Tuesday, January 4, 2011

Perbezaan Rahmat, Perpecahan Azab

 "Ikhtilaf" atau berbeza pendapat dalam berbagai masalah agama adalah sesuatu yang wajar bahkan dalam keadaan tertentu menjadi suatu kemestian. Ini adalah kerana manusia memang diciptakan berbeza-beza bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa beberapa "perbezaan" itu memang dimaksudkan atau diinginkan oleh Pembuat Syariat iaitu Allah swt.

Jika Allah swt berkehendak untuk menurunkan Al-Qur’an dengan hanya memiliki satu interpretasi sahaja, maka perkara itu tidak sukar bagiNya. Begitu juga dengan Sunnah Rasulullah saw. Bahkan telah masyhur di kalangan ulama’ bahwa perbezaan dalam umat ini adalah rahmat.  Seorang ulama’ pernah menulis sebuah kitab dengan judul "Kitabul Ikhtilaf" (kitab perbezaan pendapat). Ketika ia menunjukkan kitab itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, beliau berkata :

"Jangan namakan kitab perbezaan pendapat, tapi namakan ia kitab keluasan."

Adalah sesuatu yang mustahil untuk menyatukan seluruh manusia dalam satu pandangan atau pemikiran tertentu kerana masing-masing mereka dianugerahkan oleh Allah swt perbezaan dalam pandangan, ilmu,  tujuan, keperluan, situasi dan keadaan lingkungan yang sangat berpengaruh terhadap paradigma dan cara mereka berfikir. Ini memang suatu kenyataan apabila kita melihat keadaan umat Islam di berbagai negara yang memang berlatarbelakangkan suku, adat istiadat dan bahasa yang berbeza-beza, ditambah pula dengan wujudnya kelompok-kelompok Islam yang berbagai ragam.

Sayangnya, kelompok-kelompok Islam tersebut sangat sukar untuk bersatu dan sangat suka berpecah belah hanya kerana perbezaan dalam perkara-perkara yang bukan termasuk “Tsawabit” agama (ajaran yang mempunyai sifat atau unsur yang tetap dan tidak berubah). Padahal perbezaan-perbezaan tersebut bukanlah menjadi alasan untuk bersengketa atau berpecah-belah.

Allah swt tidak melarang berbeza pendapat sejak dari awal lagi tetapi melarang berpecah-belah gara-gara perbezaan pendapat tersebut. Ulama’-ulama’ terdahulu sejak zaman sahabat, mereka berbeza dalam beberapa masalah namun mereka tetap terikat oleh tali Ukhuwah Islamiyah. Perbezaan-perbezaan tersebut jika tidak ditangani dengan benar, kadang-kadang boleh menyebabkan muslim sesama sendiri :

Saling mencela.
Saling menyesatkan.
Mungkin saling mengkafirkan.

Kita sering lupa bahwa kehormatan kaum muslimin adalah perkara yang amat dimuliakan di dalam Islam bahkan ia merupakan salah satu ‘maqashid’ (tujuan) agama ini iaitu memelihara kehormatan. Ketika haji Wada`, Rasulullah saw bersabda : "Sesunguhnya jiwa kamu, harta kamu dan kehormatan kamu haram (dinodai dan diganggu) seperti haramnya kehormatan hari ini, bulan ini dan tempat ini."  Namun gara-gara perbezaan yang sifatnya ‘ijtihadiyah’, kaum muslimin saling mencela dan menodai kehormatan sesama mereka.  Kita lupa pesanan Allah swt yang memerintahkan untuk berpegang teguh pada tali Allah dan melarang kita berpecah belah.  Allah swt berfirman :

"Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah...." (QS Ali Imran : 103)


No comments:

Post a Comment