Wednesday, November 3, 2010

Meneliti Pedoman Berharga "Umat terbaik di alam semesta."


Sesungguhnya amal itu tergantung kepada niatnya dan sesuatu pekerjaan itu dinilai dari masa akhirnya. Rasulullah saw diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia dan orang-orang yang sebelum Rasulullah saw binasa kerana mabuk dinar dan dirham (harta benda) dan keduanya juga yang akan menghancurkan kita.

Rasulullah saw paling takutkan dari umatnya adalah syahwatnya orang-orang kaya yang tidak mampu membendung keinginan perutnya dan gejolak kemaluannya. Allah swt pula akan memberikan rahmatNya kepada orang-orang yang berkasih sayang pada sesamanya.

Sesungguhnya harta abadi kita adalah yang kita berikan pada sesama kita.  Sesungguhnya orang-orang yang rela dengan kehinaan adalah orang-orang yang rindu dunia. 
  
 
Sesungguhnya kecintaan seseorang itu akan kelihatan ketika orang lain sedang berada dalam kesempitan. Sesungguhnya dalam infak terdapat sekian banyak keajaiban.

Sesungguhnya :
1. Qadha' boleh ditolak dengan doa dan munajat.
2. Umur boleh bertambah kerana kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan.
3. Sabar boleh diperolehi dengan banyak menelan pengalaman.

Sesungguhnya kefakiran yang paling besar adalah kebodohan. Sesungguhnya akal adalah aset kita yang paling mahal. Sesungguhnya orang yang ujub hidupnya akan terasing. Sesungguhnya tidak akan pernah wujud kesesalan dalam musyawarah kerana ianya pintu yang mampu menyelesaikan masalah. Sesungguhnya kecerdasan itu ada dalam perancangan yang matang. Sesungguhnya dalam akhlak ada kecerdasan dan dalam perenungan terangkum ibadah kepada Allah swt.

Sesungguhnya dalam rasa malu dan sabar ada keimanan. Hilangnya amanah akan menyebabkan lenyapnya keimanan manakala pengingkaran janji pula adalah tanda redupnya agama. Sesungguhnya dosa besar akan diampuni jika disertai dengan istighfar dan dosa kecil tidak akan terhapus jika dilakukan berterusan tiada henti.

Sesungguhnya tidaklah layak bagi seorang muslim untuk merendahkan dirinya sendiri dengan menadahkan tangan pada sesama muslim dengan mengemis kepada ciptaan Allah juga serta merengek kepada makhluk yang sesungguhnya juga tidak berdaya.

Sesungguhnya tidak akan masuk syurga seseorang yang jiran tetangganya :
1. Tidak merasa aman dengan sikap dan perbuatannya.
2. Yang terganggu dengan kekejamannya.
3. Yang sesak dadanya kerana keangkuhannya.
4. Yang risau dengan cemuhan-cemuhannya.

Sesungguhnya tidak layak kita mengharapkan keselamatan pada diri kita sendiri sepanjang orang lain tidak selamat dari sikap dan perbuatan kita. Syukurilah sekecil apapun kebaikan yang dilakukan oleh orang lain kepada kita kerana sesungguhnya yang tidak mampu mensyukuri yang kecil tidak akan mampu mensyukuri yang besar.

Sesungguhnya tidaklah terpuji sifat tergesa-gesa dan tidak akan bahagia orang yang berdusta, irihati, dengki, tamak dan angkuh kerana ini semua adalah virus yang akan menggigit sedikit demi sedikit kejernihan hati nurani kita. Sesungguhnya :
1. Para pemboros itu sukar mendapatkan teman.
2. Para pendengki tidak akan pernah menjadi mulia.
3. Para pemalas tidak akan pernah menjadi kaya.
4. Para pendendam hanya akan menderita penyakit jiwa.

