Tuesday, October 18, 2011

Amal Pembimbing Masyarakat

Islam turun ke muka bumi ini untuk menetapkan prinsip-prinsip kehidupan yang mulia dan syariat yang lurus serta kewajiban berdakwah setiap muslim untuk menegakkan syariatnya dan menjadikan Islam sebagai guru bagi semesta alam. Namun kenyataannya agak berbeza sekarang ini di mana Islam tidak sepertimana yang diharapkan berbanding kejayaan di zaman lampau bahkan permasalahan menjadi sangat kompleks dan rumit apabila perdebatan agama (furu’iyyah) berlaku di mana-mana.

Perubahan yang sistemik itu menjadikan hukum dan kekuasaan ‘kuffar’ mengganas di muka bumi ini sehingga merosakkan tanaman Islam yang telah dibangunkan oleh para pendahulu. Namun, kini masih ada segolongan para reformis sejati yang membawa bendera Islam dengan memperjuangkan perbaikan jiwa dan juga memberikan pelayanan kepada masyarakat.

Sungguh indah firman Allah swt :

“Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Ali Imran : 148)

Pahala dunia mungkin berupa kemenangan-kemenangan, memperolehi harta rampasan, pujian-pujian dan lain-lain. Para reformis tersebut menjadi pelaku utama dan :

Menjadikan Kalimah ‘At-Taqwa’ sebagai pelopor dalam bergerak.

Mengambil Tarbiyah Ruhiyah sebagai landasan untuk memberikan pelayanan kepada umat.

Memperhatikan prinsip bahwa perubahan dalam masyarakat dengan memperbaiki hukum yang ada menuju sebuah perubahan yang lebih baik dan menyeluruh di segenap sisi kehidupan.
Adapun syarat yang mesti dipenuhi oleh para pelopor kebaikan ini adalah perlu berdiri tegak di atas asas :
‘Amal Jama’ie’.

Keikhlasan.

Sungguh indah apa yang ditulis oleh Imam Hasan Al-Banna di dalam risalahnya dengan meletakkan rukun amal setelah rukun faham dan ikhlas. Tidak boleh dikatakan seseorang itu beramal jika tidak dibekalkan dengan kefahaman dan tidak akan diterima sebuah amal jika tidak diasaskan dengan rasa ikhlas.
Sudah terbukti sepanjang sejarah Islam, kejayaan para aktivis dakwah yang memahami al-Islam yang bersandarkan kepada keimanan dan amal. Imam Hasan Al Banna menjadikan rukun amal itu berfasa-fasa dan masing-masing fasa mempunyai peranannya masing-masing dan juga saling mempengaruhi antara satu dengan yang lainnya.

Dimulai dengan manhaj amal peribadi kemudian keluarga, masyarakat hingga kepada kekhalifahan Islam dan ini sesuai dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika menyeru kepada kaumnya. Kemudian berpindah kepada fasa memberikan petunjuk dan jalan yang benar dengan membentuk peribadi muslim, rumah tangga Islam dan suasana masyarakat yang Islamik sehingga beliau fokus kepada fasa ini dan sangat berhati-hati dan teliti dalam memilih manhaj yang benar dan lurus untuk merubah suasana masyarakat kepada yang lebih Islamik dan ideal yang diinginkan oleh Islam itu sendiri.

Kita sebagai seorang muslim mengimani manhaj ini dan sentiasa berusaha untuk dapat memberikan bimbingan kepada umat yang dengan manhaj ini akan terbentuk aturan masyarakat di seluruh alam di mana aturan itu adalah bernama : ‘Al-Islam’.

PENGERTIAN AMAL PEMBIMBING MASYARAKAT

Secara bahasanya :

‘Amal’ didefinasikan sebagai mengerjakan sesuatu dan mempunyai tujuan. Manakala ‘Mujtama’ pula adalah kumpulan manusia dalam sebuah komuniti tertentu dan ‘Irsyad’ adalah ‘Petunjuk atau Pembimbing’.

