Sunday, October 31, 2010

MENGAPA MATI SYAHID MENJADI IDAMAN?


Dalam Islam dan bagi kaum Muslimin, telah maklum bahwa hidup di dunia tidak selamanya dan kehidupan di akhiratlah yang abadi dan mesti menjadi keutamaan dan diusahakan semaksima mungkin pencapaiannya.

Tidak berguna jika hidup di dunia mulia, kaya raya, berumur panjang, namun akhirnya menemui kematian dengan buruk (su'ul khatimah) kerana yang menjadi perhitungan dan menentukan bagi kehidupan seseorang adalah bahagian akhirnya, apakah berakhir atau menemui kematian dengan buruk (su'ul khatimah) atau berakhir dengan baik (husnul khatimah).

Nabi saw bersabda :

"Sesungguhnya seorang hamba
benar-benar telah beramal dengan amalan ahli neraka padahal sesungguhnya ia termasuk ahli syurga, dan beramal dengan amalan ahli syurga padahal ia termasuk ahli neraka. Dan sesungguhnya amal-amal itu tergantung penutupannya." (HR Bukhari)

Syeikh Abdul Baqi Ramdhun dalam bukunya "Al Jihaadu Sabiluna" mengatakan :

`Islam mendorong kaum Muslimin untuk berjihad di jalan Allah dan
menggesa mereka untuk terjun ke kancah-kancah peperangan dan pertempuran dalam rangka meninggikan kalimat Allah, memberanikan mereka untuk menerjang bahaya dan kesulitan demi memperolehi ridha Allah, serta memotivasi mereka agar senang menyongsong maut dengan lapang dada, hati tegar, dan jiwa yang tenang lantaran menginginkan apa yang ada pada sisi Allah. Dan Allah telah membesarkan ganjaran dan pahala atas amal tersebut serta melimpahkan keutamaan dan anugerah di dalamnya.'

Beliau juga menjelaskan bahwa Allah swt telah menyiapkan bagi mujahidin dan orang-orang yang mati syahid di jalanNya berbagai karamah, anugerah, ketinggian maqam, dan ketinggian kedudukan yang tidak dapat dicapai melalui ibadah-ibadah yang lain seperti melalui solat, zakat, puasa, haji, serta seluruh bentuk ibadah dan `qurabah' (pendekatan diri kepada Allah) yang lain.

Dengan penjelasan ini, tidak hairanlah mengapa mati syahid menjadi kematian yang begitu tinggi kedudukan dan keistimewaannya dalam pandangan Islam dan menjadi dambaan setiap Muslim yang mengerti serta memahami permasalahan tersebut.

Beliau menjelaskan lagi dengan mengatakan :

"Penutup para nabi dan rasul, Muhammad saw, mengharapkan kedudukan ini. Perhatikan dan renungkan kedudukan seperti apakah yang diharapkan oleh sebaik-baik manusia ini. Beliau berharap menjadi seorang syahid.

`Demi jiwa Muhammad yang ada di tanganNya. Sungguh aku berharap boleh berperang lalu aku terbunuh, kemudian (hidup lagi) untuk berperang lalu aku terbunuh, kemudian (hidup lagi) untuk berperang lalu aku terbunuh'. (Al Hadits)

Hidup yang lama dan panjang ini diringkas oleh Nabi saw dengan petunjuk Allah swt dalam sabda Baginda di atas. Baginda sangat menginginkan kedudukan ini. Orang yang bahagia adalah orang yang telah dipilih oleh Allah swt sebagai seorang syahid."

Syeikh Jabir bin Abdul Qayyum As Sa'idi Asy Syami dalam kitabnya "Al Ishabah Fii Thalabisy Syahaadah" menjelaskan mengapa mati syahid atau menjadi syuhada' itu begitu memiliki kedudukan yang tinggi di dalam Islam.

Diriwayatkan dari Sahal bin Hanif, bahwasanya Nabi saw bersabda :

"Barangsiapa memohon mati syahid kepada Allah dengan tulus, nescaya Allah akan menyampaikannya ke darjat para syuhada' meskipun ia mati di atas katilnya. (HR Muslim, Tirmizi, Nasaiie dan Abu Daud)

Diriwayatkan dari Abu Ishaq, dari Al Barra', ia berkata :

Seseorang dari kalangan anshar datang lalu berkata : Aku bersaksi bahwasanya tidak ada `ilah' (sembahan yang benar) kecuali Allah dan bahwasanya engkau adalah hamba dan utusanNya. Kemudian ia maju dan berperang sampai terbunuh. Maka Nabi saw bersabda :

"Orang ini beramal sedikit namun diberi pahala banyak". (HR Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Oleh yang demikian, dalam pandangan Islam, sesungguhnya kejayaan yang paling utama dan anugerah yang paling baik yang diperolehi oleh seseorang itu adalah jika Allah memilihnya untuk mati syahid.

Nabi saw bersabda kepada seorang sahabat yang berdoa kepada Allah dengan mengucapkan :

`Ya Allah berikanlah kepadaku apa yang paling baik yang telah Engkau berikan kepada hambaMu yang soleh.'

Rasulullah saw bersabda kepada orang tersebut :

`Jika demikian kudamu akan tersembelih dan engkau akan mati syahid di jalan Allah'.

Maka `Mut Syahidan' atau mati syahid atau mati sebagai seorang syuhada' (orang yang berjihad di jalan Allah swt ) adalah kedudukan yang sangat besar dan tinggi yang tidak akan diraih kecuali oleh orang yang layak untuk mendapatkannya.

Dalam sebuah hadits dari Abu Hurairah ra disebutkan :

"Dikatakan, "Wahai Rasulullah, amal apa yang dapat menyamai (pahala) jihad fi sabilillah ? Nabi bersabda, "Kamu tidak mampu melaksanakannya." Lalu mereka mengulang pertanyaan itu tiga kali, dan semua dijawab, "Kamu tidak mampu melaksanakannya." ! Lalu Nabi saw bersabda, Perumpamaan mujahid fi sabilillah seperti orang yang puasa dan solat malam dan membaca ayat-ayat Allah dan tidak berhenti melakukan puasa dan solat sampai seorang mujahid fi sabilillah kembali." (HR Tirmizi)

Diriwayatkan dari Anas bin Malik ra bahwasanya Nabi saw bersabda:

`Tidak ada seseorang yang telah mati yang mendapatkan kebaikan di sisi Allah, kemudian dia ingin kembali ke dunia atau ia diberi dunia dan seisinya kecuali orang yang mati syahid. Sesungguhnya orang yang mati syahid itu berharap untuk dapat kembali ke dunia lalu ia terbunuh di dunia lantaran keutamaan mati syahid yang ia lihat. Dan di dalam riwayat lain disebutkan : lantaran kemuliaan yang ia lihat'.

Jadi, tidak ada yang salah dengan mati syahid.

Mati syahid bukanlah sebuah kematian yang :
  1. Sia-sia.
  2. Terhina.
  3. Perlu ditangisi.
  4. Diperlecehkan.
  5. Ditakuti.

oleh seorang Muslim.

Ini adalah kerana mati syahid ketika memperjuangkan agama Allah swt atau jihad fi sabilillah adalah sebuah kematian yang sangat tinggi dan mulia kedudukannya di dalam Islam, yang tidak mungkin dicapai dan diraih kecuali oleh orang-orang yang memang telah dipilih oleh Allah swt.

Nabi Muhammad saw sebagai contoh dan teladan kaum Muslimin memberikan ilustrasi yang begitu indah tentang mati syahid, di mana beliau begitu menginginkannya dan berharap boleh mencapainya.

Bukankah ini menjadi sebuah bukti yang tidak boleh dibantah lagi?

Adapun kehidupan mulia dalam Islam juga bukan bererti hidup mewah dan berpoya-poya serta lupa kepada Pencipta, Allah swt, sebagaimana sangkaan orang kebanyakan yang hidup pada ketika ini. Hidup mulia di dunia dalam pandangan Islam adalah sebuah ketundukan sepenuhnya seorang manusia, baik sebagai seorang hambaNya dan juga sebagai khalifahNya.

Kehidupan mulia di dunia hanya boleh tercapai jika semua syariat Islam dilaksanakan secara `kaafah' (menyeluruh) sehingga tidak hanya orang Islam yang akan mendapatkan rahmat, orang bukan Islam juga akan mendapatkan rahmat, bahkan alam semesta.

Maka sudah merupakan kewajiban bagi setiap Muslim untuk dapat meraih kehidupan mulia di dunia, iaitu dengan jalan sentiasa mengusahakan tertegaknya syariat Islam di muka bumi.

Dengan yang demikian, betapa indahnya matlamat serta penuh maknanya semboyan dan slogan yang telah diucapkan oleh sahabat dan kini menjadi popular kembali, iaitu `Isy Kariman au Mut Syahidan' (Hidup Mulia Atau Mati Syahid).

Kedua-duanya adalah kebaikan yang sangat diidamkan oleh setiap Muslim. Semoga kita dapat meraih salah satu dari keduanya, InsyaAllah.

Ya Allah, kuatkanlah perasaan persaudaraan dan prihatin kami terhadap saudara-saudara kami di Gaza. Sampaikanlah segala bantuan kemanusiaan dan barangan keperluan asasi yang dihantar ke sana kepada mereka-mereka yang memang memerlukannya dan selamatkanlah sukarelawan-sukarelawan yang membawa bekalan tersebut serta penerimanya dari ancaman musuhMu.
Kurniakanlah kepada kami dan mereka salah satu dari dua kebaikan samada `Hidup Mulia Atau Mati Syahid'.

No comments:

Post a Comment