Tuesday, January 3, 2012

Ustazah Arpah Abdul Wahab:"Selamat menempuh tahun baru dan kehidupan dengan roh/jiwa baru"


بسم الله الرحمن الرحيم.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Akhawat  yang di rahmati Allah ‘Azza wa Jalla.

Sudah lebih sepurama tahun baru hijrah menyapa kita. Hari ini tahun baru masihi pula datang  meneruskan kembaranya...  Izinkan Kpah berdiri sebentar dilaman maya barakah ini untuk mengucapkan “Selamat menempuh tahun baru dan kehidupan dengan roh/jiwa baru”.

Akhawat yang dirindui;

إجلس بنا نؤمن الساعة !!!
Ada terlalu banyak  sebab  untuk kita muhasabah dan memperbaharui iman, kembali merenung  hubungan diri,   dengan Allah Azza wa Jalla.Pun sangat banyak sebab-sebab yang mendorong kita merasa bimbang;  iman mulai semakin melemah, hati semakin  berkarat dan senang  tunduk kepada tarikan duniawi, masalah amal dan hidup, konflik manusia, hawa nafsu, pintu-pintu syaitan, keinginan dan syahwat tubuh dan fitnah-fitnah dunia. Semua ini mengajak kita, akhawat khasnya, mesti merasa bimbang tentang iman kita  supaya tidak lenyap atau pudar.

Rasulullah saw. Yang ma’shum pun  bimbang tentang imannya, sehingga Baginda Rasulullah saw sering berdoa:

اللهم يا مُقَلِّبَ الْقُلوب ثَبِّتْ قَلْبي على دِينِكَ

“Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati,
tetapkanlah hatiku di atas jalan agamaMu”.

Baginda juga memohon Allah  Ta’ala  memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukanNya, Baginda berdo’a:

اللهم يا مُصَرِّفَ القلوب صَرِّف قُلوبَنا على طَاعَتِك,
“Wahai Allah yang menguruskan hati,
uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepadaMu”.

Rasulullah  saw. juga berdoa siang dan malam di dalam zikirnya:

اللهم إنِّى أعوذ بك من الكفر والفقر
“Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepadaMu
daripada kekufuran dan kefakiran”.

Sejarah meriwayatkan bahwa Umar bin al-Khattab r.a yang telah membersihkan imannya di antara yang hak dan batil, syaitan cabut lari dari menghampirinya dan terdapat garisan hitam di wajahnya lantaran banyak menangis kerana takutkan Allah. Beliau r.q. pernah mengecam dirinya kerana kekurangan iman. Diriwayatkan juga beliau r.a  pernah berkata kepada para sahabatnya: “Marilah kita tambahkan iman”.

Hal ini menjadi kebiasaan  para sahabat melakukannya. Abdullah bin Mas’ud r.a selalu  berdoa:

“Wahai Allah, tambahkan kami keimanan, keyakinan dan kefaqihan”

Abu Darda’ r.a juga berkata: “Seorang hamba yang diberikan kefaqihan, maka ia sentiasa memelihara imannya dan tidak menguranginya”.


Iman bertambah dan berkurang

Secara semulajadi iman boleh bertambah dan berkurang. Hal ini bukan satu kelemahan bagi manusia, bahkan ia adalah tabiat manusia dan sunnah kehidupan. Sabda Nabi saw. Bermaksud:
“Sesungguhnya hati anak Adam semuanya antara “dua jari dari jari jemari Allah”, seperti satu hati yang ditadbir  dan diurus mengikut kehendakNya”.


Riwayat Abu Jaafar al-Khatami dari bapanya dari datuknya Umair bin Hubaib berkata: “Iman bertambah dan berkurang. Ada yang bertanya: Sebab apa iman bertambah dan berkurang?. Lalu beliau menjawab: Apabila kita mengingatiNya, bertahmid dan bertasbih kepadaNya, maka iman akan bertambah. Apabila kita melupakanNya, lalai dan cuai dari mengingatiNya, maka imannya akan berkurang”.

Firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya)”. (Al-Anfal: 2)

“yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya manusia Telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, Karena itu takutlah kepada mereka", Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung". (Ali-Imran: 173)

“Dia-lah yang Telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang Telah ada)”. (Al-Fath: 4)

Tanda kelemahan iman 

1.      Merasa malas untuk menunaikan solat secara berjamaah yang merupakan salah satu sifat orang munafik berdasarkan firman Allah:

“dan apabila mereka berdiri untuk shalat mereka berdiri dengan malas”. (An-Nisa’: 142)

2.      Begitu liat untuk bangun menunaikan solat subuh. Sabda Nabi saw:

“Melaksanakan dua rakat solat subuh lebih baik daripada dunia dan segala isinya”.

3.      Tidak khusyuk di dalam solat dan banyak memikirkan kesibukan dunia dan mengingini kehidupan. Sabda Nabi saw:

“Tidaklah seorang muslim yang menghadirkan hatinya semasa solat fardu, dengan mengelokkan wuduknya, khusyuk dan rukuknya melainkan solatnya itu akan menghapuskan dosanya yang kecil selagi tidak melakukan dosa besar. Hal ini berlaku sepanjang masa”. (Muslim)

4.      Meninggalkan amalan-amalan sunat dan solat nawafil.

5.      Menjauhkan diri dari al-Quran. Firman Allah:

“Berkatalah Rasul: "Ya Tuhanku, Sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan”. (Al-Furqan: 30)

6.      Seorang muslim terjerumus ke dalam maksiat dan terus tenggelam di dalamnya.


Langkah memperbaharui iman

Menurut Hassan al-Basri rahimahullah: “Seorang hamba itu masih berada di dalam kebaikan selagi mengetahui sesuatu yang akan merosakkan amalannya”. Seorang ahli zuhud Mekah Wahib bin Ward pernah berkata: “Sesungguhnya di antara kesejahteraan diriku ialah aku mengetahui perkara yang merosakkannya”.  

Diantara jalan-jalan  merawat iman.

1.     Duduk bersama orang soleh

Menurut ahli psikologi; bahawa akhlak sesaorang  yang  berada di dalam kumpulan berbeza akhlaknya  ketika ia berseorangan. Bertepatan dengan sabda Nabi saw: “Syaitan bersama dengan manusia yang berseorangan sedang dia yang kedua atau lebih”.

Sabda Nabi saw,bermaksud : “Kalian hendaklah bersama jamaah dan jauhilah dari perpecahan, kerana syaitan suka kepada orang yang berseorangan sedang dialah yang kedua dan lebih. Barangsiapa yang mencintai syurga maka hendaklah beriltizam dengan jamaah. Orang yang suka dengan kebaikannya dan bencikan keburukannya, maka dia benar-benar seorang mukmin”. (Tirmizi) Menurutnya hadith sahih gharib.

Sabda Rasulullah saw juga:

“Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih dari kumpulannya”. (Abu Daud)

2.     Penyertaan di dalam amal

Ketika kita merasa berat untuk menjalan sesuatu perkara atau perintah, carilah orang yang boleh membantu melaksanakannya.Ini adalah penyelesaian ketika kekuatan iman menjadi lemah untuk mengangkat selimut di kala azan subuh atau mengerjakan solat berjamaah. Berpakatlah bersama sahabat yang cergas di dalam ibadatnya untuk menolong kita melalui perhubungan telefon atau melalui rumah sehingga keimanan kembali kuat.
Firman Allah:

“dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa,…”. (Al-Maidah: 2)

3.     Seru orang lain

Proses menanamkan nilai murni memerlukan empat peringkat.
Pertama:  pengaruh informasi,
kedua:      pengaruh fikiran yang menjadikan nilai bertindak balas dengan akal,
ketiga:    peringkat perlaksanaan wasilah amali yang mengikat nilai dengahn reality, keempat: peringkat yang akhir ialah peringkat terbina nilaian, iaitu peringkat  kita menyeru orang lain supaya menghiasi diri dengan nilai murni atau akhlak mulia. Apabila telah sampai kepada peringkat ini, sudah pasti menjadi sangat mudah untuk kita melaksanakan tugas menyeru orang lain dan menyampaikan nasihat supaya beribadah dan menunaikan solat fardu di masjid, membaca al-Quran. solat subuh dan ibadah-ibada yang lain.