Sesungguhnya kebaikan orang-orang yang terpilih itu adalah kerana perenungan dan pemikiran yang dalam sedangkan rosaknya orang-orang yang jahat disebabkan kerana sama sekali tidak memiliki visi ke depan.  Sesungguhnya tidak ada yang lebih lazat di dunia ini lebih dari :
1. Kemuliaan ilmu.
2. Sucinya diri.
3. Kesejukan jiwa.
4. Rasa puas dengan apa yang ada.
5. Rasa manis dalam memberi kepada sesama manusia.
6. Tunduk di hadapan Pencipta.
7. Menangisi dosa-dosa.
8. Merenungi alam semesta.

Sayyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata : Fitnah itu muncul dari tiga jalan :

PERTAMA : PEREMPUAN-PEREMPUAN. - Mereka adalah perangkap iblis yang siap sedia mencari mangsa.

KEDUA : MINUMAN-MINUMAN KERAS YANG MEMABUKKAN. - Ini adalah pedangnya yang sentiasa terhunus.
Add caption

KETIGA : DIRHAM DAN DINAR (HARTA BENDA).- Kedua-duanya adalah busur panah beracun yang siap membunuh setiap saat.
a. Barang siapa yang terjerat dengan perempuan, jangan berharap hidupnya akan bersih dan jernih.
b. Barang siapa yang jadi peminum arak tidak akan pernah berakal bersih.
c. Barang siapa yang senang dengan dinar dan dirham (harta benda), dia akan menjadi hambanya yang akan menurut perintahnya sepanjang hidup.

Sesungguhnya maksiat itu :
1. Membuatkan terhalangnya komunikasi antara hamba dan Rabb.
2. Melahirkan kemurungan yang berlarutan.
3. Menimbulkan rasa takut yang menggoncang hati.
4. Menyebabkan kesulitan hidup yang terus menghimpit.
5. Membuatkan hati gelap gulita dan tidak mampu ditembusi cahaya nasihat.
6. Mengakibatkan kemuraman menyelimuti diri.
7. Menyebabkan sumber rezeki menyempit.
8. Mendapat kemurkaan Allah.
9. Menghakis keimanan.
10. Menarik musibah yang akan datang silih berganti.



Maksiat itu melahirkan kehinaan kerana kemuliaan hanya akan lahir dari ketaatan kepada Allah manakala akal menjadi rosak kerana maksiat memadamkan cahaya akal di mana kelalaian akan menjadi kebiasaannya. Ibnu Abbas ra pernah mengatakan tentang maksiat ini : Sesungguhnya maksiat itu adalah :
 
 
 
 
 
1. Kegelapan di wajah.
2. Gelap gulita di dalam hati.
3. Kebencian yang menyebar di tengah manusia.
4. Kelemahan dalam jasad.
5. Minimumnya rezeki.

Sebaliknya taat adalah :

1. Cahaya di wajah.
2. Cahaya di dalam kalbu.
3. Dicintai oleh ramai manusia.
4. Lapangnya rezeki.

Maksiat :

1. Membuntukan fikiran waras kita.
2. Menggelapkan kejernihan fikiran kita.
3. Menghitamkan kejernihan nurani kita.
4. Membelenggu kebebasan kita.
5. Menyekat kelincahan kita.
6. Menipiskan tenaga ketakwaan kita.
7. Mematikan potensi keimanan kita.

Maka tidak ada jalan lain selain mengatakan selamat tinggal kepada maksiat kerana kedekatan kita dengan maksiat akan menjauhkan kita dari Yang Maha Dekat. Perangilah maksiat dengan niat dan tekad dan sebaik-baik wasilah memeranginya adalah banyak berkawan dengan orang-orang yang memiliki aura dan perilaku soleh.  Dua resipi yang mujarab bagi meninggalkan maksiat adalah :
1. Berkawan dengan orang-orang yang baik.
2. Melakukan amal soleh.

Sesungguhnya kita ini adalah hamba Allah yang dicipta untuk mengabdi kepadaNya dengan tugas :
1. Memakmurkan alam semesta dengan amal bakti kepada sesama manusia.
2. Menebarkan kasih di tengah-tengah mereka.
3. Menyiramkan sayang di ubun-ubun mereka.
4. Menjadikan diri kita dan orang lain soleh agar alam semesta menjadi tenteram tanpa berlaku banyak huru-hura.
5. Membawa kedamaian dengan nilai-nilai Islam yang ramah serta norma-norma Islam yang mententeramkan jiwa.

