangan mewujudkan dua akta baru bagi menangani keganasan dengan cadangan untuk terus mengekalkan kuasa menteri dan mengenepikan badan kehakiman dalam menentukan pelanjutan penahanan kerana ia seolah-olah masih mengekalkan semangat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tahan tanpa bicara dan masih membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh pihak eksekutif.

6. Dengan ini IKRAM menggesa agar

a) Semua yang diumumkan oleh Perdana Menteri dilaksanakan segera dan diselesaikan sebelum pembubaran Parlimen,

b) Kerajaan hendaklah merujuk kepada Maqasid Syariah dan Usul Fiqh berdasarkan prinsip dan kefahaman yang betul seperti yang dituntut oleh Islam dalam segala langkah yang akan dilakukan kerana ia pasti akan membawa keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara,

c) Undang-undang anti keganasan yang ingin digubal hendaklah merujuk kepada pandangan para ulama Islam yang muktabar serta pengamal undang-undang yang berwibawa agar ia memenuhi tuntutan keadilan Islam dan sejagat. Rujukan dan perundingan dengan NGO, badan peguam dan pihak-pihak yang berkepentingan hendaklah dilakukan.

d) Ruang dakwah dan usaha amar makruf nahi mungkar harus dibuka seluas-luasnya termasuk media massa agar usaha membangunkan rakyat yang berilmu dan berakhlak mulia dapat berkembang dengan baik. Sehubungan dengan itu semua undang-undang yang menyekat hak dan kebebasan rakyat seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) hendaklah juga dikaji semula secara komprehensif.

e) Jemaah Menteri, pihak polis dan agensi-agensi penguatkuasaan serta seluruh agensi kerajaan bersikap konsisten dengan usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang adil dan bertamadun.

7. Semoga usaha kita untuk mewujudkan negara yang adil dan sejahtera dan diredhai Allah swt akan menjadi kenyataan.

Kerana dicabar, gadis 15 tahun berzina. Sharing oleh pelatih RS dalam MHI TV3


Thumbnail
Gadis 15 tahun, mengadakan hubungan seks(zina) dengan teman lelaki kerana dicabar oleh rakan-rakan. Pada masa kini, zina sudah biasa & menjadi budaya di kalangan remaja. Sungguh menakutkan.  Berikut adalah perkongsian daripada seorang pelatih  Raudhatus Sakinah dalam MHI di TV3. Jom hayati, apa masalah mereka sebenarnya. 
http://www.youtube.com/watch?v=HQvQo9ZsgDE&feature=player_embedded

Remaja  perlu dibimbing tentang kesan buruk akibat zina daripada orang dewasa dengan fakta yang betul & tepat. Jika tidak, pasti mereka mendapat maklumat dan nasihat yang salah daripada rakan-rakan mereka.
http://www.youtube.com/watch?v=I3Luyo3uZMg

Atas kesedaran ini, RS tampil dalam masyarakat menawarkan program pencegahan melalui kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ). Sasaran utama adalah  remaja sekolah & belia IPT.

Hari ini, kempen ABJZ tampil dalam bentuk modul yang sentiasa dikemaskini  pengisian & kaedah penyampaian sesuai denganperubahan & cabaran serta permasalahan  sosial semasa. Para trainers yang menyampaikan modul ABJZ, diberikan latihan secara tersusun & berkala di bawah bimbingan khas Master Trainer ABJZ.

Dengan izin Allah & berkat usaha gigih semua ahli team RSMTC serta doa & sokongan semua pihak, alhamdulillah modul ABJZ telah dipresent kepada pihak kerajaan & swasta supaya dapat diaplikasi dengan lebih meluas. Mohon doa& sokongan berterusan daripada semua.

 Siti Aini Jamil
Setiausaha 
Lembaga Pengarah Induk Raudhatus Sakinah.

Wednesday, September 14, 2011

Talk: Menyingkap Sejarah Kemerdekaan Malaysia

 

Salam. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan
menganjurkan Talk: Menyingkap Sejarah Kemerdekaan
Malaysia yang diadakan seperti berikut:

Tarikh: 16 Sep 2011 (Jumaat)

Tempat: Dataran Sastera UM

Masa: 8.00 pagi - 12.00 tengahari

Panel:
Prof Emeritus Khoo Kay Kim
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Jom datang beramai-ramai!

Gamis, PUM lancar Kempen Kami Tak Nak Maksiat


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
(Gamis)sebagai peneraju gerakan mahasiswa Islam di Malaysia berasa terpanggil
untuk turun meraikan sambutan meriah Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia,
khususnya menjelang detik keramat, pukul 12 tengah malam 16 september ini.
“Insya Allah Gamis akan memimpin para belia juga mahasiswa untuk turun
membawa gerakan dakwah bagi membasmi masalah sosial yang diwariskan setelah
detik 12 malam berlalu,” kata Ketua Penerangan Gamis, Mohd Yusof Hadhari dalam
satu kenyataan.
Menurutnya, atas dasar itulah Gamis dengan kerjasama Persatuan Ulama Malaysia
(PUM) akan melancarkan gerakan khas yang bertemakan ‘Kempen Kami Tak Nak
Maksiat’ bagi membuat pemerhatian, pemantauan dan juga pencegahan awal agar
virus kemaksiatan dapat disekat dan dihapuskan.
Oleh itu, ujarnya  Gamis menjemput seluruh mahasiswa Islam dan belia untuk hadir
ke XPDC Dakwah Malam Merdeka 2011.
“Bagi yang berkelapangan untuk hadir, pihak kami menjemput anda untuk bersama
kami berhimpun di Masjid KLCC pada pukul 9 malam yang dimulakan dengan bacaan
yassin dan satu taklimat khas akan diadakan sebelum para petugas XPDC diagihkan
mengikut kawasan sasaran,” ujarnya.
Katanya, para petugas juga digalakkan memakai pakaian kemas bagi menunjukkan
imej contoh para belia lainnya.
Sehubungan dengan itu, katanya Gamis juga menjemput para wartawan untuk hadir
bagi membuat Liputan.
“Dijangkakan XPDC ini akan tamat selewat-lewatnya pukul 2 pagi. Pastikan anda tidak
ketinggalan untuk bersama menerokai pengalaman berdakwah bersama pasukan kami.
“Bersamalah kita berkongsi nikmat kemerdekaan ini dengan mencari redha Illahi
disamping membantu menyelamatkan anak bangsa yang masih kehilangan arah tuju
kehidupan,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada Ridhuan (013-2229803) atau
Syahirah (013-3932657).