Secara istilahnya, Amal Pembimbing Masyarakat adalah :

“Segala daya dan usaha serta kesungguhan yang dilakukan untuk menerapkan tujuan syariah di atas muka bumi ini.”

‘Al-Amal’ di sini yang dimaksudkan adalah amal kebaikan sebagaimana dalam Al-Qur’an yang termaktub di dalamnya ibadah, muamalah atau amal lainnya.

Allah swt tidak menginginkan sesuatu amal itu hanya sebatas amal kebaikan, namun yang perlu dipersembahkan adalah amal yang terbaik.

Firman Allah swt :
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS Al-Mulk : 2)

Imam Hasan Al Banna menulis dalam majalah Al-Ikhwan Al Muslimun pada tahun 1352 H :

“Wahai para aktivis! Sesungguhnya saat ini umat sedang menunggu kamu, hiasilah dirimu dengan kebaikan, umat memerlukan ajaran Islam dari rijal dakwah seperti kamu……”.
Islam tidak hanya dimanifestasikan dalam keperibadian seorang muslim semata-mata tetapi nilai-nilai Islam juga dilihat dari keadaan sosial masyarakatnya. Jika keadaan masyarakatnya baik, maka secara automatiknya baik pulalah masyarakat yang ada di dalamnya.

Oleh kerana itu Al-Quran sentiasa memakai kalimah jama’ (yâ ayyuhal ladzina âmanu) dan bukan memakai kalimat (yâ ayyuhal mu’min) sehingga bebanan dakwah yang kita pikul memerlukan :
Amal jama’ie.
Kesabaran.
Ketenangan.
Kekuatan.
untuk dapat membawa risalah yang mulia ini.

Begitu juga dalam ibadah dan muamalah di mana semuanya tercermin di dalam suasana kemasyarakatannya.

Setiap pendakwah pasti akan di uji dalam kesehariannya, semakin dia laju dalam melakukan perubahan di dalam masyarakat, maka tentangan itu akan semakin nyata dan terlihat. Ujian dan tentangan itu boleh datang dalam bermacam-macam cara dimulai dari :

Diasingkan.
Diusir dari negaranya.
Dicampakkan ke dalam penjara sehingga sampai kepada ancaman hukuman mati.

Oleh kerana itu Al-Islam telah memberikan petunjuk-petunjuk yang jelas tentang hubungan antara peribadi seorang pendakwah dengan masyarakat dan keduanya saling mempengaruhi. Jika peribadi seorang muslim itu baik, maka keadaan masyarakatnya akan baik pula dan apabila keadaaan masyarakatnya sudah baik, maka keadaan itulah yang juga akan membantu dirinya untuk sentiasa iltizam memegang ajaran Islam.
Ini seperti yang berlaku di zaman Rasulullah saw ketika berhijrah ke Madinah, maka perancangan besar

Rasulullah saw pada waktu itu adalah ingin :

Mewujudkan masyarakat yang memegang prinsip-prinsip Aqidah Islamiyah.
Menegakkan ajarannya.
Sentiasa mensyi’arkan syariat Allah swt.

Ini seperti yang dinukilkan oleh Allah swt di dalam Al Quran :

“Wahai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS Al Hujuraat : 13)

Melakukan aktiviti dan beramal untuk memberikan bimbingan kepada masyarakat adalah hukumnya wajib syar’ie kerana sebab-sebab berikut :

PERTAMA : MENUNAIKAN KEWAJIBAN KITA SEBAGAI SEORANG MUKMIN KEPADA ALLAH SWT UNTUK MENJADIKAN KHALIFAH DI DUNIA DAN MELAKUKAN KEBAIKAN.

Firman Allah swt :

“(Iaitu) mereka yang beriman(1) kepada yang ghaib(2), yang mendirikan solat(3), dan menafkahkan sebahagian rezeki(4) yang kami anugerahkan kepada mereka.” (QS Al Baqarah : 3)

(1) - Iman ialah kepercayaan yang teguh yang disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa. tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu.

