Wednesday, May 2, 2012

YDP: UCAPAN PERASMIAN KONVENSYEN SIASAH IKRAM SELANGOR

Hj Shamsul Ma’arif Hj Ismail
YANG DIPERTUA
PERTUBUHAN IKRAM NEGERI SELANGOR
Fakulti Kejuruteraan, UIAM
1 MAY 2012.

Alhamdulillah hamdan kathiran taiyyiban mubarakan fiih, wassolatu wassalamu ala Sayyidina wahabibina waqudwatina Muhammad s.a.w, wa ala a’lihi wa ashabihi watabiihi waman tabiahum ila yaumiddin.
Saya sampaikan salam yang mulia, salam ahlul jannah “Assalamualaikum wrmt wbth” Amma Ba’du

Yang dihormati Pimpinan IKRAM Pusat, IKRAM Negeri dan IKRAM Daerah serta semua ahli IKRAM yang dikasihi.

Alhamdulillah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang mengizinkan kita semua pada pagi ini kita dapat berhimpun di dalam satu Konvensyen Siasah IKRAM Negeri 2012 yang sangat-sangat ditunggu oleh semua ahli. Kita mengharapkan wakil JKP Ybhg Prof Dr Ahmad Tarmizi dan seluruh pembentang dapat memberi input-masukan yang akan meningkatkan ilmu dan kefahaman kita semua. Kepada yang dapat menghadirkan diri diucapkan tahniah.

Ikhwah dan akhawat sekalian,

Kata siasi adalah orang yang memerhatikan dan memahami urusan-urusan umat secara mendalam serta menyelesaikan nya dengan pendapat-pendapat atau pemikiran-pemikiran yang benar.

Politikus Muslim adalah seorang Muslim yang komitmen dengan agama Islam yang menyelesaikan urusan-urusan umat Islam sesuai dgn pandangan agama Islam dan hukum syariah.

Politik syar’’ie adalah politik yang membawa seluruh umat manusia kepada ketentuan-ketentuan syariah dimana khalifah berkewajipan menegakkan agama dan mengurus dunia dengan agama.

Politik tidak syar’ie atau politik konvensional adalah politik yang membawa manusia kepada ketentuan pandangan manusia yang diterjemahkan ke dalam undang-undang dasar yang konvensional, hukum konvensional sebagai ganti kepada syariah. Oleh politik seperti ini tidak mempunyai asas agama

Di sinilah garis besar perbezaan perjuangan siasah dalam Islam. Kita berjuang bagi memenangkan kekuasaan Islam, meletakkan matlamat-matlamat Islam yang bersih dan menjadikan urusan siasah sebagai manhaj ubudiyyah kepada Allah SWT.

IKRAM sebagai badan dakwah yang syumul sudah tentu terlibat sama dalam urusan siasah namun kedudukannya tidaklah sama dengan sebuah pertubuhan parti politik. Kerana sesungguhnya kita beriman bahawa urusan politik adalah urusan kita juga.

Sesungguhnya politik bukanlah isu mendapatkan kekuasaan dengan politik Macheveli, matlamat menghalalkan cara, cara tipudaya, politik cantas mencantas, cah keting atau adu domba dan fitnah.

Politik Islam yang kita fahami ialah urusan bagi mendapatkan kepercayaan ummah. Membimbing ummah kepada matlamat yang salim, mendorong ke arah makruf dan membina tokoh-tokoh yang diiktiraf oleh masyarakat.

Hari ini usaha memenangkan Islam bukanya mudah. Barat tidak pernah berdiam diri. Mereka terus menyerang kekuatan benteng ummah, membina jaringan baru di kalangan orang Islam yang cenderung kepada ideologi Barat. Ramuan yang indah namun penuh kepalsuan dan penuh beracun.

Mereka lahirkan suara-suara baru dari bangsa Muslim sendiri yang membawa ideologi Barat, ideologi humanisme, ideologi liberalisme, ideologi hak asasi manusia mengatasi hak asasi Allah SWT, idea kebebasan mutlak, menganggap hukum Islam sebagai lapuk, ketinggalan zaman, tidak relevan dengan kemodenan, mahu merubah hukum yang tetap atas nama perubahan zaman.

Sesungguhnya pemisahan antara agama dengan pemerintahan bukan muncul dari Islam. Ianya bermula di Eropah ketika mana perang salib telah membuka mata mereka terhadap peradaban dan ketinggian pengetahuan yang di miliki Islam. Permusuhan antara golongan ilmuan yakni para saintis terhadap gereja telah mencetuskan zaman pencerahan hinggakan agama di Barat hari ini tinggal menjadi terasing dan gereja menjadi puing yang runtuh atau dijual di pasar lelong (auction). Hampir 70% masyarakat di UK hari ini sudah tidak beriman lagi dengan gereja dan menganut faham humanisme (faham hidup hanya di dunia sahaja) yang melahirkan pula fahaman kebebasan mutlak (liberty) dan hedonisme (kenikmatan nafsu tanpa batas). Maka meriahlah Human Right Council (HRC) di PBB dengan tumbuhnya kumpulan hak asasi manusia di seluruh dunia yang berlandaskan hawa nafsu seperti kumpulan LGBTIQ ) (lesbian, gay, bisexsual, transgender, intersex, quer) yang menular sedikit demi sedikit di dalam negara kita.

Namun kemajuan Eropah tanpa agama ini telah disahut awal di Turki oleh Mustaffa Kamal Attartuk yang telah merobek kesatuan ummah, hingga jatuhnya khilafah. Ramai yang tidak mengetahui ketamadunan yang di bawa Khilafah Uthmaniyyah (Ottoman) yang telah menyiapkan jalan keretapi hasil sumbangan dana dari seluruh tanah air muslimin sedunia. Jalan keretapi ini bermula dari Syam (Damascus) hinggalah ke Kota Madinah menerusi Baitul Maqdis sejak (1908-1918) namun dihancurkan oleh tentera British dalam Perang dunia pertama. Sehingga kini jalan keretapi ini hilang di bawah timbunan pasir-pasir Madinah. Jika ke Madinah carilah Stesen Keretapi yang sungguh cantik ini tidak jauh dari Masjid Nabawi.

Ketika itulah Imam Syahid Hassan Al-Banna mengemukan usaha tajdid yang di bumi Anbiya Mesir dengan membawa pemahaman baru yang berteraskan manhaj Islam yang syumul dengan katanya” Jika di tanya kemana kalian menyeru? Katakanlah : kami menyeru kepada Islam yang didatangkan oleh Rasulullah Muhammad s,aw dan pemerintahan adalah sebahagian darinya, serta kemerdekaan adalah di antara kewajibannya. Jika dikatakan kepada kalian “ ini adalah politik! Maka katakanlah: Ini adalah Islam. Kami tak mengenal pembahagian seperti ini!

(Bainal Ams wal Yaum, Majmuk Rasail, Cetakan Beirut)

Al Banna menjawab lagi apabila dikatakan bahawa Ikhwan adalah organisasi politik dan seruan mereka adalah kempen politik. Al Banna menjawab “ Wahai kaum kami, sesungguhnya kami menyeru kalian kepada Al-Quran yang ada di tangan kanan kita dan Sunnah di tangan kiri kita.Kami menyeru kepada perilaku para SalafuSoleh dan generasi awal umat yang menjadi teladan kami. Kami menyeru kalian kepada Islam, nilai-nilai Islam dan hukum Islam.Jika ini kalian anggap sebagai politik, maka inilah politik kami, jika yang diserukan kepada prinsip dipanggil politik, maka kamilah Alhamdulillah orang yang paling politik (siasah).

( Dakwatuna, Majmuk Rasail).

Sesungguhnya Islam yang kita bawa adalah syumul. Kita ingin kembalikan umat ini ke pangkal jalan. Menyempurnakan cara hidup yang diberkati Allah SWT.

Firman Allah ( S An Nahl)
... dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan Dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (Wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.

Di hadapan kita ayyuhal Ikhwah, adalah tugas yang besar. Membawa misi rahmatan lil ‘alamin, menyatukan umat yang berpecah kembali di atas dasar tauhid. Membebaskan pemikiran ummah dari belenggu jahiliah dan kebendaan yang batil kepada cara hidup Islam yang lengkap.

Di hadapan kita amanah memperkasakan ummah, mengembalikan keyakinan kepada kemenangan Islam, mengislah masyarakat, mengajak yang belum bertauhid kepada umat bertauhid, menyempurnakan kedudukan ummah, kedudukan Islam yang telah wujud sejak ratusan tahun lalu sebelum penjajahan Barat kembali kepada hukum dan undang-undang berpaksikan Al-Quran dan as Sunnah.

Kita sesungguhnya amat bertuah dengan peruntukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3). Kita perkukuhkan dan kita perbaiki.


No comments:

Post a Comment