Tuesday, February 1, 2011

Kepentingan Menjiwai Kedatangan dan Pengaruh Islam kepada Masyarakat Melayu.

Siri Tiga (3) Tulisan Dr Hafidzi Mohd Noor


Bahasa Melayu yang mengalami evolusi yang pesat ini mencetuskan satu revolusi pemikiran yang tidak pernah disaksikan di kalangan orang Melayu. Bersama dengan revolusi ini lahirlah forum-forum, perbahasan  dan penulisan-penulisan ilmiah yang mengungkapkan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan falsafah. Senario ini amat berbeza di zaman sebelum kedatangan Islam atau zaman pra-Islam. Apabila pengembara Ibn Battutah melawat Asia, beliau telah singgah di Pasai pada tahun 1345[1]. Beliau telah menceritakan pengalamannya di dalam bukunya yang masyhur iaitu 'ar-Rehlah'. Beliau sempat menghadiri majlis ilmu yang dihadiri oleh Sultan al-Malikus Zahir, pemerentah Pasai pada zaman itu[2]. Sultan dikatakan mengikuti perbincangan-perbincangan ulama-ulama fiqh dengan penuh minat. Majlis ilmu (halaqat) tersebut di adakan seminggu sekali pada setiap hari Jumaat.  Bandingkan senario di atas dengan gambaran yang dilukiskan oleh Marco Polo apabila beliau melawat tempat yang sama 'Ferlec' pada tahun 1290an, lebih kurang 50 tahun sebelumnya. Di dalam buku catatannya 'Il Milionne’ (Pengalaman Mengembara ke beberapa bahagian Dunia), Marco Polo mengatakan penduduk-penduduk di Sumatera Utara mempunyai ekor dan mereka ini memakan daging manusia. Kapal yang dinaiki oleh Marco Polo sendiri berlabuh jauh ke tengah laut kerana takut ditangkap oleh manusia-manusia 'cannibal' tersebut. Marco Polo juga menceritakan bagaimana setengah-setengah bandar pelabuhan rakyatnya telah memeluk agama 'Muhammadan' (Islam) dan mereka ini bertamadun dan hidup dengan makmur[3].  Bandingkan juga dengan catatan Muhammad Cheng Ho mengenai penduduk yang belum dan yang telah memeluk Islam di sebuah tempat di Pulau Jawa pada tahun 1413[4]. Beliau melihat penduduk di sana boleh dibahagikan kepada tiga kelompok. Kelompok pertama ialah golongan Islam yang datang dari barat (timur tengah). Mereka digambarkan berpakaian rapi dan makanan mereka enak. Golongan kedua ialah orang-orang Cina yang lari dari negara mereka. Kebanyakkan dari mereka juga beragama Islam dan mengamalkan ajarannya dengan baik. Golongan ketiga ialah penduduk asli yang kotor dan busuk, berjalan ke sana-sini tanpa alas kaki dan alas kepala. Mereka ini dikatakan sangat takut kepada hantu-syaitan sehingga negeri mereka terkenal dengan sebutan ‘Negeri Hantu’. Ini bermakna dalam masa tidak sampai 50 tahun, Islam telah mengubah rupa bentuk, budaya dan pemikiran orang Melayu dan tiada yang dapat menghasilkan perubahan ini selain dari ilmu.

Kita melihat dalam zaman peralihan dari Hindu kepada Islam ini ditandai oleh kelahiran penulisan-penulisan ilmiah yang bermutu tinggi. Sedikit demi sedikit hasil-hasil sastera berteraskan cerita dewa-dewa seperti 'Hikayat Seri Rama' dan 'Hikayat Pandawa Lima' digantikan oleh kitab-kitab tasawuf, akidah dan fiqh[5]. Pendita-pendita, tukang-tukang karut, Brahmin dan sami-sami diganti dengan kemunculan tokoh-tokoh ulama, sufi dan pemikir Islam. Di antara nama-nama yang memberi sumbangan yang sangat besar kepada pembangunan ilmu dan pembinaan insan pada kurun-kurun awal kebangkitan Islam ialah Syeikh Hamzah Fansuri[6], Syeikh Shamsuddin as-Sumaterani[7], Syeikh Nuruddin Ar-Raniri[8], Syeikh Abdul Rauf As-Sinkeli.[9] Sastera-sastera rakyat turut diresapi oleh unsur-unsur Islam sehingga lahirlah beberapa karya penting seperti 'Hikayat Umar Umaiyah', ‘Hikayat Amir Hamzah’ dan 'Hikayat Muhammad Hanafiyah'. Pandangan hidup ‘worldview’ orang melayu  berubah dari sesuatu yang berasaskan estetika semata-mata kepada sesuatu yang lebih tinggi iaitu berdasarkan ilmu dan


[1] HAMKA, 1965. Sejarah Umat Islam: Perkembangan Islam di Nusantara. Kuala Lumpur: Pustaka Antara. hlm. 439.
[2] Ibid., hlm. 439. Sultan al-Malik az-Zahir dilaporkan oleh Ibn Batutah sebagai seorang yang alim dan mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang fiqah Mazhab Syafie. Kealiman baginda menjadikan Pasai sebagai tumpuan ulama’ dari Mesir, Mekah, Madinah, Yaman, Hadramaut dan Malabar. Baginda pergi bersolat jumaat dengan berjalan kaki dan hanya menunggang gajah atau kuda ketika pulang. Sultan juga aktif menyebarkan Islam di kawasan pendalaman yang masih jahil. Jika perlu menurut Ibn Batutah, Sultan akan menggunakan kekuatan tentera untuk melaksanakan tugas dakwahnya. 
[3] Mohd. Dahlan Mansoer. 1979.  Pengantar Sejarah Nusantara Awal. kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 134 – 140. Marco Polo bersama ayahnya saudagar dari Venice telah melawat Cina atas jemputan Maharaja Monggol, Kublai Khan. Marco Polo dilantik sebagai pegawai Kerajaan Mongol dan pernah ditugaskan untuk mengiringi puteri Monggol yang dikirim ke Parsi pada tahun 1292M. Dalam perjalanan ke Parsi beliau telah singgah di beberapa tempat di Sumatera. Di antara tempat-tempat tersebut ialah ’Ferlec (Perlak) dan Lamri. Menurut Marco Polo penduduk pendalaman masih biadab, memakan daging manusia dan berekor. Mohd Dahlan Mansoer yang mengutip petikan-petikan catatan perjalanan Marco Polo tidak menganggapnya sebagai sumber sejarah yang bernilai kerana sarat dengan prejudis, kisah yang pelik dan tidak masuk akal. Namun catatan Marco Polo ini mengesahkan Islam telah bertapak di Sumatera Utara pada akhir kurun ke 13M.
[4] Hamka, op. cit., hlm. 433
[5] Ali Ahmad dan Siti Hajar Che’ Man, 1966. Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 197 – 204.
[6] T. Iskandar. 1987. Hamzah Fansuri Pengarang, Penyair, Ahli Tasauf Abad Ketujuh Belas. Dlm. Mohamad Daud Mohamad (pnys.) Tokoh-tokoh Sastera Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 1 – 9.
[7] T. Iskandar. 1987. Shamsuddin as-Sumaterani Tokoh Wujudiah. Dlm. Mohamad Daud Mohamad (pnys.) op. cit., hlm. 45 – 53.
[8] Wan Mohd Shaghir Abdullah. 1987. Al-Allamah Syeikh Nuruddin Ar-Raniri. Dlm. Mohamad Daud Mohamad. op. cit., hlm. 90 – 100.
[9] Ibid., hlm. 63 – 71.

No comments:

Post a Comment