(2) - Yang ghaib ialah yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera. Percaya kepada yang ghaib iaitu beri’tiqad adanya sesuatu yang ‘maujud’ yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera, kerana ada dalil yang menunjukkan kepada adanya, seperti: adanya Allah, malaikat-malaikat, hari akhirat dan sebagainya.

(3) - Solat menurut bahasa Arab : doa manakala menurut istilah syara’ ialah ibadah yang sudah dikenali, yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam, yang dikerjakan untuk membuktikan pengabdian dan kerendahan diri kepada Allah. Mendirikan solat ialah menunaikannya dengan teratur dengan melengkapi syarat-syarat, rukun-rukun dan adab-adabnya, samada yang lahir ataupun yang batin seperti khusu’, memperhatikan apa yang dibaca dan sebagainya.

(4) Rezeki: segala yang dapat diambil manfaatnya. Menafkahkan sebahagian rezeki ialah memberikan sebahagian dari harta yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada orang-orang yang disyariatkan oleh agama memberinya seperti orang-orang fakir, orang-orang miskin, kaum kerabat, anak-anak yatim dan lain-lain.

Sesungguhnya kaum muslimin dianjurkan oleh Allah swt untuk melakukan kebaikan di muka bumi ini walauapapun keadaan yang menimpa kita ketika ini seperti firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (QS Al Hajj : 77)

Sesungguhnya manusia mempunyai keperluan yang asasi sehingga kita sebagai pendakwah mempunyai kewajiban yang tidak boleh kita tinggalkan, iaitu menegakkan Daulah Islamiyah dan melakukan perbaikan di dalam lingkungan kita.

Di antara kewajiban itu adalah memberi makan para fakir miskin, merawat orang-orang yang sakit, mengajar manusia dan membenteras kebodohan, memberikan petunjuk dan menyebarkan kebaikan dengan rasa cinta dan kasih sayang.

Oleh kerana itu kita sebagai pendakwah mempunyai kewajiban untuk sentiasa memberikan pelayanan kepada masyarakat dan hal ini menjadi asas untuk kejayaan dakwah.

Firman Allah swt :

“..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksaNya.” (QS Al Maaidah : 2)

KEDUA : MENUNAIKAN KEWAJIBAN KITA SEBAGAI SEORANG PENDAKWAH UNTUK MELAKUKAN AMAR MA’RUF DAN NAHI MUNGKAR

Islam tidaklah cukup untuk melakukan perbaikan kepada manusia untuk dirinya sahaja, namun juga untuk orang lain bahkan kepada setiap muslim, samada laki-laki atau perempuan.

Firman Allah swt :

”Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS At Taubah : 71)

Syiar amar ma’ruf dan nahi mungkar lebih diutamakan daripada solat dan zakat dan juga dalam masalah keimanan, Al-Quran mendahulukan amar ma’ruf dan nahi mungkar seperti firman Allah swt berikut :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS Ali Imran : 110)

Amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan sifatnya lebih khusus serta mempunyai makna yang lebih besar dari memberikan nasihat dan tazkirah di mana setiap muslim diberikan kemampuan untuk menasihati dan memberi peringatan dan untuk mencegah kemungkaran.

KETIGA : DAKWAH KEPADA ALLAH SWT

Sesungguhnya risalah dakwah untuk menyeru kepada agama Islam adalah beban yang dipikul oleh kita secara langsung dari Allah swt :

Firman Allah swt :
“Katakanlah: “Inilah jalan (agama) ku, Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan Aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”. (QS Yusuf : 108)

Ayat di atas adalah merupakan kewajiban kita untuk menyampaikan Islam kepada individu ataupun masyarakat.

Kewajiban ini terkandung dalam empat perkara seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat berikut :
“Sebagaimana (Kami Telah menyempurnakan nikmat kami kepadamu) kami Telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.” (QS Al Baqarah : 151)

KEEMPAT : KEWAJIBAN MASYARAKAT UNTUK MENEGAKKAN SYARIAH ISLAMIYAH

Seperti yang kita ketahui bersama bahwa perkara-perkara yang berkaitan dengan halal-haram, hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan antara peribadi dan masyarakat tentang syariat Islam ketika ini sedang mengalami kemunduran dan tidak akan pernah berlaku perubahan di dalam masyarakat kecuali para pemegang amanah dakwah (para murabbi, qiyadah, pendakwah dan pemikir Islam) sentiasa ‘muraqabatullah’ dan mempunyai semangat untuk menegakkan syariat Allah.

