Thursday, December 16, 2010

Kita dididik untuk menjadi umat yang berakhlak


Kita dididik untuk menjadi umat yang berakhlak. Kita sentiasa dituntun oleh Allah swt dan Rasulnya saw untuk menjadi orang-orang yang mahu berkorban dan memberi.
 
1. Berkorban untuk memberi petunjuk kepada orang lain.
2. Memberi untuk meringankan pada orang lain.
3. Berusaha untuk menyampaikan kebaikan pada orang lain.
 
Semua aktiviti di atas kita lakukan walaupun perlu membebankan diri kita atau menyusahkan diri kita sendiri.
 
Kita sentiasa diajar untuk terus menebarkan kebaikan walau di mana sahaja.
 
Menjadi suatu umat umpama lebah di mana ia sentiasa :
 
  1. Hinggap di tempat yang baik.
  2. Menghisap yang paling baik.
  3. Menyebarkan yang baik dan bermanfaat berupa madu bagi manusia.
Itulah akhlak kita dan itulah ciri khas dan jati diri umat dan sejarah kita.
 
Kita tidak diajar untuk menjadi seperti lalat di mana ia sentiasa :
 
  1. Hinggap di tempat yang paling kotor.
  2. Mengambil yang kotor.
  3. Menyebarkan kekotoran untuk merosakkan manusia.
Harm bin Hayyam, seorang ahli ibadah yang menjadi pegawai Saiyyidina Umar Al Khattab ra pernah berkata :
 
“ Tiada seorang hamba yang mendekatkan hatinya pada Allah melainkan Allah akan mendekatkan hati orang-orang yang beriman kepadanya hingga ia mendapat kasih sayang mereka.”
 
Dalam sebuah riwayat, Muhammad bin Jahm didatangi seseorang yang ingin membeli rumahnya. Ia berkata :
 
“ Berapa engkau akan beli rumahku yang mempunyai jiran tetangga seperti Said bin Al Ash. Bagaimana engkau menilai harga jiran tetangga yang jika engkau memintanya dia akan memberi kepadamu dan jika engkau diam, ia menegurmu lebih dahulu dan jika engkau berbuat jahat padanya, ia tetap berbuat baik padamu dan jika engkau jauhi dia, maka ia tetap berlemah lembut kepadamu?”
 
Mari kita semak sebuah wasiat Abu Jaafar bin Al Baqir kepada Umar bin Abdul Aziz agar khalifah yang mendapat jolokan khalifah Rasyidin yang kelima itu mendapat kedudukan yang baik di tengah rakyatnya.
 
“Jadikanlah kedudukan manusia dalam dirimu tiga perkara.
 
  1. Orang yang lebih tua darimu adalah orang tuamu.
  2. Orang yang setara denganmu adalah saudaramu.
  3. Orang yang lebih kecil darimu adalah anakmu.
Maka :
 
1.  Berbaktilah pada orang tuamu.
2.  Sambunglah hubungan dengan saudaramu.
3.  Kasihilah anakmu.
 
Akhlak yang baik bukan semata-mata hanya cirri-ciri seseorang muslim tapi menurut Yahya bin Mu’adz rahimahullah, akhlak yang baik adalah kunci dan pintu rezeki di mana ia berkata :
 
“Akhlak yang baik adalah simpanan rezeki yang banyak.”
 
Sayyid Muhammad Nuh, seorang sahabat Imam Hasan Al Banna pernah bercerita ketika ia berada di dalam sebuah kereta bersama Hasan Al Banna di jazirah Khadra’, sebuah wilayah di Timur kota Rasyid.
 
Ketika kereta berhenti di sebuah lampu trafik yang sedang merah, Imam Hasan Al Banna melihat ada sedikit air di hadapan polis trafik. Ia kemudiannya meminta izin kepada polis tersebut untuk meminumnya.
 
Polis tersebut terasa gembira sekali dan mempersilakan Imam Hasan Al Banna untuk minum. Beliau lalu menyempatkan diri berbicara beberapa kalimat dengan polis tersebut.
 
Ketika kereta sudah bergerak, Muhammad Nuh berkata kepada Hassan Al Banna, “Mungkin air yang sedikit tadi tidak berapa bersih” Imam Al Banna memandang kepadanya seraya berkata, “Kita telah berhenti sesaat. Kita perlu mengambil manfaat dari yang sesaat tadi untuk menyebarkan dakwah.”
 
Ini memang sesuatu yang logik di mana amal soleh dilakukan kerana dorongan keimanan.
 
Imanlah yang mendorong seseorang untuk berbuat baik meskipun secara mata kasar mungkin ternampak sia-sia bahkan mungkin menjadi suatu bebanan atau kesulitan.
 
  1. Kebaikan mesti diberikan kepada siapa sahaja.
  2. Keadilan mesti juga diberikan kepada sesiapa sahaja.
  3. Kezaliman mesti dijauhkan dari sesiapa sahaja.
Itulah sendi-sendi ajaran Islam yang disampaikan kepada kita.
 
Abdullah bin Umar pernah menyembelih kambing. Pembantunya bertanya,”Apakah engkau akan menghadiahkan pada jiran tetangga kita orang Yahudi?” Ia menjawab,”Ya, kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda :
 
“Jibril terus menerus berwasiat kepadaku agar berbuat baik terhadap jiran tetangga sehingga aku aku menduga bahwa jiran tetangga itu mempunyai hak waris.” (HR Bukhari)
 
Mari kita perhatikan firman Allah swt menasihati Rasulullah saw yang ertinya :
 
“Katakanlah,upah apapun yang aku minta kepadamu, maka itu untuk kamu. Upahku hanyalah dari Allah dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS Saba’ : 47-48)
 
Itulah petunjuk yang menghantarkan kepada pemikiran yang berlandaskan keimanan.
 
  1. Memberi tanpa mengharapkan balasan.
  2. Berkorban tanpa meminta hadiah.
  3. Menyeru dan berusaha mendakwahkan kebaikan kepada orang ramai dan hanya mengharapkan balasan dari Allah swt.
Logik apakah lagi selain keimanan yang boleh menerima kewajiban anjuran berzakat, infaq dan sedekah?
 
Ukuran apa selain keimanan yang boleh memahami jihad yang dilakukan seorang mujahid hingga ia berada di antara kemungkinan akan mati?
 
Terbayangkah oleh logik kita, jika ada orang yang meminta mati demi membela orang lain dalam jihad?
 
Rasulullah saw bersabda :
 
“Barangsiapa yang memohon  kepada Allah swt dengan tulus dan sungguh-sungguh untuk mati syahid, maka Allah swt akan memberikan kedudukan sebagai syuhada’ walaupun ia meninggal di atas tempat tidur.” (HR Tirmizi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
 
Jangan kita mundur dalam memberi pengorbanan untuk orang lain dan jangan berhenti memberi dan berusaha untuk melahirkan kebahagiaan untuk orang lain.
 
Mungkin ada yang tidak setuju dengan bentuk pengorbanan yang kita berikan pada orang lain kerana dianggap menyusahkan diri sendiri.
 
Mungkin juga, ada yang menggangap usaha kita untuk kebahagiaan bagi orang lain itu membebankan dan tidak ada faedahnya.
 
Bahkan tidak mustahil apabila kita bersikap jujur dan tulus kepada orang lain, orang itu mungkin akan menipu kita.
 
Namun, tetaplah jujur dan tulus.
 
Jika kita mengalami ketenangan dan kebahagiaan, mungkin ada orang yang irihati, tapi tetaplah syukuri kebahagiaan kita.
 
Kebaikan kita hari ini, mudah dan sering dilupakan orang, namun jangan sekali-kali berhenti dari melakukan kebaikan kerana inti masaalahnya adalah antara kita dengan Allah bukan antara kita dengan manusia walau siapapun dia.
 
Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang mudah berkorban untuk melakukan kebaikan demi manfaat manusia lain. Tetapkanlah azam dan niat ikhlas kami semata-mata mengharapkan wajahMu tanpa mengharapkan apa-apa balasan  dari manusia.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

No comments:

Post a Comment