Sunday, September 26, 2010

Pandangan IKRAM berhubung dengan Enekmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor (2010)

Shah Alam 26 Sept 2010, JKMM IKRAM Negeri Selangor telah mengadakan sesi pencerahan maklumat berhubung dengan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat Negeri Selangor 2010. Dalam wacana tersebut Naib Presiden IKRAM Pusat yang merupakan Pengerusi JK Masyarakat Madani IKRAM Pusat, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh telah pun menyampaikan padangan IKRAM berhubung dengan cadangan penggubalan undang-undang yang akan dibentangkan dalam dewan undangan negeri tahun hadapan.


Antara penjelasan yang diberikan adalah undang-undang kebebasan maklumat yang dicadangkan ada menetapkan peraturan dalam pemerolehan maklumat yang dipegang oleh badan-badan kerajaan. Undang-undang tersebut menjelaskan proses perundangan yang mewajibkan maklumat kerajaan dibuka kepada orang awam. Enakmen itu juga bertujuan untuk “mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri.” Tujuannya untuk menggalakkan ketelusan dan menangani rasuah.

Walau bagaimana pun Enakmen ini hanya berkuatkuasa kepada Kerajaan Negeri Selangor dan jabatan-jabatan di bawahnya. Jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan walaupun bertempat ataupun bertugas di negeri Selangor tidak termasuk dalam enakmen ini. Maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) juga tidak termasuk. Sedangkan lebih daripada 70 buah negara di dunia, termasuk negara China, India dan negara Thai telah melaksanakan undang-undang kebebasan maklumat, dan banyak lagi dalam proses untuk berbuat demikian. Malaysia merupakan antara negara terakhir yang masih belum memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat.

Sebagai sebuah NGO yang berpegang kepada Islam sebagai asas kepada pengamalan dalam apa jua keadaan maka IKRAM mempunyai pandangan awal terhadap rang undang-undang yang dicadangkan tersebut. Prinsip-prinsip keadilan perlulah diperkukuhkan seperti ketelusan, kebenaran, keterbukaan, pertanggungjawaban, dan tadbir urus baik (good governance). Kebebasan maklumat boleh menyelamatkan negara dari amalan negatif dalam pentadbiran negara dan institusi berkaitan dengannya. Rakyat dapat mengetahui keadaan sebenar kedudukan sosial, politik dan ekonomi negara. Perancangan dan tindakan [akan] tepat dan selari dengan maklumat yang ada. [Tindakan akan] berdasarkan maklumat tepat, bukan interpretasi [yang] tidak berasas. Mudah mengesan penyelewengan, fitnah dan ketidak amanah rakyat dan pemimpin. Membenarkan penglibatan rakyat memberi pandangan yang bermaklumat. Walaubagai pun di peringkat Persekutuan, Akta Rahsia Rasmi 1972 selain daripada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang telah digunakan terhadap Suara Keadilan dan Harakah, Akta Hasutan 1949 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 telah mengekang hak rakyat untuk mendapat maklumat daripada kerajaan. Baru-baru ini Merdeka Centre telah menjalankan penyelidikan dan mendapati rakyat Malaysia terasa lemah-longlai dan lesu, seolah-olah mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka merasakan mereka tidak dapat menentukan apa-apa perkara dan hubungan mereka dengan kerajaan adalah longgar.

Sebagai rumusan IKRAM mendokong prinsip keadilan dan ruang lebih luas kepada penglibatan rakyat, menyokong hasrat tertulis Rang Undang-undang kebebasan maklumat negeri Selangor sebagaimana yang dinyatakan dalam tujuannya iaitu “bagi mempertingkatkan penzahiran awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri”. Namun begitu peruntukan Rang Undang-undang tidak mencerminkan hasrat tersebut iaitu “penzahiran atau kebebasan maklumat”. Telah sedia wujud had-had dan pengecualian serta proses tertentu sedangkan seharusnya semua maklumat adalah ‘accessible” kecuali yang diklasifikasikan. Seterusnya pemantauan/penelitian perlu kepada pelantikan dan tanggungjawab Pegawai Maklumat, Akses Maklumat dan Kaedah/proses perolehan maklumat.

No comments:

Post a Comment