KELIMA : ORANG-ORANG MUKMIN YANG SENTIASA MENEPATI JANJI KETIKA BERBAIAH KEPADA ALLAH

Menunaikan baiah untuk menegakkan syariat Allah adalah kewajiban bagi setiap mukmin.
Imam Hasan Al-Banna menempatkan rukun amal ke dalam salah satu rukun dalam rukun sepuluh.
Oleh yang demikian, sesungguhnya melakukan aktiviti dan amal dalam masyarakat adalah sebuah bentuk aktiviti tarbawi dan hal ini adalah salah satu bentuk strategi dalam tahap untuk menegakkan ‘Khilafah Islamiyah’ di atas manhaj nabawi dan ‘Ustaziyatul Alam’.

”Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. dia (Allah) Telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, Maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, Maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik- baik penolong.” (QS Al Hajj : 78)

Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang beramal memberi pencerahan kepada umat di samping membimbing mereka ke jalanMu yang lurus. Kekalkan kami di atas semangat amal jamai’e yang disulami keikhlasan kepadaMu. Kurniakanlah kepada kami kekuatan, ketenangan dan kesabaran sehingga kami mampu menarik kembali masyarakat untuk menyahut seruanMu serta berjihad di jalanMu hingga akhir hayat kami.

Merasa diawasi Allah

Merasa diawasi Allah akan menjauhkan kita dari kesepian. Sebaliknya, kita akan sentiasa : Bahagia, dimudahkan dan dilapangkan.
bila sentiasa bersama Allah swt.

‘Ar-Raqiib’ adalah nama Allah yang terdapat dalam Asma'ul Husna.
Perkataan ‘Ar-Raqiib’ yang akar katanya terdiri dari tiga huruf iaitu ra', qaf dan ba' memiliki makna asas iaitu ‘tampil tegak lurus untuk memelihara sesuatu’.
Seorang pengawas dinamakan Raqiib kerana ia tampil memerhatikan dan mengawasi untuk memelihara orang-orang yang diawasinya.

Merujuk kepada kata akar ‘Ar-Raqiib’, maka kepengawasan Allah tidak bertujuan untuk mencari-cari kesalahan makhlukNya seperti yang dilakukan oleh para agen perisik misalnya. Bahkan, kepengawasanNya dimaksudkan untuk :
  1. Mengarahkan.
  2. Membimbing.
  3. Memelihara.
agar hambaNya tidak terjerumus ke arah kesesatan.

Apakah  bukti kenyataan di atas? Ketika terdetik niat buruk dalam hati kita, maka niat tersebut tidak langsung dicatat oleh malaikat sebelum dilaksanakan dalam bentuk tindakan.  Sebaliknya, sebuah niat yang baik, walaupun belum dilaksanakan, sudah mendapat satu pahala.  Ketika dilaksanakan, maka pahalanya sepuluh kali ganda atau lebih.  Boleh jadi kita ingin berbuat maksiat. Namun kerana kasih sayangNya, Allah swt menggagalkannya. Banyak jalan dan cara bagi Allah untuk menggagalkan niat buruk kita.
Senario 1 :
Ada sesetengah manusia yang mahu keluar bersama teman wanitanya tapi tiba-tiba kenderaannya rosak.
Senario 2 :
Ada sesetengah pula yang ingin berjudi, tiba-tiba wang dalam dompetnya hilang dicuri orang. Semua contoh-contoh di atas bukanlah kerana kebetulan bahkan ianya berlaku kerana Allah berkehendak melindungi kita dari maksiat.  Allah Maha Tahu isi hati dan fikiran manusia. Allah Maha Tahu segala risiko dari apa yang kita cita-citakan.  Mungkin ia baik menurut pandangan kita tapi belum tentu baik di sisi Allah.  Bagaimanakah kita perlu bersikap dengan sifat ‘Ar Raqiib’ ini?

