Wednesday, April 18, 2012

ISA DIMANSUHKAN TETAPI DIGANTI DENGAN AKTA YANG LEBIH BURUK?


 

19 April 2012 Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik inisiatif untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) seperti yang telah dibentangkan di Parlimen. Seharusnya ISA dimansuhkan lama dahulu oleh kerana pelanggarannya terhadap prinsip-prinsip keadilan, kebebasan dan kemanusiaan sejak ia diluluskan 52 tahun yang lalu.

Namun IKRAM kesal dengan kelulusan rang undang-undang baru Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang dikatakan lebih baik daripada ISA. IKRAM juga kesal dengan kegagalan pihak Kerajaan mengadakan ruang rundingan awam yang munasabah sebelum rang undang-undang tersebut dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.

Walaupun terdapat beberapa penambahbaikan yang telah dilakukan seperti tempoh penahanan 60 hari dipendekkan kepada 28 hari namun ternyata melalui bantahan yang dibuat oleh pelbagai pihak, khususnya oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pakatan Rakyat, ternyata masih terdapat beberapa masalah besar berhubung akta baru berkenaan. Antaranya ialah kuasa tahan tanpa bicara 28 hari kepada polis, kesamaran tafsiran kesalahan keselamatan, peruntukan ikat jamin yang tidak dibenarkan, penahanan yang boleh terus dilakukan sehingga semua prosidur rayuan selesai dan penggunaan peranti pengawasan elektronik yang bercanggah dengan hak kebebasan bergerak dan privasi.

IKRAM berpendapat soal memelihara keselamatan dan menangkis ancaman keganasan kepada negara adalah penting namun ia tidak sama sekali boleh membenarkan apa sahaja tindakan termasuk penyalahgunaan kuasa, penyeksaan dan kezaliman, apatah lagi yang bercanggah dengan prinsip keadilan yang dituntut oleh Islam. Kaedah fiqh menyatakan bahawa sesuatu mudarat tidak boleh diatasi dengan suatu mudarat yang lain. Malah, IKRAM menentang mana-mana akta yang membuka pintu kezaliman dalam semua keadaan di setiap masa. Amatlah nyata berlakunya banyak pelanggaran berkenaan dalam ISA jika diteliti testimoni, dokumentasi, laporan dan pendedahan yang telah dibuat oleh bekas tahanan ISA dan ahli keluarga mereka. Akta baru ini memberi ruang kepada pelanggaranpelanggaran tersebut untuk berulang.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No comments:

Post a Comment