4.      Pengaruh media ke atas dirimu melalui cd dan buku
Tidak dinafikan bahan media banyak yang mendatangkan pengaruh yang negative, namun kita gunakan kebijaksanaan untuk mengambil pengaruh yang positif daripadanya. Dengarlah kaset, cd atau bahan dari internet masa kini yang membicarakan soal kelembatan hati, syurga, hari kaiamat, cintakan Allah, takut dan mengharapkanNya. Bacalah buku-buku berkaitan khusyuk di dalam solat, hidup bersama al-Quran, pahala amalan sunat dan munajat di dalam solat.

.

4.     Mengurangkan perkara yang harus

Ketika Islam menegah kita dari melakukan pemborosan, Islam juga menegah kita daripada perkara harus, kerana pemborosan termasuk perkara harus. Oleh sebab itu bersederhana dalam menggunakan perkara harus akan sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Dunia pasti akan lenyap sekalipun terdapat banyak nikmat dan kita telah menerima dan meni’matinya.

5.     Muhasabah diri

Jadikan budaya muhasabah an-Nafs, untuk jiwa sentiasa beramal dan beribadah.
Istiqamah dalam mutaba’ah amal fardi; setiap minggu dan setiap bulan. senarai solat lima waktu secara berjamaah, solat-solat sunat, zikir-zikir, pembacaan al-Quran, puasa sehari dalam seminggu atau dua hari dalam sebulan. Boleh juga buat  satu janji bersama sahabat untuk saling mengingat antara satu sama lain agar mengisi helaian muhasabah tersebut. Berilah perhatian sekurang-kurang 75% setiap minggu.

Umar bin al-Khattab r.a pernah berpesan:

“Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalanmu sebelum amalanmu ditimbang”.

6.     Bersungguh-sungguh beribadah dan mujahadah melawan nafsu

Cergas di dalam ibadah, solat-solat sunat, zikir, qiamullail, membaca al-Quran, lawanlah nafsu, jangan menyerah, kerana ity akan menimpa kita sifat malas, tidur dan berehat, dan  sentiasa  mencari alasan di setiap masa supaya tertinggal atau terlambat solat subuh atau malas untuk membaca al-Quran.
Apabila nafsu mengajak kita meninggalkan sesuatu ibadah,
maka iringi dengan membaca satu juzuk dari al-Quran.
Apabila ia melengahkan kita dari solat subuh,
 maka lakukanlah solat dua rakaat pada tengah malam.
Hadapilah nafsu kita sehingga ia menyerah kapada kita. Ketahuilah, kita akan termasuk dalam kalangan manusia yang tidak mudah ditundukkan.
Firman Allah: 
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik”. (Al-Ankabut: 69)

Ingatkah wahai saudaraku yang kukasihi,
Iman mempunyai dua sendi, iaitu 1. beriman di dalam hati
2. membenarkan di dalam perbuatan atau amalan. Menurut al-Hassan r.a:

“Iman bukanlah dengan angan-angan dan bukan hanya dakwaan, tetapi apa yang terdapat di dalam hati dan dibenarkan (dibuktikan) dengan perbuatan”.
Akhawat yang dimuliakan,
Jom kita angkat kedua tangan dengan menadahkannya  ke langit,  kita  berdoa kepada Allah supaya menolong kita  di atas ketaatan, menancapkan iman di dalam hati kita dan menghimpunkan seluruh keazaman dan tekad kita, untuk  seterusnya meneruskan langkah menuju  kepada Allah ‘Azza wa Jalla yang mencintai kita dan kita juga mencintaiNya...Dengan iman ini perjuangan kita layak mendapat pertolonganNya, dan dengan pertolonganNya sahaja, WAWASAN PERJUANGAN kita akan tercapai HAKIKATAN!!!...

Maaf dzahir batin.

7 Safar 1433
1 Januari 2012.

No comments:

Post a Comment