PERTAMA : BERZIKIRLAH KEPADA ALLAH.
Perbanyakkanlah zikrullah di samping ucapan dalam hati kita ;
  1. Allah menatapku.
  2. Allah melihatku.
  3. Allah mengawasi.
  4. Allah mendengarkanku.
Semakin kita merasa diawasi, semakin diri kita terpelihara. Merasa diawasiNya mestilah lengkap meliputi hati dan pancaindera. Boleh juga kita amalkan wirid Ar-Raqiib, Ar-Raqiib misalnya.

KEDUA : MULAI AWASI DIRI KITA.
Apa yang mesti kita awasi? 

1. Suasana hati.

Setiap amal bergantung pada niat. Sehebat apa pun amal, kalau niatnya tidak lurus tidak akan bererti.
  1. Betulkan niat kita bekerja untuk mencari ridha Allah kerana menurut Saiyidina Ali ra, orang yang bekerja hanya untuk perut, maka darjatnya tidak jauh berbeza dengan yang keluar dari perut tersebut.
  2. Betulkan niat melayani suami atau isteri untuk ibadah, jangan sekadar ingin menyenangkan hati pasangan semata-mata.
Segala-galanya mesti ikhlas kerana Allah.
Jaga dan awasi niat kita samada :
  1. Di awal.
  2. Di tengah.
  3. Di akhir.
Belajarlah berhenti sejenak untuk berfikir sebelum bertindak.

2. Pancaindera.

a. Awasi lisan kita. Sesiapa pun yang pandai menjaga lisannya pasti akan selamat dunia dan akhirat.
Ucapan kita mesti ada ciri-ciri Benar, Manfaat, Tidak Menyakiti, Tenang, Sopan, Fasih, Akur, Lembut dan Secukupnya.
  1. Jangan melakukan tindakan yang boleh merosakkan suasana sekeliling.
  2. Jangan berbual-bual yang boleh membuatkan suasana tidak enak.
b. Awasi pula setiap jelingan mata kerana mata akan mempengaruhi suasana hati. Jika mata tidak terkendali, hati juga akan turut merasai kesannya.

c. Awasi pendengaran kita. Berjuanglah agar telinga tidak dimasuki kata- kata yang kotor, mengumpat, musik-musik maksiat dan sejenisnya.
Sebagaimana mata, pendengaran yang tidak terjaga adalah berpotensi untuk mengotori hati dan merampas kebahagiaan.

3. Perut dan anggota badan lainnya.
Awasi jangan sampai kita menggunakan dan memakan barangan yang haram.
Kalau membeli makanan pastikan kehalalan atau keharamannya. Jika hendak makan di
restoran, lihat apa jenis restorannya. Cuba hindarkan diri dari perkara yang boleh membawa kepada pembaziran.

Awasilah semua yang ada pada diri kita termasuk fikiran kita kerana dengan cara ini insyaAllah hidup kita akan lebih terkawal.  Adalah suatu yang sungguh luar biasa apabila Allah swt  mengawasi kita dan kita pun turut mengawasi diri kita sendiri dan inilah sebenarnya salah satu dari ciri-ciri orang yang bertaqwa.

Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk merasai bahwa Engkau sentiasa mengawasi setiap apa yang berlaku kepada diri kami termasuklah niat-niat yang halus yang tidak diketahui oleh manusia tetapi diperhatikan dengan teliti olehMu.

