KENYATAAN MEDIA, GABUNGAN SELAMATKAN SYRIA
(GSS),
24 JULAI 2012 / 4 RAMADHAN
1433H
Gabungan Selamatkan Syria (GSS) yang diwakili oleh
Pertubuhan Ikram Malaysia, ABIM, Haluan Malaysia beserta gabungan melebihi 30
NGO di Malaysia menyokong tindakan kerajaan Malaysia
menutup kedutaan Malaysia di Syria, walaupun tindakan ini dilihat agak terlewat berbanding negara maju lain
yang telah lebih awal mengusir kedutaan Syria di negara mereka seperti
Jerman,Jepun dan Australia.
Justeru, GSS menggesa kerajaan Malaysia untuk turut mengambil tindakan
mengusir kedutaan Syria di Malaysia dan menghentikan hubungan diplomatik dengan
kerajaan rejim Bashar Al-Assad bagi membuktikan kesungguhan kita menolak semua
bentuk kezaliman yang berlaku di Syria serta sokongan moral kita terhadap
rakyat Syria. Selain dari itu, tindakan membekukan sebarang aset milik
keluarga Basyar Al-Assad sekiranya berada di Malaysia juga perlu diambil.
Kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan
orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang
dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya sebelum ini.Mereka
mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan
rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol
dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada
memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan
kanak-kanak.
Kerajaan Malaysia tidak seharusnya mencontohi
Republik Iran yang masih mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar Al-Assad yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga
Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Basyar yang merupakan Syiah
Alawiyah. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah
masih menyokong rejim Basyar di Syria.
Selaku sebuah Negara yang dihormati oleh
Negara Islam, Malaysia haruslah memainkan peranan besar dalam
membantu perjuangan rakyat Syria yang mendapat sokongan Kesatuan Ulama Sedunia
yang diketuai oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Rumusan Muktamar Ulama Sedunia
yang berlangsung di Istanbul pada 1-3 Julai lepas telah berseutuju bahawa:
“Muktamar menegaskan bahawa revolusi rakyat
Syria dari segenap sudutnya adalah revolusi yang haq/benar menentang kezaliman,
revolusi yang adil menentang kejahatan dan permusuhan, revolusi untuk kebebasan
melawan pelampau, diktator, kerosakan, pembunuhan dan pencerobohan, serta
revolusi tuntutan yang bebas, adil dan terhormat yang berkait dengan asas ummah
dan identitinya dan memelihara kesatuan bumi Syria serta rakyatnya dan
mengekalkan kemerdekaannya yang total”
Selaras dengan fatwa yang dikeluarkan ketika
Muktamar agar;
“Wajib ke atas setiap pemimpin umat Islam
agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada kebangkitan rakyat Syria. Sokongan
samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar
kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga perlu menyatakan sokongan
dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan Syria yang telah berjihad
dan berjuang melawan regim Basyar yang zalim”
Menjadi satu kewajipan bagi Kerajaan dengan
kerjasama seluruh rakyat Malaysia bagi membantu perjuangan rakyat di Syria
dengan:
1. Memberikan sokongan moral
kepada rakyat Syria
2. Menghentikan hubungan
diplomatik Kerajaan Malaysia dan Syria sehingga Kerajaan Syria baru yang
demokratik ditubuhkan
3. Membantu mangsa kezaliman
yang berlindung di kem pelarian di sempadan Syria
4. Menganjurkan misi
kemanusiaan bagi menyediakan kemudahan perubatan kepada mangsa yang cedera
5. Memberikan bantuan material
seperti bahan perubatan,makanan,dan wang ringgit bagi menampung keperluan
pelarian
6. Berdoa dan
bermunajat sempena Ramadan untuk kemenangan perjuangan rakyat Syria
Sebagaimana usaha kerajaan dan rakyat
Malaysia membantu mangsa kezaliman rejim Zionis di Palestin, pengemblengan
usaha ini juga harus dilaksanakan kerana mereka menjadi mangsa kezaliman rejim
yang membunuh rakyat mereka sendiri.
Oleh yang demikan, GSS yang mewakili 30 NGO
pelbagai latarbelakang agama dan bangsa di Malaysia menyeru Kerajaan
Malaysia mengambil tindakan proaktif dan tegas dalam menangani kemelut yang
melanda saudara kita di bumi Syria ini sebagai solidariti kita sebagai umat
Islam sempena bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga usaha kita akan diberkati
dan kemenangan akan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.
Naim
Jusri
Pengerusi
Sekretariat
Gabungan Selamatkan Syria (GSS)
No comments:
Post a Comment