Tuesday, January 4, 2011

PERBINCANGAN DALAM BINGKAI UKHUWAH

Kemestian berbeza pendapat tidaklah mencegah umat Islam untuk mengadakan perbincangan ilmiah dalam berbagai masalah yang mereka perdebatkan. Perkara ini justeru sangat positif kerana dapat mengurangkan sikap fanatik terhadap mazhab atau golongan tertentu.

Dengan kajian yang mendalam terhadap dalil dan analisa ketepatannya, kita mampu membuat perbandingan antara banyak pendapat dan sebagainya, maka setidak-tidaknya kita akan sampai kepada pendapat yang benar atau secara minimanya kepada pendapat yang paling kuat. Yang paling penting dalam perbincangan ini adalah :

1. Keikhlasan untuk mencari kebenaran.
2. Tidak ada kecenderungan atau kepentingan apapun selain dari di atas.
3. Mesti berdasarkan kaedah saling nasiat-menasihati dan musyawarah.
4. Tetap berada di bawah payung ukhuwah serta rasa saling mencintai.

Kalaupun berlaku perdebatan, ia bukanlah debat untuk memenangkan kepentingan peribadi atau golongan kerana perdebatan seperti itu boleh membutakan hati sehingga kita tidak dapat melihat kebenaran.  Perdebatan ini tidak akan membuahkan hasil apalagi menyelesaikan masalah, bahkan akan menjadi masalah itu sendiri dan merumitkan masalah yang telah ada.Ketika perbincangan ilmiah telah sampai kepada sebuah pendapat yang terang kebenarannya, maka semua umat mesti bersatu dalam perkara itu.

Ini adalah kerana Allah swt tidak sekadar melarang berpecah-belah, tetapi juga melarang untuk tetap berselisih pendapat sesudah datangnya keterangan dan perbahasan yang jelas atas pendapat yang benar. Allah swt berfirman :

"Dan janganlah kamu seperti orang yang berpecah-belah dan berselisih, padahal sudah datang kepada mereka keterangan yang nyata." (QS Ali Imran : 105)

Jadi, perbezaan pendapat sebenarnya hanya boleh dalam perkara-perkara ijtihadiyah yang memang belum ada dalil tegas yang menyelesaikan perbezaan yang ada dan kewajiban kaum muslimin ketika itu adalah tetap toleransi dan saling mencintai.  Namun jika dalil telah jelas dan tegas, maka dalam hal ini Allah melarang kita untuk berbeza kerana tidak ada ijtihad dalam perkara yang sudah jelas dan tegas dalilnya. Nubuwwah Rasulullah saw menjelaskan bahwa akan berlaku di tubuh umat ini banyak :

1. Kemaksiatan.
2. Kezaliman.
3. Penyimpangan.
4. Kesesatan.
5. Perpecahan.

Tapi, apakah kita mahu menjadi :

1. Orang yang bermaksiat?
2. Orang yang berbuat zalim?
3. Orang yang menyimpang?
4. Orang yang sesat?
5. Orang yang berpecah belah?

Mengapa kita tidak berusaha untuk :
1. Membersihkan hati kita.
2. Menjalankan ketaatan.
3. Melaksanakan perintah Allah dan RasulNya.
4. Berlaku lurus dan adil.
5. Berusaha menjalankan kewajiban mencintai kaum muslimin.
6. Menjadi orang yang tetap melakukan usaha menyatukan kaum muslimin.

Sungguh, hidup ini :
Terlalu mahal untuk dibayar dengan perpecahan dan perselisihan.
Terlalu sempit untuk dipenuhi oleh rasa saling benci.
Terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perdebatan yang tidak bermanfaat.

Alangkah indahnya jika hidup yang mahal ini kita tebus dengan persatuan yang berlandaskan :
1. Semangat ukhuwah yang tinggi.
2. Saling cinta-mencintai.
3. Manifestasi dengan amalan-amalan yang bermanfaat bagi masa depan dunia dan akhirat.

Ya Allah, satukanlah hati-hati kami di atas DeenMu yang lurus. Tautkanlah ia dengan semangat ukhuwah yang menyala. Janganlah engkau jadikan perbezaan di kalangan kami sebagai sebab kepada perselisihan dan perpecahan . Hindarkanlah hati kami dari perasaan kedengkian sesama saudara kami serta limpahkanlah perasaan saling cinta mencintai antara sesama kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen


WAS

No comments:

Post a Comment