Tugas kita adalah mengalirkan kasih sayang Allah kepada seluruh umat manusia dan mencegah angkara murka dari tangan-tangan yang kejam yang menginginkan darah mengalir tanpa apa-apa sebab. Tugas kekhalifahan kita adalah menjadikan orang lain merasa aman dan damai bersama kita kerana Islam adalah damai dan mententeramkan. Tugas kita adalah menyebarkan keadilan melalui :
1. Perbuatan dan bukan kata-kata.
2. Melalui bukti dan bukan simbol semata-mata.
3. Melalui makna bukan melalui kata-kata berlapik yang mungkin penuh pesona tapi sebenarnya penuh racun yang berbisa.

Tugas kita adalah meratakan kesejahteraan melalui :
1. Tangan-tangan sederhana kita.
2. Fikiran-fikiran jernih kita.
3. Tangan kekuasaan kita jika kita telah memilikinya.
4. Lisan-lisan kita jika kita mampu mengungkapkannya.

Jangan ada dusta di antara kita seperti :
1. Keadilan yang hanya simbol semata-mata.
2. Persatuan yang hanya di sekeliling kelompok kita.
3. Pembangunan yang hanya untuk segelintir manusia.
4. Kesejahteraan yang hanya dinikmati di rumah-rumah kita.

Jangan ada dendam di antara kita bahkan kepentingan umat mesti diutamakan yang melampaui batas-batas parti, golongan, jamaah apalagi suku kaum yang oleh Nabi yang mulia disebut sebagai benda busuk dan berbau. Tidak ada wangian dalam sikap fanatik sempit kita dan tidak ada semerbak syurga dalam sekatan-sekatan yang kita bangunkan yang membuatkan kita tidak peduli sesama kita. Sudah terlalu lama kita :
1. Dilaga-lagakan dengan saudara kita sendiri.
2. Diadu domba dengan bangsa sendiri.
3. Dilaga-lagakan dengan saudara seiman kita sendiri.

Sehingga kita mengalami keletihan fikiran, jiwa dan raga sebelum kita berhadapan dengan orang-orang yang memusuhi kita atau tidak suka kalau kita bersatu di bawah payung Islam yang lebih besar bukan di payung-payung kecil yang seringkali membuatkan kita lupa bahwa kita memiliki payung besar iaitu Islam. Sesungguhnya kesatuan umat adalah :
1. Dambaan semua orang.
2. Cita-cita setiap kita.
3. Obsesi setiap muslim.

Persatuan adalah kekuatan dan bercerai berai adalah kelemahan.
a. Kita tahu bersatu itu sebuah tenaga besar tapi kita tidak tahu cara untuk
merealisasikannya.
b. Kita tahu bahwa persatuan itu adalah nikmat besar, namun kita tidak sanggup untuk mencapainya.
c. Kita tahu bahwa Islam mengajarkan kita makna persatuan dan pertautan antara sesama kita, tapi kita menyekatnya dengan kepentingan- kepentingan jangka pendek yang akan segera hilang.
 
Tiga kata kunci yang Allah berikan kepada kita adalah :
1. Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia.
2. Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan.
3. Padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya).

Allah tidak akan memberikan semua ini kecuali kerana Dia telah menyediakan kepada kita semua potensi dan tenaga untuk mencapainya. Marilah kembali kepada fitrah dan kedudukan kita yang sebenarnya iaitu :

"Umat terbaik di alam semesta."

Ya Allah, sesungguhnya kami bersyukur kepadaMu kerana telah menjadikan kami umat Nabi akhir zaman iaitu umat Islam serta menyediakan bagi kami segala cara dan jalan yang boleh menjadikan kami umat yang terbaik yang berpegang kepada kesederhanaan dan melaksanakan keadilan di kalangan manusia serta mengangkatkan darjat kami di sisiMu. Tetapkanlah kaki-kaki kami di atas jalanMu yang lurus ini sehingga kami menjadi saksi kepada perbuatan manusia lain serta RasulMu yang mulia menjadi saksi ke atas perbuatan kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad S

No comments:

Post a Comment