Kenyataan Media, 24 Julai 2012
BERSIH 2.0 mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan
dan Kuasa-kuasa Khas) oleh Yang Arif Datuk Rohana Yusof pada pagi ini
yang telah membatalkan pengisytiharaan yang dibuat oleh Menteri Dalam
Negeri yang mengisytiharkan Bersih adalah satu pertubuhan yang haram
pada 1 Julai 2011.
Hakim menyatakan bahawa arahan tersebut adalah tidak konsisten serta
“tidak rasional” (“tainted with irrationality”). Beliau menambah bahawa
keputusan untuk mengisytiharkan BERSIH 2.0 adalah haram, dilakukan tanpa
mengambil kira beberapa fakta yang relevan atau dengan mengambil kira
fakta-fakta yang tidak relevan.
Seperti yang dinyatakan oleh Yang Arif Hakim, adalah tidak munasabah
(“unreasonable”) bagi menteri untuk menyatakan BERSIH 2.0 sebagai haram
dengan alasan bahawa ia “membahayakan keselamatan awam” (“prejudicial to
public order and security”) pada 1 Julai 2011, namun selepas itu pihak
berkuasa terus melakukan perundingan dengan BERSIH 2.0 pada 5 Julai 2011
dan mengizinkan perhimpunan aman diteruskan pada 9 Julai 2011.
Ini merupakan tindakan-tindakan yang tidak konsisten terhadap sebuah
organisasi yang disebut sebagai mengancam keselamatan negara. Malah,
tiga orang daripada Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Dato’ Ambiga,
Dato’ A. Samad Said dan Hj Zaid Kamaruddin telah diperkenankan untuk
mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung seminggu sebelum
perhimpunan aman 9 Julai 2011. Tambahan pula tidak ada sebarang bantahan
kepada perhimpunan aman Duduk Bantah Bersih 3.0 yang diadakan pada
tahun ini yang telah diadakan pada 28 April 2012.
Seperti yang disebut oleh Pengerusi Bersama BERSIH 2.0, Datuk A.
Samad Said di luar mahkamah, selepas keputusan diumumkan pagi tadi,
sementara kita berasa lega kerana BERSIH 2.O telah terbela, seluruh
proses ini adalah membuang masa, tenaga dan wang rakyat, semata-mata
untuk mengharamkan BERSIH 2.0.
Kami maklum bahawa kerajaan mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan
terhadap keputusan hari ini, namun, demi negara kita yang tercinta ini,
secara jujur dan ikhlas, kami pohon agar ini tidak dilakukan. Malah kami
juga memohon agar semua saman terhadap
BERSIH 2.0 digugurkan kerana ia merupakan suatu pembaziran kepada
wang rakyat. Sebaliknya, kami berharap kerajaan mengambil maklum akan
realiti politik dalam negara dan berurusan dengan BERSIH 2.0 sebagai
wakil yang sah bagi rakyat yang inginkan pilihanraya yang bebas dan
adil.
Oleh itu, kami menyeru agar pihak kerajaan menghentikan permusuhan
dengan BERSIH 2.0. Sebaliknya kerajaan dan SPR hendaklah memberi tumpuan
kepada mesej BERSIH 2.0 yang penting, iaitu untuk menambah baik sistem
pilihanraya untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia.
Pihak berkuasa hendaklah mengembalikan seluruh aset dan harta BERSIH
2.0 yang telah dirampas pada 30 Jun 2011, antaranya komputer, kamera
video, T-shirt kuning, poster, gambar-gambar dan senarai ahli.
Bersih 2.0 mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia
yang telah memberi sokongan berterusan kepada perjuangan bagi mencapai
pilihanraya yang bebas dan adil. Rakyat telah menyatakan pendirian
mereka apabila mereka dengan berani tampil bagi menjayakan perhimpunan
aman pada 9 Julai 2011 dan 28 April 2012. Sementara hari ini menyaksikan
satu kejayaan yang bermakna, sokongan yang berterusan dari seluruh
rakyat Malaysia amat diperlukan bagi memastikan negara Malaysia yang
benar-benar demokratik dapat diwujudkan!
Terima kasih.
Keluar Mengundi, Lawan Penipuan!
Jawatankuasa Pemandu
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 terdiri daripada: Dato’ Ambiga Sreenevasan
(Pengerusi Bersama), Datuk A. Samad Said (Pengerusi Bersama), Ahmad
Shukri Abdul Razab, Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Awang
Abdillah (Kuching), Dominic Hii (Sibu), Dr Farouk Musa, Hishamuddin
Rias, Liau Kok Fah, Mark Bujang (Miri), Maria Chin Abdullah, Niloh Ason
(Kuching), Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin
Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.
No comments:
Post a Comment