Tuesday, July 24, 2012

PUASA DAN TARBIYAH RUHIYYAH

Penulis: Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria (Putrajaya)

Antara kehebatan Islam ialah ia dapat menyeimbangkan di antara material dan ruh dalam nisbah yang seimbang di mana seseorang itu mampu menikmati kepuasan dengan kedua-duanya serentak. Material adalah asas terbinanya jasad untuk menguatkannya bangun melakukan ibadat kepada Allah SWT. Begitu juga ruh merupakan asas dari sudut maknawi dalam diri manusia itu agar dia berupaya mengecapi kemanisan Iman dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai Din (agama) dan Sayyidina Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul.
Al-Quran telah menegaskan hakikat ini melalui firman Allah Azzawajalla:
﴿وَابْتَغِ فِيمَا آَتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآَخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ﴾ (77)
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “. (Al-Qasas: 77)
Seorang muslim yang benar dan kuat Imannya akan menjadikan Allah SWT sebagai matlamat bagi segala amalannya, asasnya berdasarkan firman Allah Azzawajalla:
﴿قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ﴾(162)
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”. (Al-Ana’am: 163)

Sesungguhnya puasa Ramadhan adalah merupakan asas terpenting tarbiyah ruhiyah dan penyucian hati. Ia merupakan rawatan yang amat efektif bagi membuang segala jenis penyakit hati seperti keras hati, malas melakukan ketaatan dan menunaikan ibadat, sempit dada, penyakit lalai daripada mengingati Allah Ta’ala hingga terjerumus ke lembah pelbagai maksiat.
Puasa adalah perisai bagi jiwa manusia:
Puasa adalah madrasah tarbiyah ruhiyah, di mana ia membangunkan adab bagi jiwa manusia serta membetulkannya, membersihkan hati-hati manusia daripada mengabdikan diri kepada harta, menguat dan memperdalamkan keimanan kepada Allah Ta’ala, menyucikan ruh dan jasad daripada kezaliman material, seterusnya memelihara manusia daripada kekotoran syahwat kebinatangan jasad bilamana syariat Allah dicerobohi pada bulan mulia ini.
Puasa melindungi jiwa manusia daripada api neraka. Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad hasan daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW:
Allah berfirman: ‘Puasa itu adalah perisai yang berfungsi melindungi hamba daripada api neraka dan puasa itu bagiKu dan Akulah yang membalasnya.
Kesan-kesan puasa dari sudut ruhiyyah:
Kesan puasa dari sudut ruhiyyah banyak, antaranya sebagai contoh:
Pertama: Puasa menambahkan ketaqwaan dan kebaikan, memeliharanya daripada penyelewengan dan maksiat. Asasnya adalah tarbiyah ruhiyyah. Allah SWT berfirman:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ﴾ (183)
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".
Ayat ini menerangkan bahawa matlamat daripada puasa itu ialah taqwa.
Kedua: Puasa membawa kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan serta memelihara jiwa manusia daripada ketakutan dan kerisauan. Seorang muslim akan gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan justeru membuat persediaan sebaik-baiknya kerana mengingati sabda Rasululllah SAW:
“Saat menjelangnya Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu-pintu neraka dan dirantai segala syaitan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga: Puasa melatih jiwa seseorang membiasakan diri dengan doa dan ibadat, lalu akan memeliharanya daripada sifat takabbur. Doa orang yang sedang berpuasa mustajab. Di tengah-tengah ayat-ayat puasa terdapat ayat tentang doa:
﴿وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ﴾(186)
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul".
Dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam Qadar yang kelebihannya lebih baik dari 1,000 bulan di mana orang yang berpuasa sentiasa digalakkan memperbnyakkan doa yang baik seperti hadis riwayat Aisyah RA berbunyi:
"اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني
Keempat: Puasa menyuburkan jiwa seseorang muraqobah dalaman, di mana dia merasai bahawa Allah Azzawajalla sentiasa meniliknya dalam setiap urusan hidupnya. Badannya berpuasa, anggotanya berpuasa dan hatinya berpuasa. Dengan demikian puasa memeliharanya daripada setiap sesuatu yang akan merosakkan pahalanya. Allah SWT berfirman:
﴿وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِير﴾ٌ(4)
"Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan".
Rasulullah SAW bersabda:
اعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك""  
“Dan beribadatlah kamu kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah, kalau demikian maka percayalah bahawa sesungguhnya Allah sentiasa melihat kamu”.
Kelima: Puasa akan menambahkan seseorang keikhlasan dalam beramal seraya menjauhkannya dari sifat nifaq, riya’ dan sombong. Puasa hanya bagi Allah Azzawajalla semata-mata dan hanya Allah yang membalas pahala orang yang berpuas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Rabbil Izzah, firmanNya:
كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فهو لي وأنا أجزي به  
“Setiap amalan anak adam adalah baginya kecuali puasa, puasa itu kepuyaanKu dan Akulah yang akan membalasnya”.
Keenam: Puasa melatih jiwa seseorang untuk berjihad dan memeliharanya daripada bersifat pengecut dan takut. Bermujahadah dengan jiwa yang sentiasa inginkan makan, minum, syahwat, sabar, kesusahan dan sebagainya akan memberi kekuatan kepadanya berjihad melawan musuh-musuh Islam.
Rawatan penyakit hati/jiwa
Puasa merupakan banteng bagi jiwa manusia dari terjerumus ke lembah maksiat yang terang maupun yang tersembunyi, dek kerana orang yang berpuasa sentiasa hidup dalam suasana keimanan di antara bacaan Quran, qiam, doa dan ibadat bersama-sama hamba-hamba Allah yang soleh.
Puasa juga merupakan ubat yang berupaya merawat hati yang keras kerana ia boleh melunakkan hati kepada Allah SWT yang telah menciptanya dan mengurniakan rezki kepadanya. Dia (Allah) lah juga yang akan memati, memasukkanya ke kubur, membangkitkannya kembali dan seterusnya menghisabnya pada hari yang tiada manafaat lagi harta dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Maka puasa adalah rawatan yang amat efektif menyelesaikan masalah futur (rasa lemah) yang menghinggapi jiwa manusia lalu bermalas-malaslah dia daripada melakukan ketaatan, ibadat di mana seorang yang berpuasa akan selalu bersama para hamba Allah di majlis-majlis zikir dan doa.
Pesanan buat pemilik hati yang berpuasa
Rebutlah peluang di bulan Ramadhan ini untuk mentarbiyah hati agar ikhlas kepada Allah dan membersihkannya daripada sifat nifaq dan riya’

Rebutlah peluang untuk mentarbiyah hatimu sentiasa tunduk dan taat kepada Allah Tuhan Semesta Alam, justeru akan hilanglah nanti perasaan takabbur dan suka bermegah-megah

Rebutlah peluang untuk menumpukan perhatianmu kepada Allah SWT dengan doa dan ibadat, penuh mengharap keampunanNya dan menyucikannya dari kealpaan dengan sentiasa mengingati Allah SWT

Rebutlah peluang di bulan mulia ini untuk tundukkan hatimu kepada muraqobatullah Azzawajalla, nescaya nanti akan bertambahlah ketakutanmu terhadapNya

Rebutlah peluang di bulan mulia ini untuk melatih dirimu berjihad melawan hawa nafsu supaya kamu termasuk menjadi orang yang mempunyai keazaman dan kemahuan yang kuat

No comments:

Post a Comment