Monday, December 27, 2010

MENUTUP AURAT: LAMBANG KEPERIBADIAN WANITA UNGGUL

Tampil cantik dan bergaya merupakan fitrah semulajadi wanita. Namun dewasa ini, masyarakat cenderung mengikut acuan Barat dan selera fesyen pihak yang tidak menepati prinsip berpakaian wanita Islam. Trend yang lebih memberi tumpuan kepada aspek kecantikan fizikal menjadikan wanita Islam semakin keliru dalam meneliti neraca kecantikan sebenar yang dibenarkan oleh Islam.

Wanita JIM Selangor amat prihatin mengenai penampilan wanita dan persoalan berkaitan dengannya. Kefahaman mengenai imej wanita Islam yang sebenar dan contoh perlu diwujudkan agar ia dapat membentuk budaya dan tata cara berpakaian berdasarkan kepada tuntutan syariat Islam. Sehubungan dengan ini, Wanita JIM Selangor akan menganjurkan Bengkel Personaliti Unggul dengan tema ”Wanita Unggul Teras Negara”. Ia bertujuan untuk melebarkan kefahaman kita sebagai wanita Islam terhadap konsep ”menutup aurat” yang sebenar.

Selari dengan hasrat ini, objektif yang ingin dicapai oleh bengkel ini adalah untuk :

1. Membina jati diri wanita

2. Memastikan wanita memahami tatacara pakaian dan tanggungjawab mereka tanpa pengabaian nilai moral, sifat kewanitaan dan maruah dirinya.

3. Membuka perspektif wanita bahawa personaliti unggul bukan sahaja dilihat dari aspek fizikal tetapi juga emosi, mental dan spritual.

Kami berhasrat melalui bengkel ini wanita Islam akan menyedari bahawa berpakaian menutup aurat berkesan untuk memelihara kesejahteraan dalam hubungan sosial dan mampu membentuk keperibadian unggul yang mengesani bangsa dan negara. Kita perlu menukar tanggapan umum masyarakat bukan muslim yang secara stereotaip bahawa wanita Islam akan ketinggalan zaman, menjadi pasif disebabkan sekatan fizikal yang berlaku kepada mereka!

Contoh dari pemasyhuran Raja Permaisuri Agung yang tampil dengan busana Diraja yang menutup aurat, sopan dan anggun, menggambarkan ciri kewanitaan yang istimewa. Yang unggulnya ia masih lagi dalam batas tata cara berpakaian yang memberi nilai tambah pengaruh positif kepada semua warga wanita di Malaysia. Penampilan seperti itu dilihat mempunyai identiti keperibadian yang menarik, secara langsung menuntut individu tersebut dihomati bukan kerana kecantikan fizikal semata-mata, tetapi kerana ketinggian pemikiran dan keluhuran peradaban.

Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Ahzab:59:

”Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Pelari pecut wanita Bahrain, Ruqaya Al Ghasara mengkagumkan peminat olahraga di Sukan Asia apabila meraih pingat emas dalam acara 200 meter walaupun berpakaian menutup aurat dan bertudung. Malah katanya, dengan mengenakan pakaian lengkap wanita Islam itu telah mendorongnya berlari lebih pantas sekali gus membuktikan bahawa wanita Muslim masih boleh berjaya dengan berpakaian seperti ini. 

Perlu ditegaskan bahawa perlaksanaan hukum menutup aurat kepada wanita dalam Islam bukan sekadar untuk kebaikan dirinya, tetapi juga untuk memelihara fitrahnya, ciri kewanitaannya dan menghormati peranannya sebagai pembawa risalah keibuan yang matlamatnya ialah pembentukan ketamadunan generasi negara masa hadapan.

Oleh kerana ini, Wanita JIM Selangor merasakan selagi konsep ini tidak ditafsir dan dihayati dengan baik oleh semua pihak, selagi itulah kesejahteraan masyarakat tidak akan dapat dikecapi. Semoga bengkel ini dapat memberi pendedahan dan kesedaran perihal pentingnya menonjolkan tatacara penampilan wanita Islam sebenar sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Kami sentiasa ingin menyumbang kepada pembangunan dan pembentukan masyarakat wanita Islam di Malaysia. Diharapkan usaha ini mengorak langkah kepada mencorak keperibadian unggul yang akan terjelma dalam aspek keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

Bersama Islam Membina Masyarakat

Dr. Ruziaton Hasim
Bekas Ketua Wanita JIM Selangor

No comments:

Post a Comment