Sunday, October 16, 2011

Al-Qassam: Shalit Bukan Tawanan Terakhir

Brigade Izzuddin Al-Qassam, sayap militer Hamas, menyatakan, “Kesepakatan atas proses pertukaran tawanan dicapai sesuai syarat dan standard yang ditetapkan sejak awal penawanan tentara Israel, Ghilad Shalit.”  Abu Ubaidah, Jubir media Brigade dalam sidang media yang disebarkan melalui Al-Qassam Online, Rabu (12/10) menegaskan bahwa tentara Israel, Ghilad Shalit, bukan tawanan terakhir jika Israel tetap menahan tawanan Palestin.” Menurutnya Brigade Al-Qassam berkomitmen membebaskan tawanan yang merengkuk di sel penjara Israel, supaya mereka dapat kembali kepada keluarga masing-masing dalam keadaan selamat.
Abu menambah, “Kami tidak akan melupakan ribuan tawanan Palestin yang merengkuk di sel penjara Israel, kami tidak mungkin melupakan mereka, mereka akan tetap menjadi prioriti perjuangan kami.”
Sumber di Hamas menyebutkan, jumlah keseluruhan yang disepakati dalam pertukaran tawanan adalah 1027 orang. Pertukaran akan dilakukan dalam dua tahap, pertama terdiri dari 450 tawanan laki-laki +27 tawanan wanita. Tahap kedua terdiri dari 550 tawanan.

Tahap pertama pertukaran juga mencakup 315 tawanan yang dihukum penjara seumur hidup dan 135 yang dihukum penjara berat, di samping semua tawanan wanita yang berjumlah 27 orang, 5 di antaranya dihukum penjara seumur hidup, seperti Ahlam Tamimi dan Kairoh Sa’di.

Dari 450 tahap pertama selain tawanan wanita adalah 45 tawanan asal Al-Quds, dan 5 tawanan dari wilayah Palestina 48, satu orang dari dataran tinggi Golan, di samping 131 tawanan asal Gaza dan 268 tawanan asal Tepi Barat.

al-ikhwan.net – Gaza,

Sunday, October 9, 2011

Pandangan Ilmuan Islam Berkenaan Bajet 2012


Foto ihsan Zaharuddin.Net
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.
Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan sektor.
Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus. Perlu difahami unjuran hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9 billion.
Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion  bagi hujung tahun ini.
Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله
Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
 
Juga sabda baginda:-
اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف
Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : ” Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )
 
Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan  di antara beberapa peserta pertemuan  ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.
Secara ringkas dan mudah dan berdasarkan kemampuan kami yang sederhana, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-
A) Sokongan sepenuhnya
Kami memberikan sokongan sepenuhnya terhadap item-item berikut:-
  1. Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang terpilih.
  2. Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna’, murabahah, ijarah.
  3. Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
  4. Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada, sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
  5. Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
  6. Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
  7. Pertukaran gaji kepada sistem satu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadar RM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pad akadar 7-13 peratus.
  8. Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
  9. Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
  10. Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
  11. Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swasta akan mendapat potongan cukai.
  12. Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui dana bernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
  13. Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
  14. Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
  15. Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
  16. Naik pencen 2 peratus setahun.
  17. Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
  18. Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan.
  19. Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
  20. Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaan sebagai  pesakit  luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan Monorel
  21. Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
  22. Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
  23. Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
  24. Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.
 
B) Sokongan dan nota perhatian
Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-
  1. Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hybrid. Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya meluaskan lagi galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam industri automatif, malah juga wajar diberikan potongan cukai atau insentif yang sesuai kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang mampu beroperasi secara bersih dan kurang pencemaran melalui sistem ‘tekonologi hijau’, selain itu kami juga ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji bagi mengenakan cukai penalti atau khas kepada mana-mana kenderaan dan kilang yang mengakibatkan sebaran ‘carbon emission’ berlebihan kepada persekitaran.
  2. Pengecualian cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan perkembangannya. Dengan kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga khidmat, servis dan makanan yang disediakan oleh francais terlibat tidak dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan pihak kerajaan mampu mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias menaikkan kualiti perkhidmatan mereka.
  3. Skim rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000, dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu, pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung penjual untuk menaikkan harga rumah lalu  menambahkan risiko kemampuan peluang golongan ini memperolehi rumah.
  4. Amanah ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan ‘micro credit’, namun diharapkan agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
  5. Sistem bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan..
  6. Menggalakkan Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional buka perkhdimatan di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman riba 4 peratus. Ia disokong namun mengapa tiada pilihan dana patuh Shariah? Juga disarankan agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada badan professional tetapi juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang ingin mengadakan khidmat sepertinya.
  7. SME ‘revitalization fund’ untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1 juta boleh diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang disediakan. Walau bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan memberi pilihan perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam.
  8. Bantuan RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke bawah dalam usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerjaaan mampu merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji. Juga pihak kami juga menegaskan bahawa agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, juga tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
  9. Pemilik teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais dan cukai jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi tekanan syarikat kepada pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan adalah bertambah jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak.
  10. KARISMA: Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin RM 100 sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma melihat agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di tempat awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU bekerja (jika belum ada)
 
