Tuesday, August 7, 2012

Kenyataan Media IKRAM : Agihan Rayuan Ramadhan Fasa 1

Kenyataan Media
Rayuan Ramadhan  IKRAM 2012/1433H
Kenyataan Media : Agihan Rayuan Ramadhan Fasa 1
8 Ogos 2012/ 19 Ramadhan 1433

 1. Sukacita dimaklumkan bahawa agihan sebanyak RM300,000 tajaan berbuka puasa fasa pertama sedang dilaksanakan. Perlaksanaan agihan ini dimulakan di dalam negara dengan jumlah agihan yang telah melebihi RM100,000.



2. Agihan di dalam negara melibatkan tajaan berbuka puasa untuk anak yatim, fakir miskin, saudara baru, ibu tunggal yang dilaksanakan melalui IKRAM Negeri dan Daerah dengan kerjasama masjid-masjid dan juga persatuan penduduk tempatan di seluruh negara.



3. Agihan terbesar di dalam negara dan melibatkan ramai penerima sumbangan akan dilaksanakan pada 11 Ogos 2012 ini. Program ini adalah program di peringkat nasional yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM dengan kerjasama IKRAM Daerah Batu dan PPR Intan Baiduri Kepong yang mempunyai penduduk sekitar 7,000 orang yang majoriti beragama Islam. Aktiviti yang akan dijalankan bermula 3.00 petang dengan gotong-royong penyediaan bubur lambuk untuk edaran penduduk setempat diikuti berbuka, solat tarawih, tazkirah Ramadhan dan sumbangan raya kepada 120 orang anak yatim PPR Intan Baiduri dan 7 lagi PPR berhampiran.



4. Pihak Sekretariat Rayuan Ramadhan IKRAM merasa amat bersyukur kepada Allah swt dan berterima kasih kepada penyumbang budiman yang telahpun menyumbang untuk menaja umat Islam yang lebih memerlukan di 15 buah negara yang terpilih di seluruh dunia.



5. Pihak kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar meneruskan sumbangan kepada mereka yang lebih memerlukan ini agar lebih ramai lagi umat Islam mendapat tajaan berbuka puasa dan mencapai sasaran 200,000 orang penerima pada Ramadhan kali ini. Sumbangan dalam bentuk sedekah masih diterima selepas 20 Ramadhan dan akan diagihkan dalam bulan Ramadhan atau selepas Hari Raya Aidil Fitri untuk mereka yang lebih memerlukan.



6. “Barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun daripada pahalanya” [Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi]. Firman-Nya “Barangsiapa membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya; dan barangsiapa yang membawa perbuatan yang jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan)”. (QS Al-An’am : 160). Oleh itu marilah kita semua berlumba-lumba membuat kebaikan dan mengejar ganjaran di bulan Ramadhan!

No comments:

Post a Comment