Sunday, October 31, 2010

GAZA DAN PERSAUDARAAN ISLAM

Dengan begitu sengitnya medan jihad di Gaza, ada hikmah yang boleh kita ambil dari jihad di Gaza iaitu sebuah pemandangan indah bagaimana persaudaraan Islam. Walaupun mereka tinggal jauh dari Palestin dan walaupun sebahagian penguasa umat Islam sudah menjadi boneka AS, tapi hati mereka begitu dekat dengan tanah Palestin yang ditunjukkan melalui berbagai dokongan kepada mujahidin di Gaza.

Inilah keindahan Islam yang ketika ini disaksikan oleh seluruh warga dunia dan ini pulalah yang akhirnya menarik simpati dunia termasuk dari warga bukan Islam yang terpanggil dari sisi kemanusiaan mereka untuk ikut membantu umat Islam Palestin khususnya di Gaza sebagaimana yang ditunjukkan dalam misi konvoi `Freedom Flotilla' penghantaran bantuan kemanusiaan terbesar sebanyak 10,000 tan melalui kapal Mavi Marmara yang diserang oleh komando Israel beberapa bulan lepas dan juga yang terbaru konvoi Kemanusiaan Global Jalan Darat ke Gaza Viva Palestina ke-5 (VP-5).

Konflik Gaza juga tiba-tiba menyedarkan umat Islam seluruh dunia terhadap kejahatan Israel. Kesedaran ini membangkitkan semangat jihad mereka yang mungkin sudah redup atau diredupkan oleh agen-agen Zionis di mana sahaja mereka tinggal.

Ketika inilah akhirnya umat Islam tersedar dengan apa yang selama ini menjadi moto mujahidin Hamas di Gaza iaitu `Ish Kariman au Mut Syahidan' atau `Hidup Mulia atau Mati Syahid'.


Hidup Mulia atau Mati Syahid juga bererti hiduplah dengan mulia dan matilah secara syahid atau menjadi seorang syuhada' merupakan sebuah ungkapan yang pertama kalinya dikemukakan oleh ibu Abdullah bin Zubair, iaitu Asma' Binti Abu Bakar kepada puteranya, Abdullah bin Zubair.

Konteks ungkapan itu juga sangat heroik kerana ia disampaikan oleh Asma' kepada puteranya Abdullah bin Zubair agar tetap semangat berperang membela kebenaran hingga ke titik darah yang terakhir melawan kekuasaan Yazid bin Muawiyah ketika itu.

Ungkapan ini menjadi istimewa kerana ia diucapkan oleh seorang Sahabat atau Sahabiat, yang di dalam Islam memiliki kedudukan yang istimewa. Sebahagian ulama' bahkan berpendapat bahwa ucapan Sahabat termasuk dalil syar'i yang boleh dijadikan rujukan untuk melakukan amal perbuatan.

Asma' Binti Abu Bakar dalam Islam dikenali dengan gelaran "Dzatu An Nithaqayn" iaitu `Wanita Dengan Dua Tali Pinggang'.

Beliau mendapat julukan ini kerana membawakan makanan untuk Rasulullah saw dan Abu Bakar ketika hijrah dan memutuskan untuk membahagi tali pinggangnya menjadi dua untuk mengikat makanan dan air sehingga mereka dapat membawanya.

Sementara itu, Abdullah bin Zubair, dikenali dalam Islam sebagai seorang pemuda dan pejuang yang berani dan sentiasa bersedia berjuang untuk Islam. Dalam kehidupan seharian, beliau juga dikenali sangat tekun beribadah dan sebagaimana pesanan ibunya, beliau juga mengakhiri hidupnya sebagai orang yang syahid dalam memperjuangkan Islam.

Ulama' mendefinasikan ucapan sahabat sebagai :

"Apa sahaja yang terkait dengan rantai periwayatan yang shahih dan tidak terdapat pertentangan di dalamnya dengan dalil-dali syar'i (Al Qur'an dan Hadits), samada itu berupa perbuatan, perkataan, persetujuan (terhadap sesuatu) mahupun pendapat."

Kedudukan sahabat Rasulullah saw yang begitu tinggi dan mulia dalam Islam adalah disebabkan kerana mereka adalah orang-orang yang mendapatkan pengajaran langsung tentang Islam dari Nabi Muhammad saw.

Dengan yang demikian, merekalah, yakni para sahabat adalah golongan yang paling tahu dan mengerti makna Islam dan aplikasinya dalam kehidupan sehari-hari.

Banyak dalil Al Qur'an mahupun hadits yang menjelaskan kedudukan para sahabat dalam Islam yang begitu tinggi dan kewajiban kaum Muslimin untuk mengikuti mereka.


Beberapa ayat menjelaskan masalah tersebut, di antaranya :

"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar." (QS At Taubah : 100)

"Sesungguhnya Allah telah ridha terhadap orang-orang mu'min ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon , maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)." (QS Al Fath : 18)

Dalam hadits Nabi saw, terdapat banyak kemuliaan dan perintah untuk sentiasa berpedoman kepada para sahabat, di antaranya :

"Sebaik-baik ummatku adalah generasiku (sahabat), kemudian generasi sesudahnya (tabi'in), dan kemudian yang sesudahnya (tabi'it tabi'in)." (HR Bukhari dan Muslim)

"Muliakanlah para shahabatku, kerana mereka adalah yang terbaik di antara kamu." (HR Ahmad, An Nasa'ie dan Al Hakim)

"Demi Allah, kamu akan sentiasa dalam kebaikan selama di antara kamu ada orang yang pernah melihatku dan bersahabat denganku." (HR Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Abi `Ashim, Ath Thabrani dan Abu Nu'aim)

"Bintang-bintang adalah penjaga langit, apabila bintang-bintang itu hilang, maka akan datang bagi penduduk langit tersebut apa yang dijanjikan. Aku adalah penjaga para sahabatku, apabila aku meninggal maka akan datang bagi para sahabatku apa yang dijanjikan. Dan para sahabatku adalah para penjaga ummatku, apabila para sahabatku meninggal, maka akan datang bagi ummatku apa yang dijanjikan." (HR Muslim)

Disebabkan ucapan atau `qaul sahabat' juga merupakan dalil syar'ie yang boleh dijadikan `hujjah' dalam agama dan hasilnya dapat digunakan oleh umat Islam dalam kehidupan mereka sehari-hari, maka moto atau slogan `Ish Kariman au Mut Syahidan' yang diucapkan oleh ibu Abdullah bin Zubair patut menjadi perhatian dan kajian bagi kaum Muslimin.

No comments:

Post a Comment