C) Komentar umum
 
Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-
  1. Belanjawan defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang sihat. Defisit menyebabkan keperluan kerjaaan untuk meminjam dengan faedah riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah hutang-hutang sebelum ini yang ‘outstanding’ pasti akan semakin menyesakkan. Bajet kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk menaikkan hasil dan pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
  2. Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut dikaji segera oleh kerajaan kerana bajet sepatutnya memberi perhatian dan sokongan kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal Islam.
  3. Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan.
  4. Peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga tiada diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama ada melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
  5. Pemberian konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya yang akan dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus dengan penuh integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan rakyat akibat menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
  6. Di dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap pelbagai perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali ‘import tax’ untuk barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
  7. Terlalu banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang mengharap dari bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan khas yang dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman sahaja. Justeru, kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan bukan sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau khas dianggotai wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk mencatat setiap agihan yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya secara suku tahunan (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan rakyat.
  8. Pengecualian cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang diberikan sehingga 10 tahun adalah terlalu panjang yang merugikan Negara khususnya apabila kewangan negara berada di dalam kedaaan defisit, justeru kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah kepada lima tahun sahaja.
  9. Sekuriti dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukan dengan peruntukan yang mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita perlukan peruntukan khusus untuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik seperti CCTV dan lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu keselamatan rakyat jelata.
  10. ‘Green tax’ sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai bagi syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang membuat pencemaran diperlukan.
  11. Bagi mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap kerajaan mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini iaitu pembelian rumah ketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta untuk memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan (bukan pelaburan), kami meminta pembiayaan dan pinjaman untuk pembelian rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 % sebelum ini.
  12. Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandar tidak disebut di dalam bajet kali ini.
  13. Selain memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital swasta dan klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital swasta yang kian meningkat kos khidmat mereka.
  14. Transformasi sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang baik tetapi plan kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan keazaman mengelak ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
  15. Tidak disebut kali ini berkenaan cukai barangan ‘dosa’ ke atas rokok, arak, judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi pendapatan Negara dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka yang ingin terjebak di dalam masalah terbabit.
  16. Kedai 1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan KRIM yang 40% lebih rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh ‘membunuh’ kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
  17. Kadar keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012 disebutkan niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari berleluasa lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan dari 5 % ke 10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami mencadangkan agar kerajaan mengembalikannya kepda jadual cukai asal iaitu 30% secara berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah 5-10 tahun pula dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh diletakkan cukai minima sekitar 1 peratus, ia dijangka penting untuk menjana pendapatan kerajaan.
 
Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa penyampaian dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan dalam belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan accountability yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan benar-benar dirasai manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami mengingatkan seluruhstakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرً
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (An Nisa:58)
Firman Allah juga :
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Ertinya : sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. ( Al-Qasas : 26)
Sabda Rasulullah SAW:
Tiada iman pada orang yang tidak beramanah” (Riwayat Ahmad)
 
 
Dari kami untuk khidmat masyarakat,
 
Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)
Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
Ustaz Dr. Maszlee Malik
Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
Ustaz Syed Mohd Norhisyam
Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Ustaz Hj Aizam Mas’ud,
Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,
Ustaz Ramadhan Fitri Elias,
Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
Ustaz Zamri Zainuldin ‘Mantop’
Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Ustaz Shauqi Othman
Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta
Dr. Mohd Nizam Barom


--
Ya Asrul Yaman Sent from my BlackBerry® smartphone