Monday, April 23, 2012
Menerima jawatan atau pangkat, adakah satu hadiah atau anugerah bagi kita?
Sekiranya, hari ini anda menerima panggilan atau sepucuk surat perlantikan untuk memegang jawatan-jawatan tertentu dalam organisasi, apakah yang anda akan fikir ketika itu?
Barangkali ada yang menerimanya dengan senyuman. Barangkali ada yang menerimanya dengan rasa kesedihan. Atau mungkin juga kita tidak rasa apa-apa?
Bila kita diminta untuk menguruskan sesuatu program yang melibatkan ratusan bahkan ribuan peserta, bagaimanakah rasa ketika itu?
Biasanya, orang akan mengucapkan tahniah apabila kita diberikan apa-apa tanggungjawab. Tetapi, menerima tanggungjawab itu, suatu yang memang menggembirakankah atau bagaimana?
TANGGUNGJAWAB, IA ADALAH AMANAH
Semua itu, berkisar soal tanggungjawab. Bila kita membicarakan soal tanggungjawab, nyatalah ia bukan suatu yang ringan.
Allah telah berfirman dalam Al-Quran surah Al-An’am, 165 yang bermaksud :
“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Lihatlah, sebelum Allah tutup ayat itu dengan sifat-Nya, Allah telah sebutkan tentang ‘seksaan-Nya’.
Memang ada sebahagian kita menerima tanggungjawab, melebih sebahagian yang lain. Tetapi, tak dinafikan, masing-masing tetap mempunyai tanggungjawab terhadap dirinya sendiri walaupun tidak diberi tanggungjawab untuk mengetuai apa-apa organisasi atau kerja sekalipun.
Allah telah ingatkan akan seksaan-Nya yang bila-bila masa saja boleh menimpa kita sekiranya kita tidak amanah dalam melakasanakan tanggungjawab yang diberikan.
Juga dalam firman Allah s.w.t dalam surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud :
“Sesungguhnya kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka kuatir tidak akan dapat melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanah itu oleh manusia.”
Betapa beratnya amanah, sehingga langit yang luas, bumi yang lebih besar dari kita, gunung-ganang yang lebih gagah dan kukuh dari kita pun tidak sanggup memikulnya.
BETAPA BERATNYA TANGGUNGJAWAB
Para sahabat Rasul s.a.w sendiri bahkan, seboleh mungkin cuba mengelakkan diri daripada menerima jawatan.
Pernah suatu ketika, Saidina Umar al-Khattab hendak melantik seorang sahabat Nabi s.a.w. bernama Said bin Amir menjadi gabenornya di Homs, Syria. Said bin Amir ini adalah sahabat Nabi yang memeluk Islam kerana terkesan dengan peristiwa Khubaib bin Adi dibunuh. Dia memerhatikan sendiri peristiwa itu di depan mata ketikamana dia masih belum memeluk Islam.
Beliau seorang yang soleh dan sering memberi nasihat kepada dua orang khalifah Nabi s.a.w. iaitu Saidina Abu Bakar as-siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab. Suatu hari, di zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab, beliau ingin melantik Said menjadi gabenornya di Syria.
Kata Umar kepadanya, “Wahai Said, kami ingin mengangkat kau menjadi gabenor di Homs.”
Apakah jawapan yang dibalas oleh Said?
Adakah dia terus menerima tanggungjawab itu?
Ataupun dengan rasa bangganya, dia menerima tanggungjawab tersebut?
Tidak. Tidak semudah itu bagi beliau.
Beliau membalas Saidina Umar dengan katanya, “Wahai Umar, saya memohon kepada Allah supaya anda tidak mendorong saya supaya condong kepada dunia.”
Takutnya Said bin Amir hendak menerima tanggungjawab. Sehingga dianggapnya tanggungjawab itu, boleh merosakkan dirinya sekiranya tidak melaksanakannya dengan baik.
Itu para sahabat Nabi s.a.w. Mereka tidak meminta-minta tanggungjawab. Tetapi, bila diberi mereka melaksanakannya sebaik mungkin.
CONTOHI SAIDINA UMAR, ORANG YANG AMANAH DENGAN TANGGUNGJAWAB
Saidina Umar, seorang pemimpin yang sangat amanah dengan tanggungjawab yang ada padanya.
Pernah suatu malam, beliau meronda-ronda melihat keadaan hidup rakyatnya. Beliau sampai pada sebuah rumah dan terdengar tangisan di dalam rumah itu. Lalu, bila ditinjau-tinjau, ternyatalah anak-anak di dalam rumah itu kelaparan kerana sudah beberapa hari tidak makan. Ibu mereka hanya sekadar memanaskan air untuk mendiamkan mereka sehinggalah mereka tertidur kerana kelaparan.
Tidak ada makanan untuk mereka. Malam itu juga, Saidina Umar yang ditemani oleh pembantunya, Aslam, terus bergegas ke gudang makanan dan membawa bahan mentah untuk dimasak. Beliau sendiri bahkan yang mengangkat bahan mentah itu, tidak pula disuruh pembantunya yang melakukan perkara itu.
Bila diminta oleh pembantunya untuk membawa muatan berisi bahan mentah itu, Saidina Umar bahkan menjawab , “Apakah kau sudi untuk menanggung seksa untukku di akhirat nanti?”
Beliau seorang khalifah, pemimpin kepada beberapa buah wilayah Islam, tetapi sempat meluangkan masa melihat keadaan rakyatnya waktu malam tanpa perlu ramai pegawai di kanan kirinya melainkan hanya Aslam, dan tanpa perlu rakyatnya mengetahui kehadirannya juga.
Betapa rendah hati Umar.
Tidak padan dengan itu, sensitifnya beliau dengan amaran daripada Allah, menyebabkan beliau sendiri yang mengangkat muatan berisi bahan mentah untuk dimasakkan kepada keluarga yang sedang kelaparan itu.
Dalam sebuah kisah yang lain, ketika Hurmuzan, salah seorang pemimpin Parsi dihadapkan kepada Saidina Umar, beliau terkejut melihat Saidina Umar sedang tidur di masjid tanpa ada pegawai yang mengawalnya.
Dia bertanya, “Mana Umar?” Dia tidak tahu di depannya itu adalah Umar.
Mereka menjawab, “Inilah dia.”
Dia bertanya, “Mana pengawal peribadinya?”
Mereka menjawab, “Dia tidak ada pengawal peribadi.”
Dia berkata pula, “Pastilah dia seorang Nabi.”
Mereka menjawab, “Dia bukan seorang Nabi, tetapi dia melaksanakan tugas seorang Nabi.”
Seorang pemimpin hebat kepada beberapa buah wilayah Islam, hidupnya hanya sederhana dan biasa-biasa saja.
PENUTUP : KAU PASTI AKAN DITANYA DI SANA
Sabda Nabi s.a.w. dalam satu hadis yang bermaksud :
“Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” [HR Bukhari dan Muslim]
Kita pasti akan ditanya, dengan tanggungjawab yang ada pada kita.
Seorang ayah atau ibu, akan ditanya tentang apa yang dilakukannya terhadap keluarga dan anaknya.
Seorang guru, akan ditanya tentang didikan apakah yang telah diberikan kepada anak muridnya.
Seorang pemimpin negara, akan ditanya ke manakah dia telah membawa rakyatnya.
Dari sekecil-kecil tanggungjawab hinggalah kepada sebesar-besarnya, akan ditanya. Hatta kita yang mungkin merasakan tidak ada apa-apa, tidak mahu mengambil tanggungjawab apa-apa, pun akan ditanya apakah yang telah kita lakukan terhadap diri kita sendiri.
Amanah dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah, pasti Allah akan bantu kita untuk amanah dalam tanggungjawab kita sesama manusia.
Kita tidak meminta, tetapi bila diberi kita laksanakan sebaiknya.
Kita tidak mengejar dunia dengan tanggungjawab yang ada pada kita, tetapi kita mengejar syurga dan redha-Nya.
Maka, orang yang jelas matlamat dalam melaksanakan tanggungjawabnya, pasti akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh amanah. Dia tahu ke mana hendak dibawa dirinya dan orang di bawahnya dengan tanggungjawab yang ada padanya itu.
Moga dengan tanggungjawab yang ada pada kita,
Tidak menjadikan kita leka,
Bahkan semakin dekat dengan Dia !
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment