Wednesday, November 10, 2010

KEPENTINGAN AMANAH TARBIYAH

Persepsi yang salah terhadap amanah biasanya lahir dari peralihan orientasi hidup (ittijah) kepada material atau urusan-urusan duniawi.  Ini memberi kesan terhadap kelemahan keyakinan akan rezeki Allah swt dan akibatnya keterikatan terhadap agenda gerakan menjadi lemah kerana sebahagian aktivis disibuk­kan dengan urusan ma’isyah (mata pencarian).   Pergerakan yang hebat menuntut penggunaan tenaga yang tidak sedikit. Aktivis dakwah terkesan berada di mana-mana, namun satu fenomena umum yang menyer­tainya adalah lemahnya amaliah ubudiyah yaumiyah (amal-amal ibadah harian).

Ramai aktivis yang kemudiannya menyelesaikan amal ibadah hariannya pada tingkatan biasa-biasa sahaja. Agenda-agenda peningkatan ruhiyah yang disediakan sebagai backup atau ‘charger’ mula menjadi tidak  popular di mata para aktivis di samping tenaga yang ada memang sudah terserap habis.   Akhirnya semangat pencapaian muwashafat (sasaran kualiti diri) seperti yang pernah bergema kuat sebelum ini mula mengalami penurunan.

Lalu, apalagi yang membuatkan kita dapat bertahan menghadapi fitnah dan mihnah ini jika ibadah kita menjadi perkara yang seharusnya diperbetulkan Satu lagi gambaran yang juga sebelumnya terpendam adalah cara pandang kita terhadap pembinaan diri. Dalam beberapa situasi, akti­viti yang menuntut waktu dan perhatian seringkali mengalah­kan agenda-agenda pembinaan diri.  
1.      Ada yang minta izin untuk tidak menghadiri ‘liqa’’ mingguan kerana amanah di tempat tertentu.
2.      Ada yang terlantar kerana murabbi dan pengelolanya sibuk dengan agendanya masing-masing.

Semua ini menyebabkan banyak aktiviti yang terkorban.  Profil dan gaya aktivis dakwah yang sudah sedemikian rapuhnya itu ditambah lagi dengan kelemahan dalam penguasaan manhaj gerakan.   Inilah kelemahan yang cukup besar bagi aktivis dakwah di mana kesannya benar-benar mengancam kelangsungan proses ‘takwin’ (membina dan membentuk).   Kelemahan-kelemahan tersebut bahkan membuatkan sebahagian aktivis dakwah tidak berani menjadi ‘murabbi’ atau pembina generasi penerusnya.

Bahkan ianya boleh menimbulkan perasaan rendah diri yang membuatkan aktivis dakwah tidak dapat berkembang dalam mengikuti agenda pentarbiyahan.   Kita berharap agar fenomena terakhir ini hanya bersifat sementara kerana akibat besarnya mungkin akan ada aktivis dakwah yang meminta untuk ‘pencen’ atau ‘berehat terus’ dari aktiviti dakwah dan tarbiyah.

No comments:

Post a Comment