Wednesday, October 5, 2011

MANSUHKAN ISA/EO SEKARANG!




MEMORANDUM GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI) KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN KETUA PEMBANGKANG MALAYSIA, 5 OKTOBER 2011
 
1.      Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dianggotai lebih daripada 80 buah organisasi terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Parti-parti Poliltik, Badan Hak Asasi Manusia, Wanita, Mahasiswa, Majlis Peguam dan Pertubuhan Pekerja, menyambut baik perkembangan di mana Perdana Menteri mengumumkan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat dan dua undang-undang lain akan dimansuhkan.
 
2.      Kami berpendapat ini sebagai kejayaan di atas kesedaran dan desakan rakyat serta usaha mangsa dan keluarga tahanan ISA sendiri yang berterusan membela diri mereka walaupun berdepan dengan cabaran dan ancaman kerajaan dan polis yang mempertahankan kezaliman ISA.
 
3.      Kami juga ingin menyangkal dakwaan Perdana Menteri bahawa cadangan pemansuhan ISA hanya ditimbulkan oleh Kerajaan BN sedangkan seluruh rakyat amnya tahu siapakah yang selama ini membuat tuntutan. Suaram, GMI dan pelbagai badan bukan kerajaan dalam dan luar negara tidak kira bangsa dan agama, badan peguam, mahasiswa dan SUHAKAM sudah lama mengesyorkan supaya ISA dimansuhkan.
 
4.      Parti politik khususnya Pakatan Rakyat (PR) dengan komitmen buku jingga mereka, beberapa Usul Mansuh ISA yang telah diluluskan di peringkat Negeri PR serta komitmen mereka untuk menyokong Perhimpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 juga merupakan bukti tindakan desakan mereka supaya ISA dimansuhkan.
 
5.      Pada 3 Oktober 2011, dalam sidang Parlimen, Perdana Menteri mengatakan bahawa USUL untuk memansuhkan ISA dan EO hanya akan dilakukan pada bulan March 2012. Alasannya ialah untuk memberi masa bagi menderaf dua akta pengganti ISA dan kajian serta rundingan dapat dibuat dengan pihak yang berkenaan. Ini telah menimbulkan banyak persoalan di kalangan aktivis dan rakyat. Adakah kerajaan Malaysia serius dalam melaksanakan perubahan ini?
 
6.      GMI  agak terkejut untuk mengetahui bahawa kerajaan gagal untuk menjalankan kajian yang munasabah dan rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum pengumuman ini dilakukan. Bukankah pengumuman dan janji pertama Perdana Menteri tentang ISA ini dilakukan pada 3 April 2009, lebih dua tahun yang lalu?
 
7.      GMI berpendapat bahawa kelewatan yang diumumkan oleh kerajaan untuk memansuhkan ISA melemahkan proses pembaharuan yang dijanjikan. Ia sekadar gimik politik semata-mata untuk pilihan raya umum akan datang.
 
8.      Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa sejak beberapa dekad yang lalu, beribu-ribu orang telah ditahan tanpa bicara di bawah ISA dan EO, bukan untuk apa yang mereka lakukan atau katakan tetapi berdasarkan syak wasangka dan tuduhan tanpa bukti daripada pihak ketiga. Ramai yang ditahan dalam Kem untuk tuduhan yang tidak dibuktikan di mahkamah dan beribu-ribu masih di tahan di Kem perlindungan di seluruh negara.
 
9.      GMI melihat pengumuman mengenai dua Akta baru bagi menggantikan ISA adalah satu usaha kerajaan yang tidak direstui ramai. Kami sekali lagi ingin menekankan di sini bahawa semua undang-undang keselamatan tidak boleh membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan perlu melindungi hak-hak dan kebebasan asasi. Ia bercanggah dengan prinsip keadilan dan tuntutan agama terutama dengan terbukanya ruang salahguna tanpa adanya semakan mahkamah. Inilah asas penentangan terhadap ISA dan EO. Sekiranya asas serupa wujud dalam dua akta baru tersebut maka penentangan serupa bakal dihadapi dan kami berharap Kerajaan tidak membuat kesilapan yang sama.
 
10.  Pandangan atau takrifan mengenai keganasan dan ketenteraman awam juga telah menimbulkan pelbagai persoalan dan debat. Istilah pengganas kerap ditafsirkan secara liberal dengan men“jenayah”kan suara perbezaan pendapat yang sah dan aktiviti bantahan yang tulen. Mekanisme perlindungan ke atas kepentingan awam seperti yang kita masih ingat larangan baru-baru ini mengenai Bersih 2.0 sebagai contoh pengharaman sewenang-wenangnya pada satu inisiatif yang sah rakyat untuk pilihan raya yang bebas dan adil.
 
11.  GMI ingin memaklumkan bahawa Parlimen Malaysia telah menambah undang-undang termasuk kesalahan berkaitan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada tahun 2006. Menurut Kanun Keseksaan (Pindaan) 2003, Bab baru VIIA yang bertajuk "Kesalahan yang Berkaitan Keganasan" telah dimasukkan dan ini berkuatkuasa sejak 6 Mac 2007. Begitu juga, menurut Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2006, Bab XIIA baru yang bertajuk "Kuasa menyiasat Sampingan Dalam Perhubungan Untuk Kesalahan Keganasan" telah dimasukkan dan berkuatkuasa sejak 6 Mac 2007. Malaysia juga meluluskan undang-undang yang berkaitan dengan pembiayaan anti-keganasan dalam bentuk Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

12.  Kita melihat bahawa kedua-dua undang-undang baru seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri mesti mengambil kira badan undang-undang keselamatan dalam kewujudan dan perlindungan kebebasan asasi sebelum ia memilih untuk menambah undang-undang keselamatan yang baru dan kesannya terhadap kebebasan asasi. Kami menyeru kerajaan untuk menghentikan undang-undang menggubal undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan untuk menangani isu-isu keganasan dengan undang-undang yang sedia ada dalam Penal Code.
 
 
13.  GMI dengan ini menggesa pihak Kerajaan untuk:
 
i.        Bentang usul mansuhkan ISA di Parlimen pada sesi kali ini atau sebelum Parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya dan mansuhkan terus undang-undang zalim seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Dadah Merbahaya (DDA);
 
ii.      Bebaskan semua tahanan ISA, dan EO dengan serta merta atau dakwa mereka di mahkamah terbuka.
 
iii.    Tidak menggubal akta baru yang mempunyai ciri-ciri yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia seperti tahan tanpa bicara, tiada semakan mahkamah dan kuasa yang melampau.
 
iv.    Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga
 
v.      Semua pemuka yang terlibat dalam menyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan;
 
vi.    Kerajaan, Menteri berkenaan dan polis amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir.;
 
vii.  Kerajaan untuk melaksanakan kajian semula dengan segera dalam tempoh yang spesifik terhadap undang-undang yang menghadkan kebebasan rakyat dan media seperti Akta Polis dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan;
 
viii.Kerajaan untuk patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-pengganas dan melakar pelan jangkamasa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan; dan
 
ix.    Kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)
 
14.  GMI dengan ini juga ingin menggesa Pembangkang Di Parlimen untuk mendesak kerajaan untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan di atas khususnya dalam membentangkan usul mansuhkan ISA dan EO dan seterusnya memansuhkan akta tersebut.
 
 
Mansuhkan ISA!!
Bebaskan Tahanan !!
Tutup Kemta
 
 
 
Syed Ibrahim Syed Noh                                                    
Pengerusi
 

No comments:

Post a Comment