Friday, September 16, 2011

Syed Ibrahim GMI: ISA AKAN DIMANSUHKAN TERUS!!

Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Presiden GMI dalam kenyataan akhbarnya pada Jumaat, 16 September 2011  
PM: ISA AKAN DIMANSUHKAN TERUS!!

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, ISA akan dimansuhkan terus, begitulah petikan daripada Perutusan Khas Hari Malaysia oleh Perdana Menteri Malaysia semalam 15 September 2011.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dianggotai lebih daripada 80 buah organisasi terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Parti-parti Poliltik, Badan Hak Asasi Manusia, Wanita, Mahasiswa, Majlis Peguam dan Pertubuhan Pekerja, menyambut baik perkembangan ini dan berpendapat ini sebagai kejayaan di atas kesedaran dan desakan rakyat, usaha mangsa dan keluarga tahanan ISA yang berterusan membela diri mereka, sokongan pelbagai badan bukan kerajaan dalam dan luar negara tidak kira bangsa dan agama, badan peguam, parti politik khususnya Pakatan Rakyat (PR) dengan komitmen buku jingga mereka dan beberapa Usul Mansuh ISA yang telah diluluskan di peringkat Negeri PR; dan pendirian konsisten SUHAKAM untuk ISA dimansuhkan.

Setelah 10 tahun GMI diwujudkan dan berkempen, setelah berpuluh ribu orang menjadi mangsa sejak 1960, setelah begitu ramai keluarga menjadi mangsa, setelah berbagai kempen dilaksanakan dengan pelbagai tema, antaranya ialah ”Bebaskan Tahanan Politik Reformasi”, ”ISA Mala Fide”, ”Malaysia Bebas Dari ISA”, ”Selamatkan Malaysia, Mansuh ISA!” dan ”Bukan Pinda Tapi Mansuh ISA!” maka buat pertama kali rakyat Malaysia mendengar sendiri daripada Perdana Menteri bahawa ISA akan dimansuhkan, sekaligus menandakan kejayaan kempen GMI!

GMI juga melihat perkembangan ini sebagai langkah paling berani Dato’ Sri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri yang tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana Perdana Menteri terdahulu. Namun ini juga sebagai pembuktian dan pengesahan berlakunya kongkongan dan cengkaman ISA ke atas rakyat selama ini. Perdana Menteri menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, dan rakyat mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, Ini tidak boleh berlaku dengan kewujudan dan wewenangan kuasa di bawah ISA. Inilah mesej yang telah dibawa GMI dan badan lain di bawah gabungannya sejak bertahun-tahun lamanya.

Di samping itu, Perdana Menteri juga mengisyaratkan bahawa memang benar ISA telah selama ini digunakan ke atas mereka yang berbeza ideologi politik. Beliau memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Ini jelas mengisyaratkan penahanan aktivis 10 reformasi atas dakwaan ingin menggulingkan kerajaan dengan bahan-bahan letupan merupakan satu kesilapan dan penyalahgunaan kuasa ISA. Begitu juga dengan penahanan ke atas YB Teresa Kok mahupun Raja Petra dan seorang wartawan beberapa tahun lepas.

Cuma perlu diingat, individu juga tidak boleh ditahan di atas “motif politik” sebagaimana yang berlaku ke atas tahanan atas dakwaan Jemaah Islamiah yang menjadi kambing hitam politik antarabangsa Malaysia dan Amerika. Tidak pernah terbukti mereka yang didakwa terlibat dengan keganasan.

Perdana Menteri dan Kerajaan juga secara tersirat akhirnya mengakui pencabulan hak dan kebebasan asasi yang berlaku di samping kuasa melampau polis dan Menteri di bawah ISA. Beliau memberi komitmen untuk mengambil kira hak dan kebebasan hak asasi dalam apa-apa undang-undang manakala apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah (kecuali undang-undang berkaitan keganasan).

Walaupun begitu, GMI ingin menegaskan kembali prinsip utama penentangannya terhadap ISA ialah kerana peruntukan penahanan tanpa bicara dan kuasa wewenangan Polis serta Menteri Dalam Negeri. GMI juga ingin menegaskan tiga objektif utamanya iaitu mansuhkan ISA, bebaskan tahanan dan tutup Kem Kamunting.

Justeru GMI ingin menzahirkan beberapa persoalan dan kekhuatiran:

Adakah pemansuhan ISA ini menghapuskan segala peruntukan di dalamnya khususnya berhubung dengan tahan tanpa bicara dan kuasa wewenangan Polis dan Menteri Dalam Negeri? Atau adakah peruntukan tersebut dipindahkan kepada dua undang-undang baru yang bakal digubal? Kelihatannya perintah mahkamah dikecualikan untuk undang-undang berkenaan. Peruntukan tahan tanpa bicara inilah yang menjadi duri dalam daging dan penyakit. Tanpa semakan mahkamah, ruang salahguna tetap terbuka luas. Jika dipindahkan dari ISA kepada undang-undang baru tersebut maka perubahan dasar tidak berlaku walaupun ISA dimansuhkan. ISA selama ini merupakan tongkat kuasa buat pemerintah. Tidak mudah untuk tongkat ini diangkat begitu sahaja.

Mengapakah dua undang-undang baru tersebut digubal dengan peruntukan tahan tanpa bicara sedangkan sudah wujud undang-undang untuk kesalahan keganasan, umpamanya di bawah Bab VIA Penal Code?

Bilakah tempoh ISA akan dimansuhkan? Jika memakan masa sehingga dua tahun sebagaimana tempoh pertama kali PM sebutkan tentang kajisemula ISA sehingga sekarang, maka jangan salahkan rakyat jika menganggap pengumuman ini sebagai umpan dan sandiwara Pilihan Raya ke-13 serta survival politik BN. Pembentangan Usul pemansuhan ISA sewajarnya dilakukan dalam sesi Parlimen yang akan datang.

Adakah pemansuhan ISA membawa kepada kebebasan semua tahanan ISA? Seharusnya dengan mansuhnya ISA maka semua tahanan harus dibebaskan tanpa bersyarat dan tanpa lengah.

Apakah status kedudukan bekas tahanan ISA yang telah diusir (deported) sedangkan mereka penduduk tetap? Bolehkah mereka dibenarkan kembali?

Apa akan jadi dengan Kem Kamunting? Kem ini mesti ditutup dan dijadikan Warisan Dunia sebagaimana Robben Island di Afrika Selatan sebagai pengajaran kepada kezaliman dan kekejaman yang berlaku di bawah ISA.

GMI berpendapat perkembangan terbaru ini membawa beberapa implikasi dan gesaan:

Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga;

Semua pemuka yang terlibat dalam menyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan;

Kerajaan, Menteri berkenaan dan polis mestilah amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir. Beliau menyarankan untuk kerajaan meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri;

Kerajaan mestilah memansuh lain-lain undang-undang tanpa bicara seperti Akta Dadah Merbahaya (DDA);

Kerajaan untuk melaksanakan kajian semula dengan segera dalam tempoh yang spesifik terhadap undang-undang yang menghadkan kebebasan rakyat dan media seperti Akta Polis dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan;

Kerajaan untuk patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-pengganas dan melakar pelan jangkamasa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan; dan

Kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)

Akhir sekali, ternyata betapa pentingnya wujud suara/gabungan/gerakan berprinsip yang kuat dan berintegriti dalam sistem demokrasi untuk menjamin kesejahteraan rakyat. GMI mengucapkan terima kasih, tahniah dan syabas kepada suara rakyat. Kedudukan GMI akan dibincangkan antara anggota gabungannya dalam masa yang bersesuaian.

Mansuhkan ISA!!
Bebaskan Tahanan !!
Tutup Kemta!!

No comments:

Post a Comment