Tuesday, January 4, 2011

DI MANAKAH KITA MESTI SEKATA DAN DI MANA BOLEH BERBEZA?


Memang benar bahwa perbezaan mesti ditangani dengan sikap toleransi yang tinggi tetapi perbezaan yang dibenarkan adalah perbezaan yang memang boleh ditoleransi. Untuk mengetahui samada sebuah perbezaan boleh ditoleransi atau tidak, perlu ada kejelasan terhadap kedudukan di mana letaknya umat Islam mesti bersatu dan di mana letaknya mereka boleh berbeza. Ada dua wilayah perbezaan yang boleh kita teliti :

PERTAMA : Berbeza pada wilayah yang prinsip atau pokok-pokok agama yang merupakan asas-asas dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` umat. Contohnya seperti : Masalah tauhid, Rukun iman, kewajiban melaksanakan rukun Islam yang lima, keyakinan tentang hari kebangkitan,  dan Hari Akhirat.

Dalam hal ini, tidak boleh ada perbezaan di dalam tubuh Umat Islam kerana perbezaan dalam perkara ini akan menimbulkan perbezaan prinsip dan keyakinan yang mengakibatkan keluarnya seseorang dari jalan Islam. Jika ada orang yang berkeyakinan bahwa rukun Islam yang lima tidak wajib dilaksanakan atau meyakini bahwa hari Akhirat itu tidak ada, keterangan-keterangan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadits tentang hari Akhirat, padang Mahsyar, syurga dan neraka, tidak lain hanyalah kiasan dan tidak dimaksudkan dengan makna hakiki dari lafaz itu, seperti yang diyakini oleh kumpulan-kumpulan sesat seperti Batiniyah, Babiyah dan Bahai’yah, maka keyakinan seperti itu telah jauh terkeluar dari Islam.

Demikian juga dengan orang yang berkeyakinan bahwa ada nabi setelah Nabi Muhammad saw, yang membawa kitab suci baru, seperti keyakinan pengikut Ahmadiyah, maka keyakinan seperti itu juga dapat menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam kerana keyakinan-keyakinan itu bukanlah perbezaan pada perkara furu`atau ranting bahkan ia jelas bertentangan secara langsung dengan asas-asas agama yang sifatnya ‘fundamental’ tersebut.

Bagi menangani perbezaan seperti di atas, setiap muslim mesti menampakkan identiti keyakinan dan keimanan mereka di mana mereka mesti tegas dengan mengatakan : “ Mazhab kami benar, tidak mengandungi kesalahan sama sekali dan mazhab yang lain salah dan tidak mengandungi kebenaran sama sekali."

KEDUA : Perbezaan dalam masalah furu`atau ranting di mana perbezaan dalam perkara ini adalah wajar dan masing-masing mengikut pendapat yang seharusnya saling bertoleransi.  Namun, perbezaan dalam wilayah yang kedua ini tidak boleh membawa umat kepada perpecahan kerana perbezaan yang timbul dalam hal ini boleh jadi sekadar perbezaan ‘variatif’ yang semuanya benar dan saling melengkapi. Bahkan dalam perbezaan kontradiktif sekalipun, selagi mana masih dalam wilayah furu' dan ijtihadiyah dan masing-masing memiliki perbahasan yang cukup kuat, maka para penganut mazhab mesti tetap saling menghormati dan mencintai.

Dalam hal ini mereka seharusnya berkata seperti perkataan Imam Asy-Syafi`ie : “Pendapatku benar tetapi boleh jadi mengandungi kesalahan dan pendapat selainku salah tetapi boleh jadi mengandungi kebenaran.”

Berbeza pendapat adalah perkara yang diperbolehkan, namun perpecahan kerananya tetap tidak diperbolehkan. Ini adalah kerana perpecahan jelas merupakan perkara yang dilarang oleh agama. Sebagai contoh, perbezaan-perbezaan manhaj atau metod dakwah yang digunakan oleh kelompok Islam masing-masing seringkali menjadi penyebab kepada perpecahan di antara mereka padahal mereka tidak berbeza pada asas-asas ‘fundamental’ dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` Umat.

Mereka seharusnya berusaha untuk saling mendekati kerana perbezaan mereka hanya sebatas perbezaan dalam metod berdakwah yang sifatnya ijtihadi.  Ada sebahagian kelompok umat :

1. Yang berdakwah dengan amar makruf nahi mungkar.
2. Yang berdakwah dengan memurnikan ajaran tauhid.
3. Yang berjihad secara langsung melawan musuh-musuh Islam.
4. Yang berjuang dengan mengajar dan memberi pencerahan kepada umat.
5. Yang berjihad dengan lisan dan tulisan.
6. Yang berjihad dengan menuntut ilmu.
7. Yang berjihad dengan hartanya.

Semuanya pada hakikatnya saling melengkapi kerana tidak mungkin satu kelompok dapat menjaga semua pos yang berusaha dijaga oleh kelompok lain. Ukhuwah terlalu besar untuk dirosak dan dimusnahkan oleh masalah khilafiah dan ijtihadiyah. Ukhuwah adalah perkara yang wajib dijaga sedangkan perpecahan terang-terang diharamkan oleh agama. Lantas apakah kita akan meninggalkan perkara yang wajib lalu mengerjakan yang diharamkan?

Setiap mujtahid mendapat pahala ijtihadnya kerana mereka berijtihad untuk menggali suatu hukum, tidak semata-mata untuk mengikuti hawa nafsu belaka tetapi hanya untuk mencari kebenaran. Kemudian, setiap orang yang mengikuti pendapat salah satu imam mazhab, semuanya bermaksud untuk mentaati Allah swt dan mengikuti Rasulullah saw. Mereka juga hanya diwajibkan untuk beramal dengan hasil yang dicapai oleh ijtihad mereka.

Contoh tauladan kita adalah generasi awal umat ini yang dibina secara langsung oleh Rasulullah saw. Sebahagian mereka ada yang berbeza pendapat dalam masalah-masalah fiqh, namun hati mereka tetap satu, tidak saling berpecah atau membenci.

No comments